KALENDAR KULIAH PENGAJIAN SURAU AN-NUR
Monday, January 3, 2011
Artikel : Sabar & Solat Adalah Senjata Karya Ustaz Dr Musthafa Umar
Jadikanlah sabar dan sholat sebagai penolong. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu’ (45).
(Iaitu ) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepada-Nya”.(46) [Q.S. Al-Baqarah : 44-46]
Pada ayat terdahulu Allah SWT menegah Bani Israil untuk tidak mencampur adukkan kebenaran dengan kebatilan. Dan kepada sesiapa yang beriman pula Allah menyeru mereka untuk mendirikan sholat, membayar zakat dan ruku’ bersama-sama dengan orang-orang yang ruku’. Dengan demikian akan semakin jauhlah mereka daripada kekufuran.
Selanjutnya bagi sesiapa diantara mereka yang tidak mahu beriman, Allah mencela perbuatan mereka itu dengan ungkapan yang berbentuk pertanyaan ; tidak pertanyaan yang mesti dijawab, tetapi pertanyaan sebagai tanda penghinaan. Allah berfirman :”Mengapa kamu suruh orang lain (mengerjakan) kebaikan, sedang kamu melupakan diri (kewajipan)mu sendiri, padahal kamu membaca Al Kitab (Taurat) ? Maka tidakkah kamu berfikir? “
Ajaran Taurat menyebutkan supaya Bani Israil beriman kepada ‘Rasul yang terakhir’. Maka sesiapa yang membaca Taurat itu selalu menunggu-nunggu kedatangan Rasul yang dijanjikan itu, bahkan menyuruh orang lain untuk beriman kepada Rasul itu apabila datang masanya nanti.
Demikianlah yang mereka lakukan sehinggalah Nabi Muhammad SAW diutus. Saat mereka tahu bahawa Rasul yang dijanjikan itu bukan dari kalangan mereka, iaitu Bani Israil, maka mereka tidak mahu mempercayainya. kalau sebelum ini mereka menyuruh orang lain untuk beriman, sekarang mereka pula yang tidak mahu beriman. Alangkah tercelanya perbuatan mereka ini !
Seorang yang baik adalah yang sesuai cakap dengan buat. Apabila tidak sesuai cakap dengan buat maka itu dinamakan dengan dusta. Dusta adalah perbuatan yang tercela, dan ia akan lebih tercela apabila dusta itu kepada Allah SWT. Dahulu di hadapan Allah mereka berkata ingin menepati janji, tetapi apabila tiba masanya malah mereka yang mengingkari. Allah SWT benci kepada manusia yang memiliki sifat seperti ini, terlebih lagi kepada yang beriman di antara mereka.
Dan meskipun ayat ini ditujukan kepada Bani Israil, khasnya orang-orang Yahudi, tetapi ia juga menjadi pengajaran bagi orang-orang yang beriman, kerana pengajaran tidak terikat kepada sesiapa yang dituju oleh ayat, tetapi pengajaran dapat diambil daripada nilai yang dikandungnya. Allah berfirman :”Hai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu perbuat ? Amat besar kebencian disisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan”. [Q.S. Ash-Shaf : 2-3]
Maka nampaklah bahawa petunjuk agama sahaja belumlah cukup, ia mestilah disempurnakan dengan mengamalkannya. Mengamalkan petunjuk agama memanglah berat, kerana disana ada syaitan yang sentiasa menghalangi. Peristiwa yang dahsyat mungkin terjadi. Pengalaman yang pahit mungkin akan dijalani. Namun sehebat apapun dugaan syaitan itu ia akan dapat diatasi dengan senjata yang telah ditunjukkan oleh Allah SWT. Allah berfirman : “Jadikanlah sabar dan sholat sebagai penolong. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu’. [Q.S. Al-Baqarah : 45].
Sabar maknanya menahan diri daripada perkara yang boleh menjerumuskan kita kedalam lembah kemaksiatan. Jadi apapun perbuatan yang boleh menahan diri daripada kemaksiatan adalah termasuk perbuatan sabar. Puasa umpamanya. Puasa boleh menahan diri daripada merajanya hawa nafsu sehingga boleh menjatuhkan kita kedalam perzinaan. Bererti puasa adalah cara dalam bersabar, demikian pula dengan perbuatan yang lainnya.
Dan solat pula maknanya merendahkan diri dengan segenap jiwa kepada Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Mulia. Dengan merendahkan diri kepada Allah, maka manusia itu akan menta’ati segala perintah dan seruan-Nya. Tidaklah kekufuran itu terjadi melainkan pada peribadi yang jauh daripada sifat merendahkan diri, sehingga hanya kesombongan dan ketinggian hati yang menyelimuti diri.
Jadi sabar dan solat adalah bagaikan “satu senjata” yang saling melengkapi untuk menghadapi cabaran. Itulah rahsianya mengapa Allah memakai dhamir (هَا) pada (إِنَّهَا) iaitu bermakna ia (untuk satu benda), tidak dengan memakai (هُمَا) iaitu bermakna ia (untuk dua benda), padahal ada dua benda yang disebutkan sebelumnya ; iaitu sabar dan solat. Bererti sabar dan solat adalah bagaikan satu keris yang bermata dua.
Mungkin senjata (sabar dan solat) ini mudah untuk diucapkan, tetapi sebenarnya susah untuk diamalkan. Senjata ini hanya mampu dimiliki oleh orang orang yang khusyu’. Siapakah orang yang khusyu’ itu ? Allah berfirman :”(Iaitu ) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya, dan bahawa mereka akan kembali kepada-Nya”. [Q.S. Al-Baqarah : 46]
Bererti mereka itu adalah orang-orang yang tunduk dalam menjalankan petunjuk Allah? Ya, betul sekali. Bukankah mereka meyakini bahawa mereka akan menemui Allah? Jadi mereka tidak akan punya alasan lagi saat perjumpaan dengan Allah nanti apabila mereka tidak mahu tunduk di dunia ini.
Jelasnya sabar dan solat tidak akan berat bagi orang-orang yang tunduk (khusyu’), kerana sikap tunduk itu melahirkan kekuatan yang sangat dahsyat sekali pada diri orang-orang yang beriman.
Kedahsyatannya akan nampak daripada patahnya setiap godaan syaitan yang ingin mencelakan mereka. Dan dalam masa yang sama, sifat tunduk itu pula yang boleh menyuburkan sifat ta’at dan rendah hati serta mengikis sifat sombong dan iri dengki.
Sudah menjadi sunnatullah bahawa Allah mengkurniakan kepada sebahagian manusia di dunia ini suatu pemberian yang tidak diberikan kepada sebahagian yang lainnya. Dengan pemberian yang dikhaskan kepada mereka itu mereka punya alasan untuk membanggakan diri daripada yang lainnya. Ini yang terjadi pada Bani Israil.
Tetapi sebenarnya bukan itu yang diinginkan oleh Allah. Sebenarnya hendaklah manusia itu saling bantu membantu. Seseorang akan membantu dengan apa yang ada padanya, dan ia akan dibantu dengan apa yang tidak ada padanya.
Namun sikap bantu-membantu ini hanya akan terlahir dari peribadi orang-orang yang tunduk. Kerana orang-orang yang tunduk akan merasa keagungan dan kebesaran Allah, sementara dirinya sangat kecil dan lemah sekali. Ia sedar bahawa apa-apa yang ada pada dirinya secara tiba-tiba boleh lenyap apabila Allah menghendakinya. Maka orang-orang yang tunduk jelas mereka akan berbuat apa sahaja perbuatan dengan seribu perhitungan.
(Dikutip dari Tafsir Ma'rifah karya DR Musthafa Umar) Baca lagi...
Sunday, January 2, 2011
Artikel : Kisah Penciptaan Manusia Karya Ustaz Dr Musthafa Umar
Pada ayat terdahulu telahpun dijelaskan bahawa Allah-lah yang menciptakan tujuh lapis bumi dan tujuh petala langit beserta apa-apa yang ada pada keduanya. Tidak setakat penciptaan sahaja, tapi Allah juga mengetahui perkembangan benda-benda itu dari semasa ke semasa. Tak satupun benda ciptaan Allah yang luput daripada pengetahuan (ilmu)Nya ; sekecil atau sebesar apapun benda itu, sedikit atau sebanyak apapun ciptaan itu, sependek atau sepanjang apapun makhluk itu. Dan ilmu Allah tidak hanya sekadar meliputi setiap ciptaan pada waktu penciptaannya sahaja, tapi juga meliputi sebelum dan sesudah penciptaan itu.
Salah satu kisah yang menampakkan keluasan ilmu Allah SWT adalah penciptaan manusia. Allah mengetahui akan ciptaan-Nya ini sebelum makhluk ini diciptakan, ketika diciptakan dan selepas penciptaannya. Itulah ilmu Allah yang luas tak bertepi.
Inilah kisah pertama yang kita jumpai dalam Al-Quran, iaitu kisah penciptaan manusia, dalam hal ini manusia pertama iaitu Adam ‘Alaihissalaam. Seakan-akan kisah ini menjadi pembuka bagi kisah yang lainnya.
Dan apabila Allah menurunkan suatu kisah di dalam Al-Quran maknanya Allah ingin menjelaskan suatu kebenaran yang telah pernah terjadi, gunanya adalah supaya manusia dapat mengambil ‘ibrah (pengajaran) daripadanya sehingga bertambah keteguhan didalam hatinya, dan selanjutnya akan membawa kepada kehidupan yang lebih kukuh. Allah berfirman kepada Nabi Muhammad SAW : “Dan Kami ceritakan kepadamu semua kisah-kisah daripada rasul-rasul, ialah kisah-kisah yang dengannya Kami teguhkan hatimu...” [Q.S. Huud : 120]
Daripada ayat yang tengah kita tafsirkan di atas nampak bahawa Allah mengemukakan kepada malaikat bahawa Allah akan menciptakan khalifah di permukaan bumi. Khalifah maknanya ‘pengganti’. Manusia disebut sebagai khalifah kerana hidup sebahagian mereka merupakan pengganti terhadap sebahagian lain yang telah mendahului mereka, setiap habis kehidupan suatu generasi maka ia akan digantikan oleh generasi yang lainnya. Ini merupakan isyarat bahawa manusia akan hidup di permukaan bumi dan kemudian mati, dan ia akan digantikan oleh yang lainnya sehinggalah kiamat tiba.
Setelah itu malaikatpun menjawab bahawa manusia itu hanya akan mengisi hidup mereka dengan membuat kerosakan dan akan saling berbaku-hantam sehingga terjadi pertumpahan darah sesama mereka.
Daripada percakapan di atas, sepintas lalu nampak para malaikat telahpun mengetahui perbuatan yang akan dilakukan oleh manusia di muka bumi. Namun muncul pertanyaan, adakah para malaikat mengetahui perkara yang akan terjadi pada masa mendatang yang merupakan bahagian daripada perkara yang ghaib itu?
Tidak, mereka tidak mengetahuinya, kerana pengetahuan tentang yang ghaib hanya ada di tangan Allah semata. Tapi mengapa mereka menetapkan dua sifat tercela itu pada manusia padahal manusia belum lagi diciptakan? Atau dengan kata lain, dari manakah mereka mendapatkan pengetahuan tentang hal itu? Tentu mereka mendapatkannya daripada pengalaman sebelumnya, iaitu pengalaman kehidupan jin di permukaan bumi yang telahpun diciptakan sebelum manusia. Kemudian dengan pengalaman yang telah terjadi itu mereka menetapkan sesuatu yang bakal terjadi. Penetapan semacam ini disebut dengan penetapan memakai kias, iaitu berasaskan kepada contoh yang telah ada.
Daripada pengalaman yang telah berlaku malaikat menyangka bahawa manusia juga akan berbuat yang sama, iaitu perbuatan yang tidak patut dilakukansebagai makhluk ciptaan Allah, yang dalam masa yang sama, yang mendiami bumi ciptaan-Nya, dan memakan rezeki yang dikurniakan-Nya. Itulah sebabnya mengapa para malaikat menyebut sifat-sifat yang ada pada mereka ; seperti bertasbih dengan memuji Allah dan mensucikan-Nya, hal itu tidak untuk menunjuk-nunjukkan diri, tapi untuk menunjukkan itulah sifat yang sepatutnya ada di dalam diri setiap makhluk ciptaan Allah.
Bertasbih maknanya mensucikan Allah daripada sifat-sifat yang tidak sempurna. Jadi tasbih tidaklah diucapkan melainkan kepada Zat yang sempurna wujudnya, dan Zat Yang Sempurna wujudnya hanyalah Allah SWT. Adapun bertasbih dengan memuji Allah maknanya bertasbih dengan mengucapkan syukur kepada Allah yang telah mengkurniakan kekuatan iman dan kekuatan badan kepada kita, kerana dengan kedua kekuatan itulah kita menjadi utuh.
Namun pengetahuan malaikat yang dibangun di atas kias itu tidak diakui oleh Allah sebagai ilmu yang seratus peratus kebenarannya, selanjutnya ia tidak layak untuk dijadikan sumber pengajaran, kerana ilmu yang sempurna kebenarannya adalah ilmu yang berasal daripada Allah SWT sahaja. Hujung ayat menyebutkan,”...sesungguhnya Aku mengetahui apa-apa yang tidak kamu ketahui”.
Tidak setakat itu sahaja, Allah nampakkan hakikat keterbatasan ilmu malaikat dan keluasan ilmu-Nya dengan suatu perbuatan yang nyata. Allah mengajarkan semua nama-nama benda kepada Adam ‘Alaihissalaam dan tidak mengajarkannya kepada para malaikat. Lalu Allah berfirman kepada mereka,”Sebutkanlah kepadaKu nama-nama benda itu jika kamu memang termasuk yang benar!”
Tentu sahaja malaikat tidak mampu menyebutkannya kerana ilmu yang ada pada mereka tidak lain adalah berasal daripada Allah SWT. Maka dengan menyedari diri, para malaikatpun berkata,”Maha Suci Engkau (Yaa Allah), tidak ada yang kami ketahui selain daripada apa yang telah Enkau ajarkan kepada kami ; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”. [Q.S. Al-Baqarah : 32]
Daripada kenyataan itu, nampaklah keluasan ilmu Allah SWT dan keterbatasan ilmu makhluk-Nya, termasuk para malaikat yang telah memiliki kedudukan yang tinggi dibanding makhluk lainnya. Kerana pada hakikatnya, tiadalah ilmu yang dimiliki oleh sesuatu makhluk di jagat ini melainkan daripada Allah jua asal-mulanya.
Malaikat mengakui keterbatasan ilmu yang ada pada mereka. Mereka hanya mampu menilai sesuatu daripada contoh yang telah ada, adapun hakikat sebenar daripada perkara itu hanya ada di tangan Allah semata.
Dengan ilmu itu Adam ‘Alaihissalaam menjadi ‘istimewa’ apabila dibandingkan dengan makhluk lainnya. Hikmah inilah yang tidak terdetik dalam pengetahuan para malaikat, hal itu -- sekali lagi -- kerana keterbatasan ilmu yang ada pada mereka. Allah berfirman :”Wahai Adam, beritahukanlah kepada mereka nama-nama benda ini!”.
Maka setelah diberitahukannya nama-nama benda itu, Allah berfirman,”Bukankah sudah Ku katakan kepadamu bahawasanya Aku mengetahui rahasia langit dan bumi dan mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan”.[Q.S. Al-Baqarah : 33].
(Dikutip dari Tafsir Ma'rifah Karya DR Musthafa Umar)
Baca lagi...
Monday, December 6, 2010
Rakaman : Kuliah Subuh Oleh Ustaz Dr Musthafa Umar Pada 4hb Disember 2010
TARIKH : 4hb Disember 2010 (Sabtu)
MASA : Selepas solat maghrib
RAKAMAN : | muat turun |
Thursday, October 21, 2010
Menuju Kesempurnaan Hidup Karya Ustaz Dr Musthafa Umar
Allah berfirman :
Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran daripada Tuhanmu, dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada, dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman. [Q.S. Yunus : 57]
Tafsir Ayat :
Ayat ini menerangkan tentang seruan Allah kepada seluruh manusia supaya bersegera mempercayai dan menerima Al-Quran sebagai Kitab Suci yang mulia. Di dalam ayat ini diterangkan bahawa Al-Quran merupakan pelajaran yang berharga, di samping itu, ia juga sebagai penyembuh penyakit yang berada di dalam dada, dan juga sebagai petunjuk dan rahmat bagi orang-orang beriman.
Sepatutnya manusia menjawab seruan Allah ini kerana di dalamnya penuh dengan kebaikan. Mustahil Allah menyeru kepada yang buruk dan sia-sia. Apabila dilihat daripada kandungan seruan tersebut, maka didapati bahawa ia membawa manusia menuju kepada kesempurnaan hidup. Ia adalah suatu kebenaran yang mesti diterima, kerana hanya Allah Yang Maha Sempurna yang mampu menunjukkan jalan menuju kesempurnaan.
Didalam ayat ini diterangkan bahawa jalan menuju kesempurnaan hidup adalah dengan mempercayai dan menerima Al-Quran, kerana ia merupakan firman-firman Allah yang sengaja diturunkan sebagai penyelamat dan pembimbing umat manusia. Di dalam ayat ini Al-Quran diterangkan dengan 4 keistimewaannya; yang mana antara satu dengan yang lainnya bagaikan anak-anak tangga untuk sampai ke puncak kesempurnaan.
Supaya lebih mudah untuk memahami 4 keistimewaan Al-Quran dalam membawa manusia kepada hidup yang sempurna, maka terlebih dahulu hendaklah kita mengetahui realiti yang ada dalam kehidupan manusia. Manusia adalah makhluk yang terdiri daripada jasad dan roh. Dengan perhubungan antara jasad dan roh tersebut, maka manusia menjadi hidup. Disisi lain, Allah menetapkan pada setiap manusia yang hidup itu unsur iman dan hawa nafsu. Unsur iman adalah yang mendorong manusia untuk melakukan kebaikan sedangkan unsur hawa nafsu adalah yang
mendorong untuk melakukan keburukan. Supaya iman dapat dipelihara dan dipertingkatkan, dan hawa nafsu pula dapat dijinakkan dan dikendalikan, maka Allah membekalkan akal kepada manusia. Melalui akal itulah manusia memimpin diri dan mengisi hidup.
Tetapi malangnya, ada di antara manusia yang tidak menggunakan akalnya; unsur iman diabaikan, sedangkan unsur hawa nafsu pula dibiarkan lepas tanpa kendali. Apa yang terjadi? Manusia tersebut menjadi liar dan buas. Ia tidak lagi nampak sebagai manusia yang berakal, tetapi lebih dekat kepada haiwan yang tidak pernah mengerti makna kehidupan, Allah berfirman:
"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahannam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai".[Q.S. Al-A’raf : 179]
Ada di antara manusia yang malang itu sudah tidak tahu lagi siapa Tuhannya, sudah tidak tahu lagi mana yang baik dan mana yang buruk. Sehingga kita lihat ada yang menyekutukan Allah tanpa merasa bersalah, bahkan sampai ada ke peringkat menolak keberadaan Allah. Ada pula yang tenggelam dalam kemaksiatan, bahkan melihatnya sebagai suatu kebenaran pula. Sungguh mereka telah tersesat daripada jalan yang benar.
Apabila kita telah memahami realiti tersebut, maka Insya Allah kita akan memahami pula kedudukan Al-Quran sebagai penyelamat manusia yang telah tersesat, dan selanjutnya akan membawa mereka menuju kepada kesempurnaan hidup, Allah berfirman:
"Sesungguhnya Al Qur'an ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus dan memberi khabar gembira kepada orang-orang Mukmin yang mengerjakan amal saleh bahawa bagi mereka ada pahala yang besar". [Q.S. Al-Israa : 9]
4 keistimewaan Al-Quran dalam membawa manusia menuju kesempurnaan hidup adalah sebagai berikut:
Pertama: Al-Quran merupakan pelajaran (mau’idzoh) yang datang daripada sisi Allah Yang Maha Mengetahui tentang hal-ehwal manusia. Pelajaran yang dimaksudkan adalah berupa perintah-perintah dan larangan-larangan Allah. Sesungguhnya tidak ada satupun yang Allah perintahkan melainkan ia adalah suatu kebaikan bagi manusia, dan tidak ada satupun pula yang Allah larang melainkan ia adalah suatu keburukan, hal itu kerana Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.
Daripada sini nampaklah keistimewaan Al-Quran; iaitu mampu menjelaskan kepada manusia mana yang baik dan mana yang buruk, mana yang menguntungkan dan mana yang merugikan, mana yang membawa kepada kejayaan dan mana yang membawa kepada kebinasaan.
Sesungguhnya apabila manusia mengetahui dan memahami pelajaran yang datang daripada sisi Allah ini maka ia merupakan peringkat pertama untuk menuju kesempurnaan hidup. Sama halnya dengan seorang pesakit, apabila ia mengetahui dan memahami apa yang perlu dibuat dan apa yang perlu dijauhi maka ia merupakan peringkat pertama untuk menuju kesihatan badan.
Kedua: Al-Quran merupakan penyembuh penyakit yang bersarang di dada (syifaa limaa fish-shudur). Apakah penyakit yang biasa bercokol di dada manusia? Banyak sekali macamnya, umpamanya seperti; dengki, dendam, panas baran, sombong, tamak, ragu-ragu, putus asa, rendah diri, dusta, khianat dan lain sebagainya. Penyakit yang paling teruk adalah kufur atau syirik. Dikatakan semua itu sebagai penyakit adalah kerana apabila penyakit tersebut hinggap pada manusia maka manusia itu akan sengsara dan menderita, bahkan akhirnya boleh binasa. Lihatlah bagaimana sengsaranya orang yang dengki, sombong, tamak dan seterusnya.
Penyakit disebut sebagai penyakit kerana ia mendatangkan rasa sakit kepada manusia. Dan hendaklah diketahui, rasa sakit yang diderita oleh badan tidaklah seberapa sengsaranya apabila dibandingkan dengan rasa sakit yang ditanggung oleh hati yang ada di dalam dada. Maka keistimewaan Al-Quran, ia tidak hanya sebagai pemberi penjelasan mana yang baik dan mana yang buruk, tetapi dalam masa yang sama ia juga bertindak sebagai penyembuh penyakit hati.
Al-Quran merupakan ubat penawar bagi penyakit yang bersarang di dada. Al-Quran mampu mencabut penyakit tersebut dan akan membersihkan hati sebersih-bersihnya. Hati yang sakit akan kembali sihat. Bererti, dengan Al-Quran maka hati akan kembali ke fitrahnya semula; putih, bersih dan suci. Inilah peringkat kedua untuk menuju kesempurnaan hidup. Di peringkat ini, hati seseorang itu menjadi lembut, tenang, damai dan bahagia. Tidak ada penyakit yang menganggunya.
Ketiga: Al-Quran merupakan petunjuk (hidayah) yang menghantarkan manusia kepada tujuan hidup yang sebenarnya. Bererti tanpa Al-Quran maka manusia tidak akan sampai ke tujuan. Tujuan hidup manusia adalah mencapai keredhaan Allah Subhanahu wata’ala.
Dengan petunjuk Al-Quran, maka hati yang lembut, tenang dan bahagia tadi akan dihantarkan kepada keredhaan Allah. Di saat itulah hati menjadi bersinar dan bercahaya. Dan berkat petunjuk itu juga hati itu semakin bersinar dan semakin bercahaya. Akhirnya nampaklah segala sesuatu dengan terang dan jelas; tak ada lagi satupun yang tersembunyi daripada pandangan hati yang telah tajam. Nampaklah yang penting itu penting dan yang remeh itu remeh. Nampaklah yang mulia itu mulia dan yang hina itu hina. Nampaklah yang kekal itu kekal dan yang fana itu fana.
Di peringkat ketiga inilah hati yang bahagia itu menjadi semakin bahagia. Kehadiran Allah sungguh terasa di sepanjang masa. Di peringkat inilah seorang hamba itu mengetahui hakikat segala sesuatu. Susah-senang, sakit-sihat, miskin-kaya, dan apapun keadaan hidup tidak lagi menjadi dinding penghalang antara dirinya dengan Allah. Kini ia telah bersama dengan Allah. Tidak ada lagi satupun selain Allah yang boleh menganggu kebahagiaannya bersama dengan Allah; Allah Yang Maha Sempurna, Allah Yang Maha Mulia, Allah Yang Kekal dan Abadi, Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Allahu Akbar !!
