KALENDAR KULIAH PENGAJIAN SURAU AN-NUR

Monday, January 26, 2009

Bukan Sekadar Baca Al-Quran Untuk Cari Pahala


SABDA Rasulullah SAW (yang) bermaksud, "Tidak beriman dengan Al-Quran orang yang menganggap halal perkara yang Tuhan kata haram".

Sama ada dikatakan halal dengan lisan benda yang Tuhan kata haram, ataupun berlagak seolah-olah perkara itu halal, sedangkan ia jelas haram hukumnya di sisi ALLAH SWT, cara itupun dikira tidak beriman dengan al-Quran.

Tidak beriman dengan al-Quran sama ertinya tidak beriman dengan yang lainnya, sama ada terhadap Allah SWT & Rasul-Nya, dengan Kitab-Nya & Hari Akhirat. Semunya termasuk dalam beriman dengan al-Quran.

Ini kerana semunya dijelaskan dalam al-Quran. Jika termasuk tidak beriman dengan al-Quran, bererti samajuga tidak beriman dengan Allah SWT & Malaikat-Nya serta Qadak & Qadar juga lainnya.

Oleh yang demikina kepada orang tidak menganggap bahawa perkara haram itu haram, & yang halal itu halal bahkan yang haram dikatakan halal atau sebaliknya, maka orang begitu sikapnya menyimpang daripada ajaran Nabi SAW.

Tidak jamin bahawa mereka sebagai mukmin. Tidak mukmin, jika tidak kafir bererti munafik kedudukannya. Setuju atau tidak perkara tersebut tetap begitu. Sabda Nabi SAW yang bermaksud,


"Hendaklah kamu baca al-Quran selagi ia boleh melarangmu"

Ertinya selagi seseorang (itu) boleh melarang apa yang dilarang oleh Allah SWT & al-Quran, maka bacalah al-Quran.

Tiada ertinya langsung membaca al-Quran jika larangannya dilanggar, suruhannya pula tidak dilaksanakan. Membaca dalam keadaan sebegitu, Nabi SAW menganggap seperti tidak membacanya, meskipun kedengaran menyebut ayat-ayatnya. Seolah-olah orang sedang mengigau atau bercakap sesuatu yang tidak difahaminya.

Sama ada memahami atau tidak kandungan al-Quran namun dari segi membacanya tetap dapat pahala, kerana itu adalah hikmah & keramat al-Quran.

Tujuan al-Quran diturunkan tidak sekadar untuk mencari pahala, sebaliknya membaca & memahaminya ialah untuk mendidik & membentuk peribadi manusia & mengamalkan suruhan-Nya.

Bagaimana hendak beramal & membentuk peribadi mulia jika tidak memahami kandungan-Nya. Justeru menjadi kewajipan memahami segala maksud al-Quran bagi umat Islam mempelajarinya. Supaya peribadi & amalannya akan bertambah baik.

Berkata Anas anak angkat Nabi SAW yang bermaksud, "Ramai orang membaca al-Quran sedangkan al-Quran melaknat diri mereka setiap ketika". Mendengar kata sebegini menyebabkan seseorang tidak membaca al-Quran, kerana takut kena sumpahnya sekiranya tidak amal apa yang dibaca. Jika tidak baca langsung Allah SWT pula yang akan melaknatnya.

Sewajarnya mereka dilaknat oleh Allah SWT kerana mereka sebagai hamba-Nya, yang dijaga & dipelihara kesejahteraannya sejak daripada kandungan ibu, hingga lahir ke dunia & dewasa diberi kesempatan hidup dengan persekitaran yang nyaman & udara yang segar, tiba-tiba dengan akal yang sempurna mereka tidak memanfaatkan untuk mempelajari & memahami kandungan al-Quran, yang telah diturunkan kepada Nabi SAW & dikurniakan kepadanya.

Kepada mereka yang kena laknat lantaran beberapa sebab, PERTAMAnya membaca dengan salah tanpa panduan tajwid. Orang yang mendengar sebutan salah itu wajib ke atasnya menegur, orang yang kena tegur wajib menerima teguran itu & membetulkan bacaannya.

Al-Quran 30 juzuk yang diturunkan dari sejak ummulkitab (al-Fatihah) hingga kepada surah yang akhir An-Nas, wajib atas umat Islam membacanya sama seperti Malaikat Jibril, yang (mem)bawa turun & mengajar kepada junjungan Nabi Muhammad SAW.

Tiada bahasa yang dikawal dengan tajwid melainkan bahasa Arab, bahasa al-Quran. Ini keistimewaan al-Quran ketepatan sebutan makhrajnya, untuk ketepatan maksudnya. Hanya bahasa al-Quran yang dikawal dengan tajwid & fashahah yang pelbagai, makhrajnya pelbagai tempat terbitnya huruf.

Ada yang dibaca dengan ghunnah (dengung), izhar, ihfa, iqlab & ada mad wajib muttasil & wajib Munfassil & pelbagai caranya lagi.

Semua itu diwujudkan untuk menjamin ketepatan sebutannya, jika hukum tajwid dipatuhi sepenuhnya maka sebutan al-Quran antara orang Arab & orang 'ajam berkeadaan sama sebutannya.

Sebab KEDUAnya kena laknat ialah walaupun bacaannya betul mengikut tajwid, tetapi tidak memahami makna & maksudnya.

Lantaran tidak memahami maksudnya, menyebabkan segala hukum-hakam & perundangan di dalamnya tidak diamalkan seperti yang dikehendaki Allah SWT.

Abdullah ibnu Ma'sud berkata,


"Bahawa al-Quran diturunkan supaya manusia beramal dengannya. Jangan dikata al-Quran itu tidak sesuai & ketinggalan zaman, kata-kata ini hanya layak keluar dari mulut orang kafir. Ada antara umat Islam baca al-Quran sejak dari surah al-Fatihah hingga tamat 30 juzuk, tidak cicir walau sebutir huruf, kalau ada yang cicir hanyalah amalannya"

Demikian sindiran Abdullah ibnu Mas'ud. Jika ada pembaca al-Quran lalu dikagumi bacaannya hingga mendapat anugerah yang lumayan, termasuk menunaikan haji atau umrah secara percuma, janganlah berasa senang hati kerana ada yang lebih penting, iaitu beramal dengan al-Quran sebagai pedoman hidup dunia & akhirat.

Oleh : Tuan Guru Dato' Nik Abd Aziz Nik Mat - Mauidzah (Harakah - bil. 1410)

No comments: