”Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat,’Sesungguhnya Aku akan menciptakan khalifah di permukaan bumi!’ Mereka menjawab,’Adakah Engkau (Yaa Allah) akan menciptakan makhluk yang akan membuat kerosakan dipermukaan bumi dan menumpahkan darah, sedangkan kami (para malaikat) sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?’ Allah menjawab,’Sesungguhnya Aku mengetahui apa-apa yang tidak kamuketahui”.(30)
Allah mengajarkan semua nama-nama benda kepada Adam kemudian mengemukakannya kepada para malaikat, lalu Allah berfirman kepada mereka,”Sebutkanlah kepadaKu nama-nama benda itu jika kamu memang termasuk yang benar!”(31)
Para malaikatpun berkata,”Maha Suci Engkau (Yaa Allah), tidak ada yang kami ketahui selain daripada apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami ; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”. (32)
Allah berfirman :”Wahai Adam, beritahukanlah kepada mereka nama-nama benda ini!”. Maka setelah diberitahukannya nama-nama benda itu, Allah berfirman,”Bukankah sudah Ku katakan kepadamu bahawasanya Aku mengetahui rahsia langit dan bumi dan mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan”.(33) [Q.S. Al-Baqarah : 30-33]
Pada ayat terdahulu telahpun dijelaskan bahawa Allah-lah yang menciptakan tujuh lapis bumi dan tujuh petala langit beserta apa-apa yang ada pada keduanya. Tidak setakat penciptaan sahaja, tapi Allah juga mengetahui perkembangan benda-benda itu dari semasa ke semasa. Tak satupun benda ciptaan Allah yang luput daripada pengetahuan (ilmu)Nya ; sekecil atau sebesar apapun benda itu, sedikit atau sebanyak apapun ciptaan itu, sependek atau sepanjang apapun makhluk itu. Dan ilmu Allah tidak hanya sekadar meliputi setiap ciptaan pada waktu penciptaannya sahaja, tapi juga meliputi sebelum dan sesudah penciptaan itu.
Salah satu kisah yang menampakkan keluasan ilmu Allah SWT adalah penciptaan manusia. Allah mengetahui akan ciptaan-Nya ini sebelum makhluk ini diciptakan, ketika diciptakan dan selepas penciptaannya. Itulah ilmu Allah yang luas tak bertepi.
Allah SWT berfirman :”Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat,’Sesungguhnya Aku akan menciptakan khalifah di permukaan bumi!’ Mereka menjawab,’Adakah Engkau (Yaa Allah) akan menciptakan makhluk yang akan membuat kerosakan dipermukaan bumi dan menumpahkan darah, sedangkan kami (para malaikat) sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?’ Allah menjawab,’Sesungguhnya Aku mengetahui apa-apa yang tidak kamu ketahui”. [Q.S. Al-Baqarah : 30]
Inilah kisah pertama yang kita jumpai dalam Al-Quran, iaitu kisah penciptaan manusia, dalam hal ini manusia pertama iaitu Adam ‘Alaihissalaam. Seakan-akan kisah ini menjadi pembuka bagi kisah yang lainnya.
Dan apabila Allah menurunkan suatu kisah di dalam Al-Quran maknanya Allah ingin menjelaskan suatu kebenaran yang telah pernah terjadi, gunanya adalah supaya manusia dapat mengambil ‘ibrah (pengajaran) daripadanya sehingga bertambah keteguhan didalam hatinya, dan selanjutnya akan membawa kepada kehidupan yang lebih kukuh. Allah berfirman kepada Nabi Muhammad SAW : “Dan Kami ceritakan kepadamu semua kisah-kisah daripada rasul-rasul, ialah kisah-kisah yang dengannya Kami teguhkan hatimu...” [Q.S. Huud : 120]
Daripada ayat yang tengah kita tafsirkan di atas nampak bahawa Allah mengemukakan kepada malaikat bahawa Allah akan menciptakan khalifah di permukaan bumi. Khalifah maknanya ‘pengganti’. Manusia disebut sebagai khalifah kerana hidup sebahagian mereka merupakan pengganti terhadap sebahagian lain yang telah mendahului mereka, setiap habis kehidupan suatu generasi maka ia akan digantikan oleh generasi yang lainnya. Ini merupakan isyarat bahawa manusia akan hidup di permukaan bumi dan kemudian mati, dan ia akan digantikan oleh yang lainnya sehinggalah kiamat tiba.
Setelah itu malaikatpun menjawab bahawa manusia itu hanya akan mengisi hidup mereka dengan membuat kerosakan dan akan saling berbaku-hantam sehingga terjadi pertumpahan darah sesama mereka.
Daripada percakapan di atas, sepintas lalu nampak para malaikat telahpun mengetahui perbuatan yang akan dilakukan oleh manusia di muka bumi. Namun muncul pertanyaan, adakah para malaikat mengetahui perkara yang akan terjadi pada masa mendatang yang merupakan bahagian daripada perkara yang ghaib itu?
Tidak, mereka tidak mengetahuinya, kerana pengetahuan tentang yang ghaib hanya ada di tangan Allah semata. Tapi mengapa mereka menetapkan dua sifat tercela itu pada manusia padahal manusia belum lagi diciptakan? Atau dengan kata lain, dari manakah mereka mendapatkan pengetahuan tentang hal itu? Tentu mereka mendapatkannya daripada pengalaman sebelumnya, iaitu pengalaman kehidupan jin di permukaan bumi yang telahpun diciptakan sebelum manusia. Kemudian dengan pengalaman yang telah terjadi itu mereka menetapkan sesuatu yang bakal terjadi. Penetapan semacam ini disebut dengan penetapan memakai kias, iaitu berasaskan kepada contoh yang telah ada.
Daripada pengalaman yang telah berlaku malaikat menyangka bahawa manusia juga akan berbuat yang sama, iaitu perbuatan yang tidak patut dilakukansebagai makhluk ciptaan Allah, yang dalam masa yang sama, yang mendiami bumi ciptaan-Nya, dan memakan rezeki yang dikurniakan-Nya. Itulah sebabnya mengapa para malaikat menyebut sifat-sifat yang ada pada mereka ; seperti bertasbih dengan memuji Allah dan mensucikan-Nya, hal itu tidak untuk menunjuk-nunjukkan diri, tapi untuk menunjukkan itulah sifat yang sepatutnya ada di dalam diri setiap makhluk ciptaan Allah.
Bertasbih maknanya mensucikan Allah daripada sifat-sifat yang tidak sempurna. Jadi tasbih tidaklah diucapkan melainkan kepada Zat yang sempurna wujudnya, dan Zat Yang Sempurna wujudnya hanyalah Allah SWT. Adapun bertasbih dengan memuji Allah maknanya bertasbih dengan mengucapkan syukur kepada Allah yang telah mengkurniakan kekuatan iman dan kekuatan badan kepada kita, kerana dengan kedua kekuatan itulah kita menjadi utuh.
Namun pengetahuan malaikat yang dibangun di atas kias itu tidak diakui oleh Allah sebagai ilmu yang seratus peratus kebenarannya, selanjutnya ia tidak layak untuk dijadikan sumber pengajaran, kerana ilmu yang sempurna kebenarannya adalah ilmu yang berasal daripada Allah SWT sahaja. Hujung ayat menyebutkan,”...sesungguhnya Aku mengetahui apa-apa yang tidak kamu ketahui”.
Tidak setakat itu sahaja, Allah nampakkan hakikat keterbatasan ilmu malaikat dan keluasan ilmu-Nya dengan suatu perbuatan yang nyata. Allah mengajarkan semua nama-nama benda kepada Adam ‘Alaihissalaam dan tidak mengajarkannya kepada para malaikat. Lalu Allah berfirman kepada mereka,”Sebutkanlah kepadaKu nama-nama benda itu jika kamu memang termasuk yang benar!”
Tentu sahaja malaikat tidak mampu menyebutkannya kerana ilmu yang ada pada mereka tidak lain adalah berasal daripada Allah SWT. Maka dengan menyedari diri, para malaikatpun berkata,”Maha Suci Engkau (Yaa Allah), tidak ada yang kami ketahui selain daripada apa yang telah Enkau ajarkan kepada kami ; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”. [Q.S. Al-Baqarah : 32]
Daripada kenyataan itu, nampaklah keluasan ilmu Allah SWT dan keterbatasan ilmu makhluk-Nya, termasuk para malaikat yang telah memiliki kedudukan yang tinggi dibanding makhluk lainnya. Kerana pada hakikatnya, tiadalah ilmu yang dimiliki oleh sesuatu makhluk di jagat ini melainkan daripada Allah jua asal-mulanya.
Malaikat mengakui keterbatasan ilmu yang ada pada mereka. Mereka hanya mampu menilai sesuatu daripada contoh yang telah ada, adapun hakikat sebenar daripada perkara itu hanya ada di tangan Allah semata.
Dengan ilmu itu Adam ‘Alaihissalaam menjadi ‘istimewa’ apabila dibandingkan dengan makhluk lainnya. Hikmah inilah yang tidak terdetik dalam pengetahuan para malaikat, hal itu -- sekali lagi -- kerana keterbatasan ilmu yang ada pada mereka. Allah berfirman :”Wahai Adam, beritahukanlah kepada mereka nama-nama benda ini!”.
Maka setelah diberitahukannya nama-nama benda itu, Allah berfirman,”Bukankah sudah Ku katakan kepadamu bahawasanya Aku mengetahui rahasia langit dan bumi dan mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan”.[Q.S. Al-Baqarah : 33].
(Dikutip dari Tafsir Ma'rifah Karya DR Musthafa Umar)
No comments:
Post a Comment