Allah menceritakan tentang nabi Ibrahim yang telah sampai ke peringkat ini; iaitu tunduk dan patuh kepada Allah untuk bersama dengan Allah:
"Ketika Tuhannya berfirman kepadanya: "Tunduk patuhlah!" Ibrahim menjawab: "Aku tunduk patuh kepada Tuhan semesta alam".[Q.S. Al-Baqoroh : 131]
Nabi Ibrahim menikmati hidup bersama dengan Allah di bawah bimbingan petunjuk Allah; iaitu Agama Islam. Pada hari ini petunjuk Allah itu adalah firman-firman Allah yang terkumpul di dalam Al-Quran. Oleh kerana nabi Ibrahim telah menikmati hidup di dalam Islam maka beliaupun berwasiat kepada anak keturunannya supaya mengikuti jejaknya dalam menjalani hidup di dunia ini:
“Dan Ibrahim telah mewasiatkan ucapan itu kepada anak-anaknya, demikian pula Ya`qub. (Ibrahim berkata): "Hai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagimu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam memeluk agama Islam".[Q.S. Al-Baqoroh : 132]
Rasanya cukup jelas tentang peringkat ketiga ini; iaitu peringkat kebahagiaan yang tiada taranya. Sudahkah kita sampai ke tahap ini? Dan adakah peringkat lagi selepas ini? Ya, ada. Peringkat berikutnya adalah peringkat keempat, peringkat yang lebih tinggi daripada sebelumnya.
Keempat; Al-Quran merupakan Rahmat yang akan menjadikan manusia sebagai makhluk yang sempurna dan mampu pula menyempurnakan yang lainnya. Supaya mudah untuk difahami maka kita terangkan dengan permisalan berikut ini: Al-Quran bagaikan cahaya yang memancar ke hati manusia. Oleh kerana hati itu adalah hati yang telah sampai ke peringkat ketiga tadi maka cahaya Al-Quran diterima dengan penuh sehingga membuat hatipun menjadi bercahaya pula. Dan selanjutnya, hati yang bercahaya itu dapat pula memancarkan cahayanya kepada orang lain; kepada isteri atau suaminya, kepada anak dan orang tuanya, kepada jiran dan masyarakatnya, dan kepada siapa sahaja di alam ini.
Peringkat keempat ini telah dicapai oleh Nabi Muhammad SAW. Dengan Rahmat Allah berupa Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah maka jadilah baginda sebagai Rahmat bagi semesta alam, Allah berfirman:
“Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam”.[Q.S Al-Anbiyaa : 107]
Peringkat ini merupakan peringkat yang menjadikan seseorang itu sebagai tokoh yang diteladani, pemimpin yang disegani, penyelesai masalah, pembawa kemuliaan, dan menjadi pribadi sempurna (insan kamil) yang mampu menyempurnakan orang lain pula.
Seorang hamba yang telah sampai ke peringkat ini bagaikan rembulan di malam hari; melalui cahaya yang didapatkannya daripada matahari maka ia pancarkan semula untuk menerangi jagad raya. Begitu pula hamba yang telah mendapatkan cahaya daripada Al-Quran maka ia pancarkan pula ke semesta alam. Subhanallah!!
Demikianlah 4 keistimewaan Al-Quran dalam membawa manusia kepada hidup yang sempurna menerusi ayat yang ke-57 daripada Surah Yunus diatas. Setiap keistimewaannya mampu menghantarkan kepada peringkat yang lebih tinggi sehingga akhirnya dapat mencapai kemuncak hidup yang paling sempurna. Pada saat itulah kegembiraan hakiki mereka rasakan. Tentang perkara ini Allah menyebutkannya pada ayat berikutnya:
Katakanlah: "Dengan karunia Allah dan rahmat-Nya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Karunia Allah dan rahmat-Nya itu adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan".{Q.S. Yunus : 58]
Wallahu A’lam.
Al-Faqiir Ilaa Rabbih : Dr. H. Musthafa Umar
Baca lagi...Sunday, October 17, 2010
Mengapa Kaum Sekularis Ditentang? Oleh Ustaz Dr Musthafa Umar
Ayat ini menerangkan bahawa Rasulullah SAW diperintahkan untuk memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan oleh Allah, termasuk kepada orang-orang yang bukan Islam yang datang kepada Baginda dan memohon supaya masalah mereka diselesaikan. Berdasarkan ayat ini, menurut Mazhab Syafei, apabila non muslim datang kepada pemerintah Islam dan mereka bersetuju berada di bawah pemerintah Islam, bererti hukum Islam wajib ditetapkan ke atas mereka sebagai menjalankan perintah Allah. Mengikuti kehendak mereka adalah dilarang kerana bertentangan dengan keimanan kepada Allah. Ayat ini juga menerangkan bahawa Rasulullah SAW mesti berhati-hati terhadap orang-orang bukan Islam kerana dikhuatiri mereka akan memalingkan Baginda daripada sebahagian hukum-hakam yang telah diturunkan oleh Allah SWT.
Kewaspadaan mesti sentiasa ada kerana mereka sebenarnya adalah orang-orang yang hanya bertujuan ingin mencapai kehendak diri, maslahat dan kepentingan dunia, tidak seperti orang-orang yang beriman yang mana mereka diwajibkan untuk mengikuti kehendak Allah SWT; tujuan hidup mereka adalah keredhoan Allah dan kesenangan akhirat yang abadi. Ayat ini juga menjelaskan bahawa apabila orang-orang bukan Islam yang telah bersetuju tadi berpaling daripada keputusan yang ditetapkan oleh Rasulullah SAW, maka Allah SWT akan menimpakan musibah kepada mereka kerana Allah-lah sebenarnya yang mentadbir alam ini dan berkuasa penuh ke atas semua manusia tanpa terkecuali.
Kemudian di penghujung ayat disebutkan bahawa kebanyakan daripada manusia adalah orang-orang yang fasik; iaitu orang-orang yang berpaling daripada hukum-hakam Allah SWT. Secara ringkas, kita sebutkan di sini bahawa ayat ini menerangkan tentang kemestian memberlakukan hukum-hakam yang diturunkan oleh Allah SWT dalam kehidupan sehari-hari. Usaha memisahkannya daripada kehidupan seperti yang dituntut oleh kaum sekular pada masa ini adalah tindakan kefasikan yang sangat dimurkai oleh Allah SWT...
B. Apakah makna Sekularis ? Kata Sekularis berasal daripada bahasa Inggeris ; iaitu secularist yang bermakna orang yang percaya kepada fahaman sekular. Sekular pula juga berasal daripada bahasa Inggeris ; iaitu secular yang bermakna kebendaan atau tidak bernilai agama (Oxford, Dict, A S Hornby, 1987, h, 771) Kamus Dewan pula mentakrifkan sekular dengan keduniaan atau tidak berkaitan dengan keagamaan. Fahaman Sekularisme bererti faham yang menolak atau memisahkan agama atau ciri-ciri keagamaan daripada urusan-urusan yang tidak bersangkutan dengan agama seperti pentadbiran awam dan lain-lain. (Kamus Dewan, 1994, h, 1137) Pada awalnya, kata sekular berasal daripada bahasa Latin, saeculum yang bermakna ‘alam’ atau ‘dunia’ dan kemudian selalu dipakai untuk berhadapan dengan Gereja (Penguasa Agama Kristian).
Istilah ini muncul di Eropah dan pertama kali diguna pakai adalah dalam Perjanjian Westphalie (1648 M) iaitu perjanjian yang menghentikan perang agama selama 30 tahun di Eropah. Selanjutnya kata sekular dipakai untuk men’dunia’kan gereja dengan makna gereja tidak lagi memiliki kuasa keagamaan.
Makna sekular semakin berkembang khasnya di tangan George Jacob Holyoake (1817-1906 M) yang mentakrifkan sekularisme dengan kepercayaan bahawa perbaikan hidup manusia boleh dilakukan dengan jalan kebendaan tanpa bersentuhan dengan keimanan kepada Tuhan; samada mengakui keimanan itu atau menolaknya. Sebenarnya fahaman sekular yang ada pada manusia hari ini beragam-ragam dan bertingkat-tingkat. Ada yang memisahkan agama secara keseluruhan daripada hidup manusia, ada pula yang memisahkannya daripada beberapa sisi kehidupan manusia seperti politik, atau ekonomi, atau sosial-budaya.
Ada yang sangat fanatik sehingga tidak lagi percayakan agama bahkan memusuhi agama dan ada pula yang biasa sahaja dengan tetap mempercayai agama dalam sebahagian urusan hidup. Yang penting untuk dicatit adalah; fahaman sekular ini adalah fahaman yang lahir dan tumbuh di luar masyarakat Islam, namun sekarang ada pihak daripada luar Islam dan bahkan sebahagian kecil ummat Islam sendiri yang berusaha untuk melahirkan dan menumbuhkannya pula didalam masyarakat Islam, padahal kepercayaan diluar Islam itu sangat berbeza dengan kepercayaan didalam Islam.
C. Mengapa Kaum Sekularis Ditentang ?
Setelah memahami siapa yang dimaksudkan dengan Kaum Sekularis maka pembahasan berikutnya adalah mengapa mereka itu ditentang di Dunia Islam. Apa sahaja perkara-perkara yang biasanya mereka munculkan untuk mengusung Faham Sekular ke tengah ummat Islam ? Apakah sebabnya Fahaman Sekular itu dipaksakan terhadap ummat Islam ? Bagaimana sikap kita terhadap mereka itu ? Inilah diantara perkara yang Insya Allah akan kita huraikan dalam risalah yang sangat ringkas ini. Tentang mengapa mereka ditentang di Dunia Islam adalah disebabkan kerana Fahaman Sekular itu adalah fahaman yang bertentangan dengan agama Islam.
Pertentangan yang paling pokok dan asasi adalah Fahaman Sekular meletakkan hidup tanpa asas keimanan kepada Allah. Contohnya, dalam kehidupan sosial-budaya, seperti berkawan, berkeluarga, mendidik anak, bergaul dengan manusia, berhibur, bersukan dan lain sebagainya tidak ada kena mengena dengan agama. Agama tidak mengurus semua perkara itu. Agama mesti dijauhkan daripada urusan tersebut. Supaya semua itu berjalan diatas nilai juga maka mereka menetapkan ‘nilai yang lain’ yang mereka sebut sebagai nilai-nilai universal.
Namun sebenarnya nilai-nilai universal yang mereka tetapkan itu sangat longgar (relatif) bahkan liar dan ganas kerana lahir daripada individu atau masyarakat yang berbeza-beza. Maka boleh jadi perkahwinan sejenis (gay dan lesbian), berjudi, mabuk, berzina dan lain sebagainya adalah perkara biasa (normal) kerana ia dibenarkan oleh individu dan masyarakat. Agama tidak boleh mengurus semua itu. Maka apabila ada orang-orang agama (penguat kuasa agama) yang menyerbu dan menangkap mereka maka mereka akan membantah perlakuan tersebut kerana telah melanggar hak-hak asasi mereka. Inilah alasan yang biasa mereka sebut. Isu seperti emansipasi wanita menjadi isu pokok kerana mereka berpendapat bahawa agama telah membelenggu dan menindas wanita.
Oleh kerana hak-hak asasi wanita dalam masyarakat telah diabaikan dan penguasaan lelaki terhadap mereka sangat melampau, maka ‘pembebasan wanita’ mesti diupayakan. Gagasan (idea) yang sangat bagus ini malangnya menempuh jalan sekular untuk mencapai matlamatnya. Semua agama tidak lagi dipercayai untuk mengangkat darjat wanita, termasuk agama Islam. Akhirnya kita jumpailah wanita pada hari ini tanpa segan-segan melakukan apa sahaja perkara tanpa merasa malu dan bersalah, bahkan merasa bangga dengan pencapaiannya dalam dunia kebendaan meskipun dengan membelakangkan nilai-nilai agama. Dalam bidang ekonomi pula Fahaman Sekular menjadi anutan kerana memberikan peluang seluas-luasnya untuk melakukan apa sahaja prilaku ekonomi tanpa dibatasi oleh agama.
Semua menjadi boleh di saat individu dan masyarakat menetapkannya boleh. Mereka berpendapat bahawa agama tidak mengurus ekonomi. Ekonomi mesti dipisahkan daripada agama. Riba, monopoli, penindasan buruh, penipuan, rasuah, pembaziran yang ditetapkan haram didalam agama tidak akan dihiraukan. Yang menjadi tujuan adalah mencapai untung yang sebesar-besarnya dengan masa yang sesingkat-singkatnya dan dengan modal yang sekecil-kecilnya. Maka mereka mencipta fahaman ekonomi baru tanpa berdasarkan nilai agama; seperti faham Kapitalisme, Sosialisme dan lain sebagainya. Mereka berkeyakinan bahawa tanpa fahaman agama dalam ekonomi mereka boleh maju, kaya dan sejahtera.
Lihatlah Amerika, Eropah, Jepun dan lain-lainnya. Memang secara zahirnya nampak benar keyakinan mereka itu tetapi pada hakekatnya kemajuan yang didapatkan itu sangat rapuh sekali kerana tidak berdiri diatas nilai-nilai yang mutlak. Dalam bidang politik pula, Faham Sekular menjadi pilihan utama bagi kaum Sekularis kerana boleh memerintah tanpa terikat dengan nilai-nilai agama. Orang-orang yang memerintah atas nama agama mesti disingkirkan, apalagi kisah masa silam di Eropah membuktikan bahawa agama telah dijadikan alat untuk memerintah dan berkuasa oleh orang-orang yang beragama. Maka mereka mencipta nilai lain untuk politik yang ditegakkan diatas Fahaman Sekular yang mereka sebut hari ini dengan demokrasi.
Bagi kaum Sekularis, yang menentukan segala sesuatu itu adalah rakyat, bukan agama. Apabila rakyat mengatakan boleh maka boleh-lah sesuatu perkara itu. Maka mereka menyebut juga bahawa suara rakyat adalah suara kebenaran. Kebenaran agama tidak akan diperakui apabila rakyat telah menetapkan ‘kebenaran yang lain ‘ pula. Maka janganlah hairan apabila penindasan rakyat Palestin berlangsung hingga sekarang, penyerangan ke Afganista dan Iraq, pengasingan Sudan, memonopoli Dewan Keamanan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan lain-lainnya, semua itu atas nama kebenaran yang mereka tetapkan dibawah bendera demokrasi itu. Mereka akan marah apabila memakaikan nilai-nilai agama untuk memahami semua itu.
Bahkan dalam bidang agama itu sendiripun tidak terlepas daripada serangan Sekularisasi. Pernyataan mereka bahawa Nabi Muhammad SAW adalah manusia biasa adalah di antara upaya menghakis keimanan kepada Rasulullah SAW. Tujuannya adalah untuk menolak kuasa hadits (otoritas Sunnah) dalam mengatur hidup manusia. Bahkan lebih dahsyat daripada itu ialah pernyataan bahawa Al-Quran yang disampaikan oleh Rasulullah SAW itu bukanlah wahyu-wahyu Tuhan, tetapi Kitab biasa seperti kitab-kitab yang lainnya, ia adalah kitab yang memuat tafsiran Nabi tentang wahyu yang Baginda terima, maka ia terbuka untuk dikritik. Tujuannya adalah sama; iaitu menolak kuasa Al-Quran dalam mengatur hidup manusia.
Untuk sampai ke tahap ini, maka biasanya mereka akan bermula dengan menolak pandangan para ulama; bermula daripada para sahabat, salafus-sholeh, hingga kepada pandangan para ulama besar (mujtahiduun) yang kononnya (dalam dakwaan mereka) telah menyimpangkan ajaran Islam. Maka mereka menuntut supaya semua perkara agama mesti difaham ulang seperti yang mereka kehendaki. Tafsir Al-Quran mesti mengikut acuan (sistem) yang mereka letakkan, tidak seperti tafsir yang sudah sedia ada. Mereka menyebutnya dengan Hermeneutika, iaitu sebagai ganti kepada Tafsir Al-Quran.
Maka di antara pendapat mereka adalah; semua agama adalah sama, kahwin antara agama adalah boleh, menutup aurat bukan wajib, tarikh wukuf di Arafah boleh diubah, ibadah qurban pada hari qurban tidak semestinya dengan haiwan sembelihan, sholat boleh dengan menggunakan bahasa Arab dan bahasa lainnya, khatib Juma’at dan imam wanita bagi jema’ah lelaki adalah boleh dan lain sebagainya. Jadi sebagai kesimpulannya, kaum Sekularis ditentang di Dunia Islam adalah kerana mereka menyeru supaya agama Islam ditolak sebagai pedoman hidup (way of life) bagi ummat Islam, padahal kebenaran di dalam agama Islam adalah kebenaran mutlak yang tidak ada keraguan sedikitpun.
Mungkin tindakan kaum Sekularis menolak agama-agama selain agama Islam di Barat ada benarnya, hal itu kerana agama-agama tersebut tidak memiliki bukti kebenaran yang mutlak. Tetapi ia berbeza dengan agama Islam; agama Islam adalah satu-satunya agama yang terpelihara daripada pencemaran tangan manusia. Kebenarannya adalah mutlak dan terjaga. Ini adalah keyakinan yang pasti (Ilmul-Yakin, ‘Ainul-Yakin, Haqqul-Yakin). Ini adalah harga mati sebagai seorang yang beriman.
Bukti kebenaran keyakinan ini terlalu banyak, kuat, jelas dan boleh didebat oleh sesiapa yang masih meragukannya, Allah berfirman:
Mafhumnya:”Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al Qur'an, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya". [Q.S. Al-Hijr : 9]
Faham Sekularisme dapat lahir, tumbuh, berkuasa dan popular di Barat kerana kesesatan dan kejahilan rakyatnya tentang Ketuhanan Allah. Kejahilan itu berawal daripada penolakan agama Islam yang disampaikan oleh Rasul-Rasul Allah hingga ke Rasul yang terakhir, iaitu Nabi Muhammad SAW. Dengan penolakan itu maka mereka tidak mengikuti kebenaran, tetapi mengikuti hawa nafsu. Kemudian kalangan agamawan mereka pula bercakap atas nama agama padahal sebenarnya atas kejahilan mereka pula.
Di antara bukti kaum Sekularis telah menyimpang jauh adalah menafikan peranan wahyu Allah SAW dalam memandang dan memahami alam ini. Mereka hanya percaya kepada akal dan hawa nafsu mereka sahaja; iaitu melihat segala sesuatu dengan fahaman kebendaan dan dengan diri mereka sendiri (Maadiyyah wa Furdaniyyah). Meskipun ada di antara orang-orang Barat yang percaya kepada Tuhan dan perkara-perkara yang ghaib tetapi tidak terlepas daripada kesesatan berupa kemusyrikan, dan jumlah mereka itu sangat sedikit sekali. Yang terbanyak adalah yang berfahaman Sekular.
Kemudian, meskipun Faham Sekular dicuba untuk dilahirkan dan dipopularkan di Dunia Islam tetapi sampai hari ini masih mendapat tentangan yang hebat, dan tidak akan mungkin boleh tumbuh dan berkuasa selagi ummat Islam masih kuat memegang teguh keimanan kepada Allah SAW dan menjalankan syariat Islam. Lihatlah Turki sebagai contohnya; fahaman sekular di negeri itu hari-demi hari semakin ditinggalkan meskipun ummat Islam di negeri itu diugut, diancam dan diburuk-burukkan, Allah berfirman:
Mafhumnya: ”Mereka berkehendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka, dan Allah tidak menghendaki selain menyempurnakan cahaya-Nya, walaupun orang-orang yang kafir tidak menyukai”(32) Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya (dengan membawa) petunjuk (Al-Qur'an) dan agama yang benar untuk dimenangkan-Nya atas segala agama, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukai”. [Q.S. At- Taubah : 32-33]
Sebagai ringkasannya, Faham Sekular mencuba untuk menggantikan wahyu dengan akal, menggantikan iman dengan hawa nafsu, menggantikan kedudukan Allah dengan diri sendiri, menggantikan para Rasul dengan para artis, jaguh sukan dan ahli korporat, menggantikan akhirat dengan dunia. Untuk itu maka mereka melawan setiap usaha yang mencuba untuk mendirikan negara atas nama agama (teokrasi), menyerang simbol-simbol agama, mendukung demokrasi, membela kebebasan berfikir dan lain sebagainya.
Pada akhirnya mereka ingin ‘memenjarakan’ agama Islam di dalam masjid sebagaimana telah berjaya memenjarakan agama Kristian di dalam gereja. Bahkan lebih daripada itu, mereka akan memenjarakan agama Islam di dalam hati tanpa boleh keluar ke bumi nyata. Kalaupun keluar juga ke bumi nyata maka dipastikan hanya dalam perkara-perkara tertentu sahaja, tidak dalam setiap sisi kehidupan, padahal Islam adalah agama yang mengatur setiap sisi kehidupan tanpa terkecuali, Allah berfirman:
Mafhumnya : ”Katakanlah: "Sesungguhnya aku telah ditunjuki oleh Tuhanku kepada jalan yang lurus, (iaitu) agama yang benar; agama Ibrahim yang lurus; dan Ibrahim itu bukanlah termasuk orang-orang yang musyrik".(161) Katakanlah: "Sesungguhnya shalatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam, (162) tiada sekutu bagi-Nya; dan demikian itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama-tama menyerahkan diri (kepada Allah)".[Q.S. Al-An’am : 161-163]
Itulah sebabnya pada hari ini mengapa kaum sekularis menentang dan memusuhi Islam sehebat-hebatnya. Jadi di samping pengalaman pahit berperang atas nama agama pada masa lalu ditambah pula dengan kebodohan tentang ketuhanan dan diperparahkan lagi dengan kedengkian terhadap agama Islam, maka jadilah suasana seperti yang kita saksikan sekarang ini. Malangnya ada pula daripada ummat Islam sendiri yang kononnya bergelar pemikir Islam mengikut-ikut pula langkah kaum sekularis dari kalangan bukan Islam itu; maka mereka menyalahkan para ulama sebagaimana orang-orang Kristian menyalahkan paderi mereka, yang kemudian berakhir dengan menolak agama di dalam hidup sebagaimana kaum sekularis Kristian menolak agama di dalam hidup. Mungkin mereka lakukan semua itu kerana kejahilan, mungkin juga kerana terpesona dengan kemajuan Barat yang sekular, atau juga ada kepentingan tertentu yang tersembunyi di dalam dada mereka. Hanya mereka dan Allah yang mengetahui.
D. Penutup.
Daripada huraian tadi, maka jelaslah mengapa kaum Sekularis ditentang oleh ummat Islam, maka di antara sikap kita setelah mengetahui perkara ini adalah:
1. Tetap beriman dan beragama Islam meskipun mendapat serangan yang hebat daripada Kaum Sekularis. Semua itu adalah ujian keimanan dan merupakan sunnatullah di alam ini. Allah berfirman :
Mafhumnya : “Hai orang-orang yang beriman, jika kamu mengikuti sebahagian dari orang-orang yang diberi Al Kitab, nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang kafir sesudah kamu beriman.(100) Bagaimanakah kamu (sampai) menjadi kafir, padahal ayat-ayat Allah dibacakan kepada kamu, dan Rasul-Nya pun berada di tengah-tengah kamu? Sesiapa yang berpegang teguh kepada (agama) Allah maka sesungguhnya ia telah diberi petunjuk kepada jalan yang lurus.(101) Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam.". [Q.S. Ali Imran: 100-102]
2. Berwaspada terhadap apa sahaja yang dibawa oleh para Sekularis, sehingga ia tidak mendatangkan musibah terhadap diri dan ummat Islam, Allah berfirman :
Mafhumnya: “Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu”. [Q.S. Al- Hujuraat: 6]
3. Sentiasa membekali diri dengan ilmu, kerana ilmu adalah diantara bekal yang boleh menggagalkan propaganda mereka dan sekaligus dengan ilmu tersebut boleh pula menasehati dan mengislamkan mereka, Allah berfirman:
Mafhumnya: "Aku sampaikan kepadamu amanat-amanat Tuhanku dan aku memberi nasihat kepadamu, dan aku mengetahui daripada Allah apa yang tidak kamu ketahui". [Q.S. Al-A’raf: 62]
4. Berdo’a kepada Allah supaya hati tidak dipalingkan kepada kesesatan setelah mendapat petunjuk daripada Allah, Allah berfirman :
Mafhumnya: “(Mereka berdo`a): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan karuniakanlah kepada kami rahmat daripada sisi Engkau; kerana sesungguhnya Engkau-lah Maha Pemberi (karunia)". [Q.S. Ali Imran: 8]
Demikianlah pembahasan sederhana tentang mengapa Kaum Sekularis itu ditentang oleh ummat Islam. Mudah-mudahan kita telah mendapatkan gambaran awal tentang siapa mereka, apa sahaja perkara yang mereka munculkan, dan mengapa mereka memunculkannya dan bagaimana sikap kita menghadapinya. Alangkah malangnya apabila kita tidak mengetahui perkara ini kerana ia di antara ancaman utama dalam hidup beragama pada masa ini.
Wallahu A’lam. al-faqir ila rabbih : Dr. H. Musthafa Umar
Baca lagi...
Monday, October 11, 2010
Rakaman : Kuliah Subuh Oleh Ustaz Dr Musthafa Umar Pada 2hb Oktober 2010
TEMPAT : Surau An-Nur, Bandar Baru Bangi, Selangor
RAKAMAN : | muat turun |
Saturday, April 10, 2010
Rakaman : Anak-Anak Aset Bernilai Di Dalam Membentuk Masyarakat Beriman

TEMPAT : Surau An-Nur, Bandar Baru Bangi
RAKAMAN : | muat turun |