KALENDAR KULIAH PENGAJIAN SURAU AN-NUR

Monday, January 3, 2011

Artikel : Sabar & Solat Adalah Senjata Karya Ustaz Dr Musthafa Umar

Mengapa kamu suruh orang lain (mengerjakan) kebaikan, sedang kamu melupakan diri (kewajipan)mu sendiri, padahal kamu membaca Al Kitab (Taurat) ? Maka tidakkah kamu berfikir? (44).

Jadikanlah sabar dan sholat sebagai penolong. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu’ (45).

(Iaitu ) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepada-Nya”.(46) [Q.S. Al-Baqarah : 44-46]

Pada ayat terdahulu Allah SWT menegah Bani Israil untuk tidak mencampur adukkan kebenaran dengan kebatilan. Dan kepada sesiapa yang beriman pula Allah menyeru mereka untuk mendirikan sholat, membayar zakat dan ruku’ bersama-sama dengan orang-orang yang ruku’. Dengan demikian akan semakin jauhlah mereka daripada kekufuran.

Selanjutnya bagi sesiapa diantara mereka yang tidak mahu beriman, Allah mencela perbuatan mereka itu dengan ungkapan yang berbentuk pertanyaan ; tidak pertanyaan yang mesti dijawab, tetapi pertanyaan sebagai tanda penghinaan. Allah berfirman :”Mengapa kamu suruh orang lain (mengerjakan) kebaikan, sedang kamu melupakan diri (kewajipan)mu sendiri, padahal kamu membaca Al Kitab (Taurat) ? Maka tidakkah kamu berfikir? “

Ajaran Taurat menyebutkan supaya Bani Israil beriman kepada ‘Rasul yang terakhir’. Maka sesiapa yang membaca Taurat itu selalu menunggu-nunggu kedatangan Rasul yang dijanjikan itu, bahkan menyuruh orang lain untuk beriman kepada Rasul itu apabila datang masanya nanti.

Demikianlah yang mereka lakukan sehinggalah Nabi Muhammad SAW diutus. Saat mereka tahu bahawa Rasul yang dijanjikan itu bukan dari kalangan mereka, iaitu Bani Israil, maka mereka tidak mahu mempercayainya. kalau sebelum ini mereka menyuruh orang lain untuk beriman, sekarang mereka pula yang tidak mahu beriman. Alangkah tercelanya perbuatan mereka ini !

Seorang yang baik adalah yang sesuai cakap dengan buat. Apabila tidak sesuai cakap dengan buat maka itu dinamakan dengan dusta. Dusta adalah perbuatan yang tercela, dan ia akan lebih tercela apabila dusta itu kepada Allah SWT. Dahulu di hadapan Allah mereka berkata ingin menepati janji, tetapi apabila tiba masanya malah mereka yang mengingkari. Allah SWT benci kepada manusia yang memiliki sifat seperti ini, terlebih lagi kepada yang beriman di antara mereka.

Dan meskipun ayat ini ditujukan kepada Bani Israil, khasnya orang-orang Yahudi, tetapi ia juga menjadi pengajaran bagi orang-orang yang beriman, kerana pengajaran tidak terikat kepada sesiapa yang dituju oleh ayat, tetapi pengajaran dapat diambil daripada nilai yang dikandungnya. Allah berfirman :”Hai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu perbuat ? Amat besar kebencian disisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan”. [Q.S. Ash-Shaf : 2-3]

Maka nampaklah bahawa petunjuk agama sahaja belumlah cukup, ia mestilah disempurnakan dengan mengamalkannya. Mengamalkan petunjuk agama memanglah berat, kerana disana ada syaitan yang sentiasa menghalangi. Peristiwa yang dahsyat mungkin terjadi. Pengalaman yang pahit mungkin akan dijalani. Namun sehebat apapun dugaan syaitan itu ia akan dapat diatasi dengan senjata yang telah ditunjukkan oleh Allah SWT. Allah berfirman : “Jadikanlah sabar dan sholat sebagai penolong. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu’. [Q.S. Al-Baqarah : 45].

Sabar maknanya menahan diri daripada perkara yang boleh menjerumuskan kita kedalam lembah kemaksiatan. Jadi apapun perbuatan yang boleh menahan diri daripada kemaksiatan adalah termasuk perbuatan sabar. Puasa umpamanya. Puasa boleh menahan diri daripada merajanya hawa nafsu sehingga boleh menjatuhkan kita kedalam perzinaan. Bererti puasa adalah cara dalam bersabar, demikian pula dengan perbuatan yang lainnya.

Dan solat pula maknanya merendahkan diri dengan segenap jiwa kepada Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Mulia. Dengan merendahkan diri kepada Allah, maka manusia itu akan menta’ati segala perintah dan seruan-Nya. Tidaklah kekufuran itu terjadi melainkan pada peribadi yang jauh daripada sifat merendahkan diri, sehingga hanya kesombongan dan ketinggian hati yang menyelimuti diri.

Jadi sabar dan solat adalah bagaikan “satu senjata” yang saling melengkapi untuk menghadapi cabaran. Itulah rahsianya mengapa Allah memakai dhamir (هَا) pada (إِنَّهَا) iaitu bermakna ia (untuk satu benda), tidak dengan memakai (هُمَا) iaitu bermakna ia (untuk dua benda), padahal ada dua benda yang disebutkan sebelumnya ; iaitu sabar dan solat. Bererti sabar dan solat adalah bagaikan satu keris yang bermata dua.

Mungkin senjata (sabar dan solat) ini mudah untuk diucapkan, tetapi sebenarnya susah untuk diamalkan. Senjata ini hanya mampu dimiliki oleh orang orang yang khusyu’. Siapakah orang yang khusyu’ itu ? Allah berfirman :”(Iaitu ) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya, dan bahawa mereka akan kembali kepada-Nya”. [Q.S. Al-Baqarah : 46]

Bererti mereka itu adalah orang-orang yang tunduk dalam menjalankan petunjuk Allah? Ya, betul sekali. Bukankah mereka meyakini bahawa mereka akan menemui Allah? Jadi mereka tidak akan punya alasan lagi saat perjumpaan dengan Allah nanti apabila mereka tidak mahu tunduk di dunia ini.

Jelasnya sabar dan solat tidak akan berat bagi orang-orang yang tunduk (khusyu’), kerana sikap tunduk itu melahirkan kekuatan yang sangat dahsyat sekali pada diri orang-orang yang beriman.

Kedahsyatannya akan nampak daripada patahnya setiap godaan syaitan yang ingin mencelakan mereka. Dan dalam masa yang sama, sifat tunduk itu pula yang boleh menyuburkan sifat ta’at dan rendah hati serta mengikis sifat sombong dan iri dengki.

Sudah menjadi sunnatullah bahawa Allah mengkurniakan kepada sebahagian manusia di dunia ini suatu pemberian yang tidak diberikan kepada sebahagian yang lainnya. Dengan pemberian yang dikhaskan kepada mereka itu mereka punya alasan untuk membanggakan diri daripada yang lainnya. Ini yang terjadi pada Bani Israil.

Tetapi sebenarnya bukan itu yang diinginkan oleh Allah. Sebenarnya hendaklah manusia itu saling bantu membantu. Seseorang akan membantu dengan apa yang ada padanya, dan ia akan dibantu dengan apa yang tidak ada padanya.

Namun sikap bantu-membantu ini hanya akan terlahir dari peribadi orang-orang yang tunduk. Kerana orang-orang yang tunduk akan merasa keagungan dan kebesaran Allah, sementara dirinya sangat kecil dan lemah sekali. Ia sedar bahawa apa-apa yang ada pada dirinya secara tiba-tiba boleh lenyap apabila Allah menghendakinya. Maka orang-orang yang tunduk jelas mereka akan berbuat apa sahaja perbuatan dengan seribu perhitungan.

(Dikutip dari Tafsir Ma'rifah karya DR Musthafa Umar)

No comments: