Dikisahkan bahawa seorang penduduk pedalaman datang menjumpai salah seorang khalifah Dinasti Bani Umaiyyah, Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik (berkuasa 96-99H / 915-918M), seraya berkata: “Wahai Amirul Mukminin, saya ingin berbicara terhadap anda mengenai sesuatu perkara, cubalah anda terima dengan positif meskipun anda tidak menyukainya, kerana sebenarnya disebalik perkataan saya ini terdapat kesukaan anda, jika anda menerimanya”. Jawab Khalifah, kemukakanlah pendapat anda.
Ia berkata “Wahai Amirul Mukminin, sebenarnya anda ini dikelilingi oleh sekumpulan orang yang membeli dunia anda dengan akhirat mereka, keredhaan anda dengan kemurkaan Tuhan mereka sendiri. Mereka takut terhadap anda pada Allah, sedang mereka tidak takut kepada Allah pada anda. Mereka memusnahkan akhirat dan membina keduniaan. Mereka memusnahkan akhirat dan mengutamakan keduniaan. Oleh itu anda jangan terlalu percaya terhadap mereka mengenai amanah Allah yang dipetaruhkannya terhadap anda. Mereka tidak mempedulikan hilang lenyapnya amanah, dan berlakunya kezaliman di kalangan umat. Anda bertanggung jawab yakni akan ditanya tentang apa yang mereka lakukan, sedangkan mereka tidak bertanggung jawab tentang apa yang anda lakukan. Oleh itu janganlah anda memperbaiki keduniaan mereka dengan cara merosakkan akhirat anda. Kerana orang yang paling besar ketertipuannya adalah orang yang menjual akhiratnya dengan dunia orang lain.”
Khalifah lalu berkata, “Anda ini sebenarnya mengeluarkan kata-kata yang sangat tajam sekali, lebih tajam dari pedang anda sendiri”. Jawab lelaki tersebut, “Memang betul wahai Amirul Mukminin, apa yang anda katakan memang tepat, anda tidak salah sama sekali”.
Khalifah lalu menanyanya “Adakah anda mempunyai sesuatu hajat keperluan?” Jawabnya “Mengenai keinginan individu tidak ada, kemaslahatan umum memang ada”. Setelah itu lelaki tersebut pun keluar. Khalifah Sulaiman berkata “Sungguh baik sekali orang ini, alangkah mulianya asal usul orang ini, alangkah terpusatnya isi hati orang ini, sungguh tajam sekali kata-katanya, sangat tulus dan jujur niatnya, sungguh wara’ sekali dirinya. Beginilah hendaknya kemuliaan dan akal hamba mukmin”.
Sumber : Mukhtasar Minhajul Qasidin karya Imam Ibnu Qudamah
Oleh Ustaz ahmad Asri Lubis
No comments:
Post a Comment