KALENDAR KULIAH PENGAJIAN SURAU AN-NUR

Thursday, October 21, 2010

Menuju Kesempurnaan Hidup Karya Ustaz Dr Musthafa Umar

Allah berfirman :

Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran daripada Tuhanmu, dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada, dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman. [Q.S. Yunus : 57]

Tafsir Ayat :

Ayat ini menerangkan tentang seruan Allah kepada seluruh manusia supaya bersegera mempercayai dan menerima Al-Quran sebagai Kitab Suci yang mulia. Di dalam ayat ini diterangkan bahawa Al-Quran merupakan pelajaran yang berharga, di samping itu, ia juga sebagai penyembuh penyakit yang berada di dalam dada, dan juga sebagai petunjuk dan rahmat bagi orang-orang beriman.

Sepatutnya manusia menjawab seruan Allah ini kerana di dalamnya penuh dengan kebaikan. Mustahil Allah menyeru kepada yang buruk dan sia-sia. Apabila dilihat daripada kandungan seruan tersebut, maka didapati bahawa ia membawa manusia menuju kepada kesempurnaan hidup. Ia adalah suatu kebenaran yang mesti diterima, kerana hanya Allah Yang Maha Sempurna yang mampu menunjukkan jalan menuju kesempurnaan.


Didalam ayat ini diterangkan bahawa jalan menuju kesempurnaan hidup adalah dengan mempercayai dan menerima Al-Quran, kerana ia merupakan firman-firman Allah yang sengaja diturunkan sebagai penyelamat dan pembimbing umat manusia. Di dalam ayat ini Al-Quran diterangkan dengan 4 keistimewaannya; yang mana antara satu dengan yang lainnya bagaikan anak-anak tangga untuk sampai ke puncak kesempurnaan.

Supaya lebih mudah untuk memahami 4 keistimewaan Al-Quran dalam membawa manusia kepada hidup yang sempurna, maka terlebih dahulu hendaklah kita mengetahui realiti yang ada dalam kehidupan manusia. Manusia adalah makhluk yang terdiri daripada jasad dan roh. Dengan perhubungan antara jasad dan roh tersebut, maka manusia menjadi hidup. Disisi lain, Allah menetapkan pada setiap manusia yang hidup itu unsur iman dan hawa nafsu. Unsur iman adalah yang mendorong manusia untuk melakukan kebaikan sedangkan unsur hawa nafsu adalah yang
mendorong untuk melakukan keburukan. Supaya iman dapat dipelihara dan dipertingkatkan, dan hawa nafsu pula dapat dijinakkan dan dikendalikan, maka Allah membekalkan akal kepada manusia. Melalui akal itulah manusia memimpin diri dan mengisi hidup.

Tetapi malangnya, ada di antara manusia yang tidak menggunakan akalnya; unsur iman diabaikan, sedangkan unsur hawa nafsu pula dibiarkan lepas tanpa kendali. Apa yang terjadi? Manusia tersebut menjadi liar dan buas. Ia tidak lagi nampak sebagai manusia yang berakal, tetapi lebih dekat kepada haiwan yang tidak pernah mengerti makna kehidupan, Allah berfirman:

"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahannam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai".[Q.S. Al-A’raf : 179]

Ada di antara manusia yang malang itu sudah tidak tahu lagi siapa Tuhannya, sudah tidak tahu lagi mana yang baik dan mana yang buruk. Sehingga kita lihat ada yang menyekutukan Allah tanpa merasa bersalah, bahkan sampai ada ke peringkat menolak keberadaan Allah. Ada pula yang tenggelam dalam kemaksiatan, bahkan melihatnya sebagai suatu kebenaran pula. Sungguh mereka telah tersesat daripada jalan yang benar.

Apabila kita telah memahami realiti tersebut, maka Insya Allah kita akan memahami pula kedudukan Al-Quran sebagai penyelamat manusia yang telah tersesat, dan selanjutnya akan membawa mereka menuju kepada kesempurnaan hidup, Allah berfirman:

"Sesungguhnya Al Qur'an ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus dan memberi khabar gembira kepada orang-orang Mukmin yang mengerjakan amal saleh bahawa bagi mereka ada pahala yang besar". [Q.S. Al-Israa : 9]

4 keistimewaan Al-Quran dalam membawa manusia menuju kesempurnaan hidup adalah sebagai berikut:

Pertama: Al-Quran merupakan pelajaran (mau’idzoh) yang datang daripada sisi Allah Yang Maha Mengetahui tentang hal-ehwal manusia. Pelajaran yang dimaksudkan adalah berupa perintah-perintah dan larangan-larangan Allah. Sesungguhnya tidak ada satupun yang Allah perintahkan melainkan ia adalah suatu kebaikan bagi manusia, dan tidak ada satupun pula yang Allah larang melainkan ia adalah suatu keburukan, hal itu kerana Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

Daripada sini nampaklah keistimewaan Al-Quran; iaitu mampu menjelaskan kepada manusia mana yang baik dan mana yang buruk, mana yang menguntungkan dan mana yang merugikan, mana yang membawa kepada kejayaan dan mana yang membawa kepada kebinasaan.

Sesungguhnya apabila manusia mengetahui dan memahami pelajaran yang datang daripada sisi Allah ini maka ia merupakan peringkat pertama untuk menuju kesempurnaan hidup. Sama halnya dengan seorang pesakit, apabila ia mengetahui dan memahami apa yang perlu dibuat dan apa yang perlu dijauhi maka ia merupakan peringkat pertama untuk menuju kesihatan badan.

Kedua: Al-Quran merupakan penyembuh penyakit yang bersarang di dada (syifaa limaa fish-shudur). Apakah penyakit yang biasa bercokol di dada manusia? Banyak sekali macamnya, umpamanya seperti; dengki, dendam, panas baran, sombong, tamak, ragu-ragu, putus asa, rendah diri, dusta, khianat dan lain sebagainya. Penyakit yang paling teruk adalah kufur atau syirik. Dikatakan semua itu sebagai penyakit adalah kerana apabila penyakit tersebut hinggap pada manusia maka manusia itu akan sengsara dan menderita, bahkan akhirnya boleh binasa. Lihatlah bagaimana sengsaranya orang yang dengki, sombong, tamak dan seterusnya.

Penyakit disebut sebagai penyakit kerana ia mendatangkan rasa sakit kepada manusia. Dan hendaklah diketahui, rasa sakit yang diderita oleh badan tidaklah seberapa sengsaranya apabila dibandingkan dengan rasa sakit yang ditanggung oleh hati yang ada di dalam dada. Maka keistimewaan Al-Quran, ia tidak hanya sebagai pemberi penjelasan mana yang baik dan mana yang buruk, tetapi dalam masa yang sama ia juga bertindak sebagai penyembuh penyakit hati.

Al-Quran merupakan ubat penawar bagi penyakit yang bersarang di dada. Al-Quran mampu mencabut penyakit tersebut dan akan membersihkan hati sebersih-bersihnya. Hati yang sakit akan kembali sihat. Bererti, dengan Al-Quran maka hati akan kembali ke fitrahnya semula; putih, bersih dan suci. Inilah peringkat kedua untuk menuju kesempurnaan hidup. Di peringkat ini, hati seseorang itu menjadi lembut, tenang, damai dan bahagia. Tidak ada penyakit yang menganggunya.

Ketiga: Al-Quran merupakan petunjuk (hidayah) yang menghantarkan manusia kepada tujuan hidup yang sebenarnya. Bererti tanpa Al-Quran maka manusia tidak akan sampai ke tujuan. Tujuan hidup manusia adalah mencapai keredhaan Allah Subhanahu wata’ala.

Dengan petunjuk Al-Quran, maka hati yang lembut, tenang dan bahagia tadi akan dihantarkan kepada keredhaan Allah. Di saat itulah hati menjadi bersinar dan bercahaya. Dan berkat petunjuk itu juga hati itu semakin bersinar dan semakin bercahaya. Akhirnya nampaklah segala sesuatu dengan terang dan jelas; tak ada lagi satupun yang tersembunyi daripada pandangan hati yang telah tajam. Nampaklah yang penting itu penting dan yang remeh itu remeh. Nampaklah yang mulia itu mulia dan yang hina itu hina. Nampaklah yang kekal itu kekal dan yang fana itu fana.

Di peringkat ketiga inilah hati yang bahagia itu menjadi semakin bahagia. Kehadiran Allah sungguh terasa di sepanjang masa. Di peringkat inilah seorang hamba itu mengetahui hakikat segala sesuatu. Susah-senang, sakit-sihat, miskin-kaya, dan apapun keadaan hidup tidak lagi menjadi dinding penghalang antara dirinya dengan Allah. Kini ia telah bersama dengan Allah. Tidak ada lagi satupun selain Allah yang boleh menganggu kebahagiaannya bersama dengan Allah; Allah Yang Maha Sempurna, Allah Yang Maha Mulia, Allah Yang Kekal dan Abadi, Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Allahu Akbar !!

Allah menceritakan tentang nabi Ibrahim yang telah sampai ke peringkat ini; iaitu tunduk dan patuh kepada Allah untuk bersama dengan Allah:

"Ketika Tuhannya berfirman kepadanya: "Tunduk patuhlah!" Ibrahim menjawab: "Aku tunduk patuh kepada Tuhan semesta alam".[Q.S. Al-Baqoroh : 131]

Nabi Ibrahim menikmati hidup bersama dengan Allah di bawah bimbingan petunjuk Allah; iaitu Agama Islam. Pada hari ini petunjuk Allah itu adalah firman-firman Allah yang terkumpul di dalam Al-Quran. Oleh kerana nabi Ibrahim telah menikmati hidup di dalam Islam maka beliaupun berwasiat kepada anak keturunannya supaya mengikuti jejaknya dalam menjalani hidup di dunia ini:

“Dan Ibrahim telah mewasiatkan ucapan itu kepada anak-anaknya, demikian pula Ya`qub. (Ibrahim berkata): "Hai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagimu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam memeluk agama Islam".[Q.S. Al-Baqoroh : 132]

Rasanya cukup jelas tentang peringkat ketiga ini; iaitu peringkat kebahagiaan yang tiada taranya. Sudahkah kita sampai ke tahap ini? Dan adakah peringkat lagi selepas ini? Ya, ada. Peringkat berikutnya adalah peringkat keempat, peringkat yang lebih tinggi daripada sebelumnya.

Keempat; Al-Quran merupakan Rahmat yang akan menjadikan manusia sebagai makhluk yang sempurna dan mampu pula menyempurnakan yang lainnya. Supaya mudah untuk difahami maka kita terangkan dengan permisalan berikut ini: Al-Quran bagaikan cahaya yang memancar ke hati manusia. Oleh kerana hati itu adalah hati yang telah sampai ke peringkat ketiga tadi maka cahaya Al-Quran diterima dengan penuh sehingga membuat hatipun menjadi bercahaya pula. Dan selanjutnya, hati yang bercahaya itu dapat pula memancarkan cahayanya kepada orang lain; kepada isteri atau suaminya, kepada anak dan orang tuanya, kepada jiran dan masyarakatnya, dan kepada siapa sahaja di alam ini.

Peringkat keempat ini telah dicapai oleh Nabi Muhammad SAW. Dengan Rahmat Allah berupa Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah maka jadilah baginda sebagai Rahmat bagi semesta alam, Allah berfirman:

Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam”.[Q.S Al-Anbiyaa : 107]

Peringkat ini merupakan peringkat yang menjadikan seseorang itu sebagai tokoh yang diteladani, pemimpin yang disegani, penyelesai masalah, pembawa kemuliaan, dan menjadi pribadi sempurna (insan kamil) yang mampu menyempurnakan orang lain pula.

Seorang hamba yang telah sampai ke peringkat ini bagaikan rembulan di malam hari; melalui cahaya yang didapatkannya daripada matahari maka ia pancarkan semula untuk menerangi jagad raya. Begitu pula hamba yang telah mendapatkan cahaya daripada Al-Quran maka ia pancarkan pula ke semesta alam. Subhanallah!!

Demikianlah 4 keistimewaan Al-Quran dalam membawa manusia kepada hidup yang sempurna menerusi ayat yang ke-57 daripada Surah Yunus diatas. Setiap keistimewaannya mampu menghantarkan kepada peringkat yang lebih tinggi sehingga akhirnya dapat mencapai kemuncak hidup yang paling sempurna. Pada saat itulah kegembiraan hakiki mereka rasakan. Tentang perkara ini Allah menyebutkannya pada ayat berikutnya:

Katakanlah: "Dengan karunia Allah dan rahmat-Nya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Karunia Allah dan rahmat-Nya itu adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan".{Q.S. Yunus : 58]

Wallahu A’lam.

Al-Faqiir Ilaa Rabbih : Dr. H. Musthafa Umar

No comments: