KALENDAR KULIAH PENGAJIAN SURAU AN-NUR

Sunday, October 17, 2010

Mengapa Kaum Sekularis Ditentang? Oleh Ustaz Dr Musthafa Umar

A. Mukaddimah
Allah berfirman: “Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (daripada hukum yang telah diturunkan Allah), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah menghendaki akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik.”. [Q.S. Al-Maidah : 49]

Ayat ini menerangkan bahawa Rasulullah SAW diperintahkan untuk memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan oleh Allah, termasuk kepada orang-orang yang bukan Islam yang datang kepada Baginda dan memohon supaya masalah mereka diselesaikan. Berdasarkan ayat ini, menurut Mazhab Syafei, apabila non muslim datang kepada pemerintah Islam dan mereka bersetuju berada di bawah pemerintah Islam, bererti hukum Islam wajib ditetapkan ke atas mereka sebagai menjalankan perintah Allah. Mengikuti kehendak mereka adalah dilarang kerana bertentangan dengan keimanan kepada Allah.
Ayat ini juga menerangkan bahawa Rasulullah SAW mesti berhati-hati terhadap orang-orang bukan Islam kerana dikhuatiri mereka akan memalingkan Baginda daripada sebahagian hukum-hakam yang telah diturunkan oleh Allah SWT.

Kewaspadaan mesti sentiasa ada kerana mereka sebenarnya adalah orang-orang yang hanya bertujuan ingin mencapai kehendak diri, maslahat dan kepentingan dunia, tidak seperti orang-orang yang beriman yang mana mereka diwajibkan untuk mengikuti kehendak Allah SWT; tujuan hidup mereka adalah keredhoan Allah dan kesenangan akhirat yang abadi.
Ayat ini juga menjelaskan bahawa apabila orang-orang bukan Islam yang telah bersetuju tadi berpaling daripada keputusan yang ditetapkan oleh Rasulullah SAW, maka Allah SWT akan menimpakan musibah kepada mereka kerana Allah-lah sebenarnya yang mentadbir alam ini dan berkuasa penuh ke atas semua manusia tanpa terkecuali.

Kemudian di penghujung ayat disebutkan bahawa kebanyakan daripada manusia adalah orang-orang yang fasik; iaitu orang-orang yang berpaling daripada hukum-hakam Allah SWT.
Secara ringkas, kita sebutkan di sini bahawa ayat ini menerangkan tentang kemestian memberlakukan hukum-hakam yang diturunkan oleh Allah SWT dalam kehidupan sehari-hari. Usaha memisahkannya daripada kehidupan seperti yang dituntut oleh kaum sekular pada masa ini adalah tindakan kefasikan yang sangat dimurkai oleh Allah SWT...

B. Apakah makna Sekularis ? Kata Sekularis berasal daripada bahasa Inggeris ; iaitu secularist yang bermakna orang yang percaya kepada fahaman sekular. Sekular pula juga berasal daripada bahasa Inggeris ; iaitu secular yang bermakna kebendaan atau tidak bernilai agama (Oxford, Dict, A S Hornby, 1987, h, 771) Kamus Dewan pula mentakrifkan sekular dengan keduniaan atau tidak berkaitan dengan keagamaan. Fahaman Sekularisme bererti faham yang menolak atau memisahkan agama atau ciri-ciri keagamaan daripada urusan-urusan yang tidak bersangkutan dengan agama seperti pentadbiran awam dan lain-lain. (Kamus Dewan, 1994, h, 1137) Pada awalnya, kata sekular berasal daripada bahasa Latin, saeculum yang bermakna ‘alam’ atau ‘dunia’ dan kemudian selalu dipakai untuk berhadapan dengan Gereja (Penguasa Agama Kristian).

Istilah ini muncul di Eropah dan pertama kali diguna pakai adalah dalam Perjanjian Westphalie (1648 M) iaitu perjanjian yang menghentikan perang agama selama 30 tahun di Eropah. Selanjutnya kata sekular dipakai untuk men’dunia’kan gereja dengan makna gereja tidak lagi memiliki kuasa keagamaan.

Makna sekular semakin berkembang khasnya di tangan George Jacob Holyoake (1817-1906 M) yang mentakrifkan sekularisme dengan kepercayaan bahawa perbaikan hidup manusia boleh dilakukan dengan jalan kebendaan tanpa bersentuhan dengan keimanan kepada Tuhan; samada mengakui keimanan itu atau menolaknya.
Sebenarnya fahaman sekular yang ada pada manusia hari ini beragam-ragam dan bertingkat-tingkat. Ada yang memisahkan agama secara keseluruhan daripada hidup manusia, ada pula yang memisahkannya daripada beberapa sisi kehidupan manusia seperti politik, atau ekonomi, atau sosial-budaya.

Ada yang sangat fanatik sehingga tidak lagi percayakan agama bahkan memusuhi agama dan ada pula yang biasa sahaja dengan tetap mempercayai agama dalam sebahagian urusan hidup. Yang penting untuk dicatit adalah; fahaman sekular ini adalah fahaman yang lahir dan tumbuh di luar masyarakat Islam, namun sekarang ada pihak daripada luar Islam dan bahkan sebahagian kecil ummat Islam sendiri yang berusaha untuk melahirkan dan menumbuhkannya pula didalam masyarakat Islam, padahal kepercayaan diluar Islam itu sangat berbeza dengan kepercayaan didalam Islam.


C. Mengapa Kaum Sekularis Ditentang ?
Setelah memahami siapa yang dimaksudkan dengan Kaum Sekularis maka pembahasan berikutnya adalah mengapa mereka itu ditentang di Dunia Islam. Apa sahaja perkara-perkara yang biasanya mereka munculkan untuk mengusung Faham Sekular ke tengah ummat Islam ? Apakah sebabnya Fahaman Sekular itu dipaksakan terhadap ummat Islam ? Bagaimana sikap kita terhadap mereka itu ? Inilah diantara perkara yang Insya Allah akan kita huraikan dalam risalah yang sangat ringkas ini.
Tentang mengapa mereka ditentang di Dunia Islam adalah disebabkan kerana Fahaman Sekular itu adalah fahaman yang bertentangan dengan agama Islam.

Pertentangan yang paling pokok dan asasi adalah Fahaman Sekular meletakkan hidup tanpa asas keimanan kepada Allah. Contohnya, dalam kehidupan sosial-budaya, seperti berkawan, berkeluarga, mendidik anak, bergaul dengan manusia, berhibur, bersukan dan lain sebagainya tidak ada kena mengena dengan agama. Agama tidak mengurus semua perkara itu. Agama mesti dijauhkan daripada urusan tersebut. Supaya semua itu berjalan diatas nilai juga maka mereka menetapkan ‘nilai yang lain’ yang mereka sebut sebagai nilai-nilai universal.

Namun sebenarnya nilai-nilai universal yang mereka tetapkan itu sangat longgar (relatif) bahkan liar dan ganas kerana lahir daripada individu atau masyarakat yang berbeza-beza. Maka boleh jadi perkahwinan sejenis (gay dan lesbian), berjudi, mabuk, berzina dan lain sebagainya adalah perkara biasa (normal) kerana ia dibenarkan oleh individu dan masyarakat. Agama tidak boleh mengurus semua itu. Maka apabila ada orang-orang agama (penguat kuasa agama) yang menyerbu dan menangkap mereka maka mereka akan membantah perlakuan tersebut kerana telah melanggar hak-hak asasi mereka. Inilah alasan yang biasa mereka sebut.
Isu seperti emansipasi wanita menjadi isu pokok kerana mereka berpendapat bahawa agama telah membelenggu dan menindas wanita.

Oleh kerana hak-hak asasi wanita dalam masyarakat telah diabaikan dan penguasaan lelaki terhadap mereka sangat melampau, maka ‘pembebasan wanita’ mesti diupayakan. Gagasan (idea) yang sangat bagus ini malangnya menempuh jalan sekular untuk mencapai matlamatnya. Semua agama tidak lagi dipercayai untuk mengangkat darjat wanita, termasuk agama Islam. Akhirnya kita jumpailah wanita pada hari ini tanpa segan-segan melakukan apa sahaja perkara tanpa merasa malu dan bersalah, bahkan merasa bangga dengan pencapaiannya dalam dunia kebendaan meskipun dengan membelakangkan nilai-nilai agama.
Dalam bidang ekonomi pula Fahaman Sekular menjadi anutan kerana memberikan peluang seluas-luasnya untuk melakukan apa sahaja prilaku ekonomi tanpa dibatasi oleh agama.

Semua menjadi boleh di saat individu dan masyarakat menetapkannya boleh. Mereka berpendapat bahawa agama tidak mengurus ekonomi. Ekonomi mesti dipisahkan daripada agama. Riba, monopoli, penindasan buruh, penipuan, rasuah, pembaziran yang ditetapkan haram didalam agama tidak akan dihiraukan. Yang menjadi tujuan adalah mencapai untung yang sebesar-besarnya dengan masa yang sesingkat-singkatnya dan dengan modal yang sekecil-kecilnya. Maka mereka mencipta fahaman ekonomi baru tanpa berdasarkan nilai agama; seperti faham Kapitalisme, Sosialisme dan lain sebagainya. Mereka berkeyakinan bahawa tanpa fahaman agama dalam ekonomi mereka boleh maju, kaya dan sejahtera.

Lihatlah Amerika, Eropah, Jepun dan lain-lainnya. Memang secara zahirnya nampak benar keyakinan mereka itu tetapi pada hakekatnya kemajuan yang didapatkan itu sangat rapuh sekali kerana tidak berdiri diatas nilai-nilai yang mutlak.
Dalam bidang politik pula, Faham Sekular menjadi pilihan utama bagi kaum Sekularis kerana boleh memerintah tanpa terikat dengan nilai-nilai agama. Orang-orang yang memerintah atas nama agama mesti disingkirkan, apalagi kisah masa silam di Eropah membuktikan bahawa agama telah dijadikan alat untuk memerintah dan berkuasa oleh orang-orang yang beragama. Maka mereka mencipta nilai lain untuk politik yang ditegakkan diatas Fahaman Sekular yang mereka sebut hari ini dengan demokrasi.

Bagi kaum Sekularis, yang menentukan segala sesuatu itu adalah rakyat, bukan agama. Apabila rakyat mengatakan boleh maka boleh-lah sesuatu perkara itu. Maka mereka menyebut juga bahawa suara rakyat adalah suara kebenaran. Kebenaran agama tidak akan diperakui apabila rakyat telah menetapkan ‘kebenaran yang lain ‘ pula. Maka janganlah hairan apabila penindasan rakyat Palestin berlangsung hingga sekarang, penyerangan ke Afganista dan Iraq, pengasingan Sudan, memonopoli Dewan Keamanan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan lain-lainnya, semua itu atas nama kebenaran yang mereka tetapkan dibawah bendera demokrasi itu. Mereka akan marah apabila memakaikan nilai-nilai agama untuk memahami semua itu.


Bahkan dalam bidang agama itu sendiripun tidak terlepas daripada serangan Sekularisasi. Pernyataan mereka bahawa Nabi Muhammad SAW adalah manusia biasa adalah di antara upaya menghakis keimanan kepada Rasulullah SAW. Tujuannya adalah untuk menolak kuasa hadits (otoritas Sunnah) dalam mengatur hidup manusia. Bahkan lebih dahsyat daripada itu ialah pernyataan bahawa Al-Quran yang disampaikan oleh Rasulullah SAW itu bukanlah wahyu-wahyu Tuhan, tetapi Kitab biasa seperti kitab-kitab yang lainnya, ia adalah kitab yang memuat tafsiran Nabi tentang wahyu yang Baginda terima, maka ia terbuka untuk dikritik. Tujuannya adalah sama; iaitu menolak kuasa Al-Quran dalam mengatur hidup manusia.

Untuk sampai ke tahap ini, maka biasanya mereka akan bermula dengan menolak pandangan para ulama; bermula daripada para sahabat, salafus-sholeh, hingga kepada pandangan para ulama besar (mujtahiduun) yang kononnya (dalam dakwaan mereka) telah menyimpangkan ajaran Islam. Maka mereka menuntut supaya semua perkara agama mesti difaham ulang seperti yang mereka kehendaki. Tafsir Al-Quran mesti mengikut acuan (sistem) yang mereka letakkan, tidak seperti tafsir yang sudah sedia ada. Mereka menyebutnya dengan Hermeneutika, iaitu sebagai ganti kepada Tafsir Al-Quran.

Maka di antara pendapat mereka adalah; semua agama adalah sama, kahwin antara agama adalah boleh, menutup aurat bukan wajib, tarikh wukuf di Arafah boleh diubah, ibadah qurban pada hari qurban tidak semestinya dengan haiwan sembelihan, sholat boleh dengan menggunakan bahasa Arab dan bahasa lainnya, khatib Juma’at dan imam wanita bagi jema’ah lelaki adalah boleh dan lain sebagainya.
Jadi sebagai kesimpulannya, kaum Sekularis ditentang di Dunia Islam adalah kerana mereka menyeru supaya agama Islam ditolak sebagai pedoman hidup (way of life) bagi ummat Islam, padahal kebenaran di dalam agama Islam adalah kebenaran mutlak yang tidak ada keraguan sedikitpun.

Mungkin tindakan kaum Sekularis menolak agama-agama selain agama Islam di Barat ada benarnya, hal itu kerana agama-agama tersebut tidak memiliki bukti kebenaran yang mutlak. Tetapi ia berbeza dengan agama Islam; agama Islam adalah satu-satunya agama yang terpelihara daripada pencemaran tangan manusia. Kebenarannya adalah mutlak dan terjaga. Ini adalah keyakinan yang pasti (Ilmul-Yakin, ‘Ainul-Yakin, Haqqul-Yakin). Ini adalah harga mati sebagai seorang yang beriman.

Bukti kebenaran keyakinan ini terlalu banyak, kuat, jelas dan boleh didebat oleh sesiapa yang masih meragukannya, Allah berfirman:


Mafhumnya:”Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al Qur'an, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya". [Q.S. Al-Hijr : 9]


Faham Sekularisme dapat lahir, tumbuh, berkuasa dan popular di Barat kerana kesesatan dan kejahilan rakyatnya tentang Ketuhanan Allah. Kejahilan itu berawal daripada penolakan agama Islam yang disampaikan oleh Rasul-Rasul Allah hingga ke Rasul yang terakhir, iaitu Nabi Muhammad SAW. Dengan penolakan itu maka mereka tidak mengikuti kebenaran, tetapi mengikuti hawa nafsu. Kemudian kalangan agamawan mereka pula bercakap atas nama agama padahal sebenarnya atas kejahilan mereka pula.

Di antara bukti kaum Sekularis telah menyimpang jauh adalah menafikan peranan wahyu Allah SAW dalam memandang dan memahami alam ini. Mereka hanya percaya kepada akal dan hawa nafsu mereka sahaja; iaitu melihat segala sesuatu dengan fahaman kebendaan dan dengan diri mereka sendiri (Maadiyyah wa Furdaniyyah). Meskipun ada di antara orang-orang Barat yang percaya kepada Tuhan dan perkara-perkara yang ghaib tetapi tidak terlepas daripada kesesatan berupa kemusyrikan, dan jumlah mereka itu sangat sedikit sekali. Yang terbanyak adalah yang berfahaman Sekular.


Kemudian, meskipun Faham Sekular dicuba untuk dilahirkan dan dipopularkan di Dunia Islam tetapi sampai hari ini masih mendapat tentangan yang hebat, dan tidak akan mungkin boleh tumbuh dan berkuasa selagi ummat Islam masih kuat memegang teguh keimanan kepada Allah SAW dan menjalankan syariat Islam. Lihatlah Turki sebagai contohnya; fahaman sekular di negeri itu hari-demi hari semakin ditinggalkan meskipun ummat Islam di negeri itu diugut, diancam dan diburuk-burukkan, Allah berfirman:


Mafhumnya: ”Mereka berkehendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka, dan Allah tidak menghendaki selain menyempurnakan cahaya-Nya, walaupun orang-orang yang kafir tidak menyukai”(32) Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya (dengan membawa) petunjuk (Al-Qur'an) dan agama yang benar untuk dimenangkan-Nya atas segala agama, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukai”. [Q.S. At- Taubah : 32-33]


Sebagai ringkasannya, Faham Sekular mencuba untuk menggantikan wahyu dengan akal, menggantikan iman dengan hawa nafsu, menggantikan kedudukan Allah dengan diri sendiri, menggantikan para Rasul dengan para artis, jaguh sukan dan ahli korporat, menggantikan akhirat dengan dunia. Untuk itu maka mereka melawan setiap usaha yang mencuba untuk mendirikan negara atas nama agama (teokrasi), menyerang simbol-simbol agama, mendukung demokrasi, membela kebebasan berfikir dan lain sebagainya.

Pada akhirnya mereka ingin ‘memenjarakan’ agama Islam di dalam masjid sebagaimana telah berjaya memenjarakan agama Kristian di dalam gereja. Bahkan lebih daripada itu, mereka akan memenjarakan agama Islam di dalam hati tanpa boleh keluar ke bumi nyata. Kalaupun keluar juga ke bumi nyata maka dipastikan hanya dalam perkara-perkara tertentu sahaja, tidak dalam setiap sisi kehidupan, padahal Islam adalah agama yang mengatur setiap sisi kehidupan tanpa terkecuali, Allah berfirman:


Mafhumnya : ”Katakanlah: "Sesungguhnya aku telah ditunjuki oleh Tuhanku kepada jalan yang lurus, (iaitu) agama yang benar; agama Ibrahim yang lurus; dan Ibrahim itu bukanlah termasuk orang-orang yang musyrik".(161) Katakanlah: "Sesungguhnya shalatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam, (162) tiada sekutu bagi-Nya; dan demikian itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama-tama menyerahkan diri (kepada Allah)".[Q.S. Al-An’am : 161-163]


Itulah sebabnya pada hari ini mengapa kaum sekularis menentang dan memusuhi Islam sehebat-hebatnya. Jadi di samping pengalaman pahit berperang atas nama agama pada masa lalu ditambah pula dengan kebodohan tentang ketuhanan dan diperparahkan lagi dengan kedengkian terhadap agama Islam, maka jadilah suasana seperti yang kita saksikan sekarang ini. Malangnya ada pula daripada ummat Islam sendiri yang kononnya bergelar pemikir Islam mengikut-ikut pula langkah kaum sekularis dari kalangan bukan Islam itu; maka mereka menyalahkan para ulama sebagaimana orang-orang Kristian menyalahkan paderi mereka, yang kemudian berakhir dengan menolak agama di dalam hidup sebagaimana kaum sekularis Kristian menolak agama di dalam hidup. Mungkin mereka lakukan semua itu kerana kejahilan, mungkin juga kerana terpesona dengan kemajuan Barat yang sekular, atau juga ada kepentingan tertentu yang tersembunyi di dalam dada mereka. Hanya mereka dan Allah yang mengetahui.


D. Penutup.
Daripada huraian tadi, maka jelaslah mengapa kaum Sekularis ditentang oleh ummat Islam, maka di antara sikap kita setelah mengetahui perkara ini adalah:

1. Tetap beriman dan beragama Islam meskipun mendapat serangan yang hebat daripada Kaum Sekularis. Semua itu adalah ujian keimanan dan merupakan sunnatullah di alam ini. Allah berfirman :


Mafhumnya : “Hai orang-orang yang beriman, jika kamu mengikuti sebahagian dari orang-orang yang diberi Al Kitab, nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang kafir sesudah kamu beriman.(100) Bagaimanakah kamu (sampai) menjadi kafir, padahal ayat-ayat Allah dibacakan kepada kamu, dan Rasul-Nya pun berada di tengah-tengah kamu? Sesiapa yang berpegang teguh kepada (agama) Allah maka sesungguhnya ia telah diberi petunjuk kepada jalan yang lurus.(101) Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam.". [Q.S. Ali Imran: 100-102]

2. Berwaspada terhadap apa sahaja yang dibawa oleh para Sekularis, sehingga ia tidak mendatangkan musibah terhadap diri dan ummat Islam, Allah berfirman :

Mafhumnya: “Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu”. [Q.S. Al- Hujuraat: 6]


3. Sentiasa membekali diri dengan ilmu, kerana ilmu adalah diantara bekal yang boleh menggagalkan propaganda mereka dan sekaligus dengan ilmu tersebut boleh pula menasehati dan mengislamkan mereka, Allah berfirman:

Mafhumnya: "Aku sampaikan kepadamu amanat-amanat Tuhanku dan aku memberi nasihat kepadamu, dan aku mengetahui daripada Allah apa yang tidak kamu ketahui". [Q.S. Al-A’raf: 62]


4. Berdo’a kepada Allah supaya hati tidak dipalingkan kepada kesesatan setelah mendapat petunjuk daripada Allah, Allah berfirman :

Mafhumnya: “(Mereka berdo`a): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan karuniakanlah kepada kami rahmat daripada sisi Engkau; kerana sesungguhnya Engkau-lah Maha Pemberi (karunia)". [Q.S. Ali Imran: 8]


Demikianlah pembahasan sederhana tentang mengapa Kaum Sekularis itu ditentang oleh ummat Islam. Mudah-mudahan kita telah mendapatkan gambaran awal tentang siapa mereka, apa sahaja perkara yang mereka munculkan, dan mengapa mereka memunculkannya dan bagaimana sikap kita menghadapinya. Alangkah malangnya apabila kita tidak mengetahui perkara ini kerana ia di antara ancaman utama dalam hidup beragama pada masa ini.

Wallahu A’lam.
al-faqir ila rabbih : Dr. H. Musthafa Umar

No comments: