السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 258 surah al-Baqarah :
أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِي حَاجَّ إِبْرَاهِيمَ فِي رَبِّهِ أَنْ آتَاهُ اللَّهُ الْمُلْكَ إِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّيَ الَّذِي يُحْيِي وَيُمِيتُ قَالَ أَنَا أُحْيِي وَأُمِيتُ ۖ قَالَ إِبْرَاهِيمُ فَإِنَّ اللَّهَ يَأْتِي بِالشَّمْسِ مِنَ الْمَشْرِقِ فَأْتِ بِهَا مِنَ الْمَغْرِبِ فَبُهِتَ الَّذِي كَفَرَ ۗ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ
"Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: “Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan”. Ia menjawab: “Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan”. Nabi Ibrahim berkata lagi: “Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah dia dari barat?” Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim"
Perbezaan antara hak dan batil begitu terang, percanggahan antara iman dan kufur begitu jelas, pertembungan antara Islam dan jahiliah begitu ketara. Pejuang Islam termasuk golongan nabi dan rasul sentiasa berdepan dengan musuh Islam yang menolak kebenaran walau pun pelbagai hujah dan dalil dikemukakan. Akibat hati yang rosak dipenuhi penyakit takabbur serta ditutup daripada menerima hidayah Allah maka kebenaran ditolak, kesesatan dipertahankan. Pada zaman nabi Ibrahim, ramai kalangan umatnya termasuk bapanya sendiri Azar menyembah berhala sehingga nabi Ibrahim begitu bersungguh-sungguh berhujah dengan mereka agar meninggalkan perbuatan syirik yang merugikan itu. Kekuatan hujah kebenaran Islam tidak mampu dilawan oleh golongan yang menentang Islam tetapi golongan yang kufur pada Allah akan menggunakan kekerasan walau pun mereka tahu mereka kalah dan bersalah. Begitulah nasib yang menimpa nabi Ibrahim yang dibakar dalam api oleh Namrud dan pengikutnya tetapi Allah tetap membantu nabiNya dan dakwah Islam. Kita pada ini yang berjuang Islam terus berdepan dengan pemimpin dan golongan yang tidak yakin dengan Islam. Mereka tidak menyembah berhala tetapi menyembah system ciptaan manusia dari pelbagai segi termasuk pemerintahan, ekonomi, sosial dan sebagainya. Apabila hujah golongan yang tidak yakin kepada system Islam ini dapat dipatahkan maka kekerasan digunakan termasuk ISA, ugutan, buang kerja dan sebagainya. Begitu juga dalam mempertahankan kuasa yang dimiliki maka pelbagai cara yang bercanggah dengan demokrasi apatah lagi Islam digunakan semaksima yang mungkin sehingga mandat rakyat dicabuli, undang-undang rimba disanjungi. Tidak pelik bila undang-undang Allah pun berani dilanggar apatah lagi undang-undang ciptaan manusia yang boleh dipermain sesuka hati
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam surah al-Ghafir ayat 23 – 24
ولقد أرسلنا موسى بئايـتنا وسلطن مبين إلى فرعون وهـمـن وقـرون فقالوا سـحر كذاب
"Sesungguhnya telah Kami utuskan nabi Musa dengan membawa keterangan Kami dan dalil yang nyata kepada Firaun, Haman dan Qarun lalu mereka berkata : “ Ini ahli sihir lagi pendusta”
Perjuangan nabi Musa a.s pula menyaksikan bagaimana baginda terpaksa berdepan dengan tiga jenis manusia yang berbeza dari segi pangkat, tugas dan peranan tetapi matlamatnya sama iaitu memastikan umat manusia terus menyembah sesama manusia serta kufur kepada Allah. Manusