KALENDAR KULIAH PENGAJIAN SURAU AN-NUR

Showing posts with label Saifulislam. Show all posts
Showing posts with label Saifulislam. Show all posts

Sunday, August 1, 2010

Puasa Menjana Manusia Efektif

  1. Tema: Menghargai sebuah kehidupan. Melakukan yang terbaik
  2. Syarat utama ialah mengeluarkan diri dari taklukan faktor luar, membebaskan diri dan memimpin kebebasan itu dengan prinsip
  3. Bagaimana Islam merealisasikan hal ini? TAQWA
  4. Puasa: contoh terbaik
  5. Tidak makan kerana tiada makanan: tidak menjadi proses / latihan.
  6. Ada makanan, memilih untuk tidak makan, kerana Allah – mekanisma latihan membebaskan diri dan memimpin kebebasan dengan prinsip
  7. Belajar berkata tidak kepada sesetengah kemahuan diri (hikmah puasa)
  8. Ambil ia secara pakej
  9. Semasa membeli di bazar Ramadhan, belajar berkata tidak (sengajakan beberapa kekecewaan)
  10. Apabila menerima provokasi, jangan lawan dan jangan pendam, nanti jadi dendam. Sebaliknya ekspresikan ia pada kadar yang terkawal dengan berkata AKU BERPUASA
  11. Orang yang menghayati PUASA akan bagus kawalan diri. Jika air masuk ke dalam mulut semasa mandi, dia tidak hilang kawalan lalu menelan air. Sebaliknya dia mampu menekan butang pause kemudian meludahnya keluar.
  12. Jika diberikan cek RM10K bernama rasuah, dia terliur tetapi mampu menekan butang pause dan mencarik cek itu kerana ada kawalan ke atas diri.
  13. Benarlah firman Allah:

Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. [Al-Baqarah 2: 183]

"Erti Hidup Pada Memberi"

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor


Baca lagi...

Thursday, July 22, 2010

Kebebasan Terpimpin Oleh Ustaz Hasrizal Abd Jamil

  1. Kebebasan itu membinasakan kerana cuba mengambil sifat Tuhan. Hanya Allah yang tidak bergantung kepada mana-mana pihak.
  2. Cabaran anak-anak kita yang dilepaskan ke Menara Gading bukan cabaran duit, silibus dan lain-lain tetapi cabaran kebebasan.
  3. Jika di asrama ada ustaz bawa kayu batang pokok nangka ketuk katil Solat Subuh, kini tiada lagi.
  4. Ramai musnah dengan ujian kebebasan.
  5. Kebebasan mesti terpimpin – Dipimpin oleh prinsip
  6. Demikian jugalah malah lebih sempurna, mekanisma di sebalik ungkapan Shahadah لا إله إلا الله
  7. Intipati Laa Ilaaha Ilaallaah iaitu [Tiada yang paling utama dalam hidup ini melainkan Allah] bermula dengan ungkapan لا إله yang memberikan konotasi pembebasan. Tiada sesuatu apa pun yang menjadi pengawal ke atas diriku. Dan إلا الله pula mensabitkan prinsip yang memimpin kebebasan berkenaan bahawa hanya Allah satu-satunya Penentu keutamaan dalam hidup ini
  8. Bagaimanakah mencapai ke arah itu?
  9. Islam memesan kepada TAQWA. Bahawa Taqwa itulah yang menjadi enjin kepada keupayaan seseorang menghayati kalimah Shahadah tersebut.
  10. Mengambil definisi praktis
  11. Dialog antara Umar r.a. dengan Ubayy bin Ka’ab tentang Taqwa iaitu “Taqwa itu adalah seumpama melalui sebuah lorong yang penuh duri. Kaki dilangkah dengan penuh hati-hati berbekalkan ‘tahap sedar yang baik’ dan ‘kawalan diri yang optima’.
  12. Intipati utama TAQWA ialah (i) kekal sedar (ii) kawalan baik ke atas diri
  13. Remain conscious dicapai antaranya adalah melalui Basmalah kerana ungkapan Bismillah di awal perbuatan menyedarkan tentang tujuan / objektif.
  14. Good self-control: membuat keputusan yang betul sebagai tindakan.
  15. Bertaqwalah kepada Allah!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Nota:

Sila ikuti siarannya di Radio IKIM.FM 91.5, pada jam 7:30 pagi setiap Isnin hingga Jumaat di sepanjang bulan Julai.

Slot Motivasi Pagi itu mengisi Segmen Warna yang dikendalikan oleh DJ Ustaz Mohd Erwan Johari dan DJ Maslina Alias.

Siaran ulangan bagi slot Motivasi Pagi ini ialah selepas azan Maghrib pada hari yang sama.
Baca lagi...

Tuesday, July 20, 2010

Membebaskan Diri Daripada Taklukan Faktor Luaran

MEMBEBASKAN DIRI DARIPADA TAKLUKAN FATOR LUARAN
  • Allah menjadikan manusia dengan potensi yang sama – semua boleh menjadi hebat. Iaitu apa yang dinamakan sebagai fitrah.
  • Manusia sudah terbiasa hidup bergantung kepada bantuan manusia lain bermula daripada detik kelahiran hingga ke kematian. Kebiasaan ini jika tidak diurus tadbir dengan baik akan memberikan kesan yang tidak baik kepada potensi diri apabila kita terlalu terikat dengan bantuan orang lain.
  • Justeru kehebatan manusia adalah bermula dengan pembebasan diri.
  • Meminjam kata-kata Stephen Covey di dalam The 7 Habits: Manusia tidak boleh berperanan (efektif) selagi mana dia itu seorang yang DEPENDENT.
  • DEPENDENT: Terikat atau tertakluk dengan banyak faktor luaran yang mengongkong diri – terikat dengan keadaan trafik, cuaca, fesyen, makanan, suami, isteri… Misalnya, seorang suami tidak boleh menjadi baik dengan alasan isterinya tidak baik. Atau seorang pemandu tidak boleh berhenti mencarut dan beralih kepada zikir kerana jalanraya yang terlalu sesak. Mood tidak baik kerana cuaca mendung. Keadaan seperti ini tidak memungkinkan seseorang itu menjadi efektif dalam kehidupan kerana dia tidak mempunyai kawalan ke atas diri sendiri sebaliknya dikawal oleh faktor-faktor itu tadi.
  • Mesti bebaskan diri menjadi manusia yang INDEPENDENT.
  • Apabila kita bebas barulah kita menjadi Master of Your Own Destiny.
  • Benarkah begitu?
  • Kebebasan itu boleh membinasakan. Cuba julang sebuah buku ke udara dan lepaskan ia dari pegangan. Atau layang-layang terputus tali.
  • Oleh itu, kebebasan mesti ada tempat berpegang untuk memegang dan dipegang
  • Kebebasan mesti dipimpin oleh prinsip. Guided by principles.
  • Islam memberikan acuan yang sama malah lebih sempurna.

Nampakkah (Wahai Muhammad) keburukan keadaan orang Yang menjadikan hawa nafsunya: Tuhan Yang dipuja lagi ditaati? maka Dapatkah Engkau menjadi Pengawas Yang menjaganya jangan sesat? [Al-Furqan 25: 43]

  • Ayat berkenaan menceritakan ada manusia hidup sebagai mangsa jajahan, bukan dijajah oleh Kuasa Asing tetapi dijajah oleh Hawa Nafsunya sendiri apabila tidak mempunyai kawalan ke atas diri dan sentiasa mengikut kehendak Nafsu. Misalnya, terpaksa makan kerana ada makanan.
  • Inilah rahsia dan peranan besar Syahadah kita. Ungkapan (لا إله) – bermaksud membebaskan diri daripada dipertuhankan oleh hawa nafsu, oleh fesyen, malah oleh suami, isteri, majikan atau cuaca. Kita bebas menentukan pilihan tindakan.
  • Namun kebebasan itu dipimpin dan ditunjang oleh prinsip yang datang pada bahagian berikutnya (إلا الله)
  • Sesungguhnya hanya Allah sahaja yang menjadi keutamaan tertinggi hidup kita, justeru mentunjangi kebebasan dan pilihan dalam hidup ini.
  • Selamat membebaskan diri, dan memaksikan kebebasan itu pada sebuah pendirian yang berIlahkan Allah!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG

Nota:

Sila ikuti siarannya di Radio IKIM.FM 91.5, pada jam 7:30 pagi setiap Isnin hingga Jumaat di sepanjang bulan Julai.

Slot Motivasi Pagi itu mengisi Segmen Warna yang dikendalikan oleh DJ Ustaz Mohd Erwan Johari dan DJ Maslina Alias.

Siaran ulangan bagi slot Motivasi Pagi ini ialah selepas azan Maghrib pada hari yang sama.


Baca lagi...

Monday, July 19, 2010

Sentiasa Memberi Yang Terbaik

SENTIASA MEMBERI YANG TERBAIK
  1. Menyedari akan benarnya sebuah kematian di hujung perjalanan, maka marilah kita menghargai kehidupan ini.
  2. Biar pun kehidupan di dunia ini sangat pendek, namun ia menentukan kehidupan tanpa sempadan usia kita di Sana nanti. Biar pun kata sesetengah orang hidup ini sementara, namun hakikatnya kesan perbuatan kita kekal selama-lamanya.
  3. Justeru lakukanlah yang terbaik demi menghargai peluang yang ada dalam kehidupan yang singkat ini.
  4. Sebagai contoh, seorang suami teringin memakan ayam masak merah. Si isteri memasak acuh tidak acuh sedangkan bibik masak dengan bersungguh-sungguh. Tentu sahaja ayam masak merah kedua itu yang lebih menarik perhatian untuk dijamah. Ia adalah fitrah manusia yang memilih segala yang terbaik jika diberi peluang.
  5. Fitrah manusia sukakan yang terbaik
  6. Namun bolehkah kita mengharapkan yang terbaik jika tidak memberi yang terbaik? Pepatah menyebut, “what you give you get back
  7. Melakukan yang terbaik adalah semangat Islam dalam semua pekerjaan. Acuh tidak acuh atau budaya melepaskan batuk di tangga bertentangan dengan tatacara Islam dalam menilai perbuatan.
  8. Berhakkah Allah menghendaki yang terbaik daripada kita? Sudah tentu kerana Allah telah memberikan yang terbaik kepada kita.
  9. Kontraktor yang dilantik dengan bekalan alat binaan terbaik, pekerja terbaik, sudah tentu majikan menjangkakan hasil yang terbaik.
  10. لقد خلقنا الإنسان في أحسن تقويم
ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG

Nota:

Sila ikuti siarannya di Radio IKIM.FM 91.5, pada jam 7:30 pagi setiap Isnin hingga Jumaat di sepanjang bulan Julai.

Slot Motivasi Pagi itu mengisi Segmen Warna yang dikendalikan oleh DJ Ustaz Mohd Erwan Johari dan DJ Maslina Alias.

Siaran ulangan bagi slot Motivasi Pagi ini ialah selepas azan Maghrib pada hari yang sama.

Baca lagi...

Wednesday, July 14, 2010

Menghargai Sebuah Kehidupan Oleh Ustaz Hasrizal Abd Jamil

MENGHARGAI SEBUAH KEHIDUPAN

  1. Gagal merancang bererti merancang untuk gagal. Hidup kita sudah terbiasa dengan pelbagai rancangan, sama ada apa yang dirancang untuk kita, atau kita sendiri merancang dengan pelbagai harapan.
  2. Hidup berjalan dengan pelbagai perancangan dan jangkaan. Kita melepasi peringkat sekolah rendah – sekolah menengah – universiti – kerja – kahwin – anak – tua – pencen. Setiap peringkat itu berjaya ditempuh dengan kejayaan mengatasi kebarangkalian ia tidak berlaku. Tidak semua yang bersekolah rendah sampai ke sekolah menengah. Tidak semua yang di universiti berjaya menggenggam segulung ijazah. Belum tentu semua yang berijazah mendapat kerja. Bukan semua yang bekerja bertemu jodoh, berkahwin, beranak pinak dan mencecah usia tua.
  3. Semuanya sentiasa dengan kebarangkalian harapan tidak tercapai
  4. Hanya satu yang pasti berlaku iaitu MATI! Fikir mati pun mati, tak fikir mati pun mati. Bersedia untuk mati pun mati, tak bersedia untuk mati pun mati.
  5. Justeru janganlah dipanggil bakal Datuk kerana mungkin tidak jadi Datuk. Jangan dipanggil bakal Puan Seri kerana mungkin tidak jadi Puan Seri.
  6. Sebaliknya, WAHAI BAKAL-BAKAL JENAZAH sekalian! Itulah saya dan anda semua.
  7. Islam tak mengajar kita takut dengan kematian tetapi menyedari adanya kematian di hadapan maka HARGAILAH SEBUAH KEHIDUPAN
  8. Teringat kepada perbualan saya dengan ibu bapa yang anak mereka sakit jantung – jangan difikir ajal anak itu kerana mungkin doktor mati dulu kemalangan. Mungkin ibu bapa mati dulu. Mungkin saya mati dulu berbanding anak kecil yang sakit itu. Justeru janganlah dibimbangkan tentang kematian. Sebaliknya hargai setiap detik yang ada.
  9. Nabi SAW bersabda: صلِّ صلاة مودِّع كأنك تراه ، فإن كنت لا تراه فإنه يراك yakni “bersolatlah kamu dengan solat perpisahan seolah-olah kamu melihat Allah. Jika kamu tidak dapat merasakan yang kamu melihat-Nya, sekurang-kurangnya rasakanlah bahawa Dia itu melihat kamu”.
  10. Kita akan mati di antara dua solat. Tiada jaminan selesai solat Asar, kita sempat sampai ke Maghrib. Justeru setiap solat, lakukanlah ia sebagai solat terbaikmu.
  11. Wal-‘Asr

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Nota:

Sila ikuti siarannya di Radio IKIM.FM 91.5, pada jam 7:30 pagi setiap Isnin hingga Jumaat di sepanjang bulan Julai.

Slot Motivasi Pagi itu mengisi Segmen Warna yang dikendalikan oleh DJ Ustaz Mohd Erwan Johari dan DJ Maslina Alias.

Siaran ulangan bagi slot Motivasi Pagi ini ialah selepas azan Maghrib pada hari yang sama.

Baca lagi...

Friday, June 18, 2010

Antara Salah Laku Anak dan Hukuman oleh Saifulislam

“Siapa pecahkan pinggan ini?” si ibu menjerit.

Anak-anaknya yang berderet itu membatukan diri.

Mustahil ada yang mahu mengaku.

“Siapa buat? Kak Long? Angah? Siapa yang buat?” si ibu yang sedia letih itu melempiaskan amarahnya.

Kak Long, Angah, Achik, semua mereka mendiamkan diri. Jantung masing-masing berdegup kencang.

Ibu yang keletihan mencari pesalah, akhirnya mengambil jalan mudah. Ketiga-tiga anaknya dihukum. Mereka dicubit seorang demi seorang.

“Yang bersalah tidak mengaku. Yang tahu siapa yang bersalah bersubahat tidak mahu memberitahu. Semua salah!” ibu cuba melogikkan tindakannya menghukum mereka bertiga.

JERITAN BIASA

Jeritan itu adalah jeritan yang biasa kita dengar di rumah.

Mungkin rumah orang, mungkin rumah kita.

Apabila berlaku sahaja sesuatu yang tidak kena, soalan yang spontan keluar, “siapa yang bersalah?”

Soalan seperti ini melayangkan mesej yang jelas bahawa ia akan berakhir dengan hukuman. Sama ada kesemua mereka mengambil tindakan mendiamkan diri, atau mereka mungkin segera saling menunding jari. Kita sebagai ibu bapa yang terkeliru, enggan malu kerana gagal menyelesaikan puzzle itu, lalu mengambil jalan mudah menghukum mereka semua.

Kebijaksanaan kita sebagai orang dewasa, menerbitkan pelbagai alasan untuk menjustifikasikan keadaan.

Namun tahap pemikiran anak-anak hanya berakhir dengan kesimpulan-kesimpulan yang membinasakan.

Mereka saling bermusuhan, saling salah menyalahkan, malah belajar menipu kerana terdesak mengendalikan rasa takut yang berlaku.

PRIMUM NON NOCERE

Situasi ini mengingatkan saya kepada satu ungkapan yang sering disebut oleh ahli psikologi malah para doktor di Wad Kecemasan. Kata mereka, “Primum non nocere!” Maksudnya ialah “paling penting, jangan memudaratkan!”

Apa-apa sahaja yang berlaku, pastikan tindakan yang mahu diambil jangan memudaratkan. Ada kalanya, dalam kes-kes di hospital adalah lebih baik untuk tidak memberikan rawatan, berbanding bertindak sesuatu yang mencetuskan mudarat ke atas pesakit. Ia adalah etika perubatan yang penting.

Sama juga halnya dalam proses mendidik anak-anak.

Apa-apa tindakan yang mahu diambil, pastikan jangan ia berakhir dengan kemudaratan. Tatkala kita gagal memutuskan tindakan paling tepat, amat malang jika tindakan kita tidak melontarkan mesej yang betul, sebaliknya menyemai rasa benci dan mahu membalas dendam.

Saya sendiri pernah bertemu dengan anak remaja yang berkhayal mahu terbabit dalam upacara pengebumian bapanya, untuk kepuasan diri!

PSIKOLOGI PENUMBUK

“Aah, ustaz. Saya tak makanlah cadangan-cadangan ustaz. Bagi saya, ini dia namanya psikologi!” kata seorang lelaki sambil menggenggam penumbuk di tangannya.

“Anta technician elektrik, kan?” saya bertanya.

“Ya. Saya jaga bahagian komputer-komputer di makmal kampus ini!” katanya.

“Kalau komputer rosak, anta guna ke penumbuk itu sebagai psikologi untuk memperbaikinya?” saya melontar soal.

“Mana boleh. Komputer mesti diperbaiki mengikut manual” jawabnya tegas. Menghormati profesyennya sendiri.

“Habis kalau anak bermasalah, apakah tiada manualnya lalu diperbaiki hanya dengan penumbuk itu?” saya menyudahkan soalan.

Sepi.

Beliau diam.

Saya pun diam.

Saya bukan marahkan lelaki itu.

Saya marahkan diri saya sendiri. Seorang bapa yang semakin bertambah anak, semakin anak membesar, semakin hilang kepercayaan kepada manual membetulkan tingkah laku anak-anak. Mahu mencari penyelesaian segera. Penyelesaian yang sering berakhir dengan kemudaratan. Anak tidak belajar sesuatu, sebaliknya menambah dendamnya terhadap kita yang semakin gagal menangani dia.

Bukan kerana buruk niat dan tujuan.

Tetapi kerana tiada kemahiran.

Kemahiran yang tidak datang sendiri. Kemahiran yang mesti dipelajari. Dari semasa ke semasa.

CIKGU JATUH

Puan Sabariah adalah guru senior di sebuah sekolah.

Orangnya berhemah. Tidak pernah menjatuhkan harga diri.

Tetapi hari itu dia tergelincir dan jatuh terlentang di depan kelas.

Sakitnya bukan kepalang.

Tetapi sakit hatinya berganda-ganda lagi apabila murid-murid mentertawakan dia.

Puan Sabariah bangun perlahan-lahan dan kemudian berdiri tegak membetulkan diri.

“Itu pelajaran pertama saya kepada awak hari ini. Sesiapa sahaja dalam hidup ini boleh jatuh dalam kehinaan, tetapi dia mampu bangkit dan berdiri teguh semula!” katanya dengan penuh hemah dan ketegasan.

Kelas sepi.

Ulasan itu sangat berhikmah.

Puan Sabariah menunjukkan betapa ketawa anak muridnya tidak mampu dibersihkan dengan tengkingan atau kemarahan. Sebaliknya dengan sedikit kesabaran, dia membetulkan keadaan dengan kebijaksanaan. Dengan hikmah.

Hikmah yang kita perlukan sebagai ibu dan bapa dalam mendidik anak-anak.

HIKMAH KENABIAN

Semasa bapa saudara kepada Abu Rafi ibn Amr al-Ghifari seorang anak kecil, beliau gemar membaling batu ke pokok-pokok tamar kaum Ansar.

Budak itu dibawa mengadap Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Beliau takut. Bimbang dihukum oleh Baginda.

“Wahai budak, mengapa kamu membaling batu ke pokok-pokok tamar itu?” Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam bertanya.

“Saya membaling batu ke pokok-pokok tamar itu kerana mengharapkan buah tamar gugur dan saya boleh memakannya” jawab budak itu.

Jujur.

Bukan jahat, tetapi bingung pada usianya.

“Jangan baling batu ke pokok-pokok tamar. Tetapi makan sahajalah apa-apa yang sudah (ranum dan) gugur di bawahnya” nasihat Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Lalu Baginda mengusap kepala budak itu sambil berdoa, “Ya Allah, kenyangkanlah budak ini”

Baginda sentiasa demikian.

Konsisten.

Mempamerkan bahawa komunikasi efektif adalah cara terbaik pada membetulkan keadaan.

Jauh dari hukuman yang jarang-jarang sekali menawarkan penyelesaian.

SALING MEMBERANAKKAN

Salah laku dan hukuman bukan antonim yang saling membatal dan menyelesaikan. Malah kedua-duanya memberanak dan menyuburkan lagi antara satu sama lain. Salah laku memberanakkan lebih banyak hukuman semberono. Hukuman semberono membanyakkan lagi salah laku. Hukuman yang tidak tepat tidak menyelesaikan masalah, sebaliknya ia mengajar anak-anak untuk lebih bijak dan licik melepaskan diri.

Siapa kata mendidik anak mudah?

Pastinya, saya tidak pernah berani berkata begitu.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Baca lagi...

Sunday, April 11, 2010

Kelahiran di Sebalik Kematian Oleh Saifulislam

Cara Kerja Allah sungguh misteri, tetapi harmoni!

“Kami mahu menjemput Imam untuk solat jenazah di Funeral Home!” kata pegawai polis tersebut.

Bingung.

Solat jenazah.

Di Funeral Home?

Saya kehairanan.

“Siapa yang meninggal dunia?” saya bertanya.

“Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun” jawab pegawai polis itu.

“Baiklah. Saya panggil beberapa orang lagi dan kita berangkat 10 minit lagi” saya bersetuju.

Tengah hari itu saya berjaya mengumpulkan kira-kira 7 orang jemaah masjid. Kami bertolak ke Funeral Home itu dengan sebuah kereta limosin hitam yang disediakan oleh pihak gereja. Di sepanjang perjalanan, saya masih tidak jelas dengan majlis yang bakal kami hadiri.

Perjalanan ke Funeral Home yang terletak di pinggir Belfast Selatan itu tidak memakan masa yang panjang. Kelihatan di perkarangan bangunan, banyak kereta dan orang ramai yang berpakaian hitam.

Suasana diselubungi kesedihan.

Pegawai polis yang membawa kami, memperkenalkan saya kepada seorang wanita Irish. Beliau berusia dalam lingkungan akhir 20′an.

“Oh, inikah Imam tersebut?” tanya beliau.

“Ya. Perkenalkan, Mr. Hasrizal” kata pegawai polis itu kepada wanita tersebut.

“Oh, terima kasih Mr. Imam. Saya Jenny, ibu kepada Mary” beliau memperkenalkan diri kepada saya.

Saya perasan yang Jenny tidak menghulurkan tangan untuk bersalam. Bagus sekali.

“Maafkan saya. Saya menumpang sedih atas kematian anak puan. Bagaimana semua itu berlaku?” saya bertanya.

“Entahlah. Kami bangun pagi dan Mary sudah pun meninggal dunia di dalam tidurnya” kata Jenny.

Sungguh tragis. Seorang kanak-kanak berusia lima tahun yang sihat, tiba-tiba ditemui meninggal dunia di dalam tidurnya. Saya segera teringatkan Saiful Islam yang masih kecil di rumah. Sesungguhnya setiap hari anak kita berjaya bangun daripada tidurnya dan bernafas, ia adalah anugerah Allah buatnya dan buat kita. Setiap hari adalah survival. Terasa benar betapa fragile seorang bayi. Betapa perlunya ibu dan bapa memberikan kepadanya sebaik-baik penjagaan.

“Perkenalkan ini Mustafa, suami saya!” kata Jenny.

Saya menghulurkan tangan beriringan dengan senyuman.

Mustafa berpaling ke arah lain. Enggan bersalaman dengan saya.

Saya agak terkejut. Terkejut dengan penampilannya yang rugged dan beranting-anting. Terkejut kerana namanya Mustafa, seorang Muslim dari Algeria. Terkejut kerana dia enggan bersalaman dengan saya. Terkejut kerana isterinya yang Jenny itu pula yang mengusahakan kedatangan saya dan rombongan masjid untuk menyembahyangkan jenazah anak mereka, Mary.

“Maaf saya, Imam. Dia kesedihan” kata Jenny.

“Tak mengapa. Saya juga kalau berada di tempatnya, pasti sedih dan sukar untuk berkelakuan biasa” saya menjawab.

“Saya seorang Katholik. Tetapi saya mahu Mary disembahyangkan sebagai seorang Muslim. Saya yang menghubungi pihak polis meminta mereka mencari masjid dan Imam” jelas Jenny lagi.

Perlahan-lahan saya dan jemaah masjid melangkah masuk ke dewan. Saudara-mara mereka sudah memenuhi dewan. Sesungguhnya ia merupakan suatu pengalaman baru yang sungguh menguji keyakinan diri saya. Tidak pernah saya membayangkan boleh berada di dalam suasana seperti ini, suatu hari nanti.

Saya berdiri di sisi keranda.

Seorang anak kecil tidak seperti sekujur mayat.

Wajahnya ada senyuman.

Rambut dipintal cantik.

Baju gaun putih sungguh berseri.

Saya hampir terlupa, anak kecil yang ‘tidur’ itu telah tidur yang tidak akan menjengah pagi. Pergi tak kembali.

Sebak dada menahan mata yang semakin berkaca.

“Tidurlah sayang. Allah mengasihimu” saya berbisik perlahan.

Keranda kecil itu kami betulkan posisinya agar bertepatan dengan Kiblat. Cuba mencari ruang yang bersih daripada patung Jesus dan gambar-gambar yang tidak kena untuk berada di hadapan kami yang mahu mengangkat Takbir.

Saya, Jamal, As’ad, Ahmad dan beberapa orang lagi jemaah Masjid yang hadir mengerjakan solat jenazah untuk melunaskan hak anak kecil itu ke atas kami. Semoga anak itu berehat di alam sana. Saya terkilan kerana ayahnya, Mustafa, enggan menyertai solat jenazah kami ke atas anaknya yang ‘malang’ itu. Beliau hanya duduk bersama keluarga isterinya yang Katholik itu, memerhatikan kami bersolat.

Selesai solat didirikan, saya dikehendaki memberikan sepatah dua kata.

Aduh!

Apa yang mahu saya ucapkan? Di hadapan orang Irish itu? Katholik? Suasana sedih?

Saban hari, ada sahaja tugas baru yang tidak pernah berada di dalam jangkaan saya. Setiap hari adalah cabaran. Kemahuan dakwah dan khidmat tidak cukup. Saya perlu ada keberanian untuk melakukan apa yang perlu.

Just do it!

“Silakan Imam!” kata pengerusi majlis.

Tersentak saya daripada lamunan.

“Encik Mustafa, Puan Jenny, ahli keluarga dan rakan-rakan yang hadir. Hari ini adalah hari yang sedih buat semua. Sedih buat Encik Mustafa dan Puan Jenny, sedih untuk kita semua dan sedih untuk saya, seorang bapa kepada seorang anak kecil. Ia sedih untuk kita semua. Tetapi kesedihan itu mungkin boleh dikurangkan dengan berfikir tentang sesuatu yang gembira…” saya memulakan bicara.

Cuba untuk empati, dan memilih perkataan yang betul dalam keadaan emosi semua orang yang begitu rapuh.

“Di sisi Islam, setiap bayi yang lahir, tanpa mengira siapa bapa dan siapa ibunya, apa warna kulit dan di bumi mana kelahirannya, setiap bayi lahir suci. Penuh potensi untuk kehidupan. Mary meninggalkan kita ketika beliau belum mencapai usia baligh. Beliau suci dan dengan kesucian itu, beliau kita berada di tempat yang terbaik di sisi Tuhan. Dan jika kita biasa membayangkan bahawa anak-anak akan mengebumikan ibu bapa yang mati sakit tua, hakikatnya di dalam hidup ini boleh sahaja berlaku, ibu dan bapa yang menghantar anak pergi. Semua itu adalah cara Tuhan memberitahu kita, bahawa kita semua adalah milik-Nya” saya menyudahkan ucapan.

Pada saat yang sedemikian itu kekuasaan memberi pertolongan hanya tertentu bagi Allah, Tuhan yang sebenar-benarnya; Dia lah sebaik-baik pemberi pahala, dan sebaik-baik pemberi kesudahan yang berbahagia (kepada hamba-hambaNya yang taat)” [al-Kahf 18: 44]

Ucapan ringkas saya itu mendapat tepukan yang positif daripada sekalian mereka yang hadir.

Saya menarik nafas lega. Dan dalam kelegaan itu, ungkapan sebenarnya adalah ALHAMDULILLAH.

“Bagaimana dengan pengebumian? Apakah kita mahu biarkan sahaja anak itu dikebumikan di tanah perkuburan Kristian?” bisik salah seorang ahli rombongan masjid yang hadir.

“Apakah salib yang bakal dipacak di atas keranda budak itu akan mengubah nasibnya di kubur? Semua itu bukan keutamaan kita. Berpeluang mengerjakan solat jenazahnya pun sudah merupakan nikmat yang besar buat kita. Jika pengebumian di kubur bukan Islam itu satu isu, serahkanlah ia kepada Encik Mustafa, bapanya. Apa yang penting, amalan si mati. Dan untuk almarhumah Mary, tiada apa yang perlu kita khuatirkan. Pengebumian untuk dia, bukan untuk kita!” saya menjawab.

Lelaki itu berpuas hati.

Beliau beredar meninggalkan dewan Funeral Home itu bersama kami.

Di dalam perjalanan pulang, fikiran saya berkecamuk. Antara sedih dan lega. Sedih memikirkan keadaan Mary. Tetapi lega Allah ‘mengambilnya’ semula pada usia semuda itu. Saya tidak dapat membayangkan bagaimana Mary akan membesar dengan baik jika ibunya yang Kristian Katholik itu bersungguh dengan Islam, manakala bapanya yang Muslim itu pula, entah di mana Islamnya.

BEBERAPA HARI SELEPAS ITU

Pengalaman menyembahyangkan jenazah seorang anak kecil yang ibunya Kristian Katholik dan bapanya Muslim, adalah sesuatu yang tidak pernah berada di dalam bayangan saya semasa menerima perlantikan sebagai Imam di Belfast Islamic Centre. Saya tahu di Belfast memang ada sejumlah Muslim yang mengahwini Irish Kristian dengan peruntukan Syariah dalam perkahwinan Kitabiyyah. Apa yang sering merunsingkan saya adalah pada memikirkan nasib anak-anak daripada perkahwinan itu.

“Assalamualaikum, Imam” tiba-tiba Ahmad memanggil saya.

“Wa ‘alaikum al-Salaam. Silakan!” saya menjawab salam.

“Ada seorang pemuda bernama Jonathan. Beliau mahu bertemu dengan Imam” jelas Ahmad.

Saya mempersilakan Jonathan masuk ke pejabat. Wajahnya seperti pernah saya lihat tetapi tidak pasti di mana.

“Imam tidak ingat saya, barangkali. Saya hadir di majlis penghormatan terakhir ke atas baby Mary minggu lalu. Saya sepupunya” Jonathan memperkenalkan diri.

“Oh begitu. Maafkan saya. Bagaimana Jenny dan suaminya?” saya bertanya.

“Mereka berada di dalam keadaan yang baik. Terutamanya ibu saudara saya, Jenny. Dia memang seorang yang cekal” terang Jonathan.

“Apa hajat saudara datang ke masjid ini? Insya Allah saya cuba membantu” saya terus kepada urusan utama.

“Semasa kami mendapat tahu Mary meninggal dunia, semua orang marahkan Jenny. Beliau menangguh-nangguhkan Baptism ke atas Mary sehingga Mary mati. Kami semua bimbang dengan keadaan Mary yang tidak dibersihkan daripada original sin dan ini menyulitkannya nanti untuk berinteraksi dengan Divine Life. Tetapi ucapan Tuan Imam selepas sembahyang itu mengubah segalanya. Saya terkejut apabila tuan katakan bahawa, menurut Islam Mary mati dalam keadaan yang bersih!” cerita Jonathan.

“Benar. Bukankah itu juga yang sepatutnya?” saya menyoal lagi.

“Ya, kami semua mahu percaya bahawa Mary suci. Susah sekali mahu membayangkan seorang yang kecil, suci dan bersih seperti Mary, mati sebagai manusia berdosa. Tetapi Islam menepati perasaan sebenar kami” ujar Jonathan lagi.

Saya terkasima.

Ucapan ringkas dan spontan saya tempoh hari amat hambar dan terlalu biasa buat saya. Rupa-rupanya impak ucapan itu besar kepada yang mendengarnya.

“Saya mahu belajar tentang Islam” kata Jonathan.

Masya Allah… benarlah Islam itu fitrah.

Kematian Mary, adalah untuk ‘melahirkan semula’ Jonathan, seorang anak muda.

Jonathan, selamat datang ke agama fitrah!

Hebat sungguh perancangan-Mu!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
Baca lagi...

Friday, April 2, 2010

Rakaman : Kuliah Maghrib Oleh Ustaz Hasrizal Abd Jamil Pada 10hb Mac 2010

OLEH : USTAZ HASRIZAL ABD JAMIL A.K.A SAIFULISLAM
TARIKH : 10hb Mac 2010
TEMPAT : Surau An-Nur, Bandar Baru Bangi
RAKAMAN : | muat turun |

Terimakasih Encik Arman atas rakaman
Baca lagi...

Friday, March 19, 2010

Ceria Dalam Memberi

Saya masih bapa yang boleh menceriakan anak-anak.

Mereka bersedia untuk diceriakan oleh bapa mereka.

Mereka sentiasa menanti-nanti untuk diceriakan oleh bapa mereka.

Hanya saya sahaja… yang perlu lebih ceria.

Jangan kerja dan kepenatannya menghilangkan keceriaan itu.

Jangan masalah dan komplikasinya memudarkan kegembiraan itu.

Andai tidak mampu ceria kerana memang ceria…

Sekurang-kuranglah belajarlah untuk ceria kerana mahu menceriakan insan-insan tersayang.

Itu adalah sebahagian definisi erti hidup pada ‘memberi’.

Ceria bukan kerana ceria.

Tetapi ceria untuk menceriakan.

Menceriakan anak-anak.

Menceriakan isteri.

Pasti nanti, ceria juga diri ini akhirnya.

Senyum….

Sumber : http://saifulislam.com/?p=7745#more-7745

Baca lagi...

Friday, March 12, 2010

Buah Tangan Ustaz Hasrizal Abd Jamil Pada Pesta Buku Antarabangsa KL 2010

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur datang lagi. Kali ini diawalkan sebulan ke bulan Mac. Sudahkah anda bersedia untuk hadir ke acara tahunan gilang-gemilang bagi pencinta ilmu dan hikmah kehidupan? Inilah Golden Globe kita, inilah Grammy Award kita…

Alhamdulillah, di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 kali ini, saya beroleh rezeki untuk berkongsi dua lagi buku terbaru buat pembaca semua. Secangkit Teh Pengubat Letih, himpunan travelog kembara saya di bumi Khilafah, Turki. Manakala Murabbi Cinta pula, adalah siri ke-3 di dalam kategori Aku Terima Nikahnya, buku yang menjadikan cinta sebuah Tarbiah, dan bermurabbikan seorang Nabi (sallallaahu ‘alayhi wa sallam).

Insya Allah saya akan berwacana dan meluangkan sepenuh masa di tapak program pada hari Ahad 21 Mac 2010. Manakala tarikh-tarikh yang lain, akan saya maklumkan dari semasa ke semasa di blog ini, Facebook dan Twitter.

Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada seluruh warga kerja Galeri Ilmu Sdn. Bhd. atas kesungguhan dan KESABARAN mereka dalam segala urusan kerja di balik tabir penghasilan buku-buku ini. Ucapan terima kasih yang khusus saya tujukan kepada sahabat saya yang paling teruji dengan kemerosotan kemampuan saya menulis dalam setahun kebelakangan ini, iaitu saudara Nasri Nasir. Setiap hari beliau bersabar dan terus menerus memberikan sokongan kepada saya yang keletihan dalam mengejar tugasan di celah kekangan masa dan tenaga.

Demikian juga Puan Suriati Soffee yang bertungkus lumus mengedit buku-buku ini di waktu yang genting menjelang KLIBF2010 ini.

Jazakumullahu khair al-jazaa’…

Sebilah keris di tingkap tombak’
Ketapang rimbun tiong bermadah;
Sepatah sebaris serangkap sejambak,
Buku menghimpun ilmu dan hikmah.

Sumber : http://saifulislam.com/?p=7716#more-7716
Baca lagi...

Monday, February 1, 2010

Rakaman Ceramah Agama Oleh Ustaz Hasrizal Abd Jamil Di Surau An-Nur Pada 28hb Januari 2010

TAJUK : AKHLAK SEORANG MUSLIM
OLEH : Ustaz Hasrizal Abd Jamil aka SaifulIslam
TARIKH : 28hb Januari 2010 (Khamis)
TEMPAT : Surau An-Nur, Bandar Baru Bangi
RAKAMAN : | muat turun | Kredit to Saifol Iskandar

Baca lagi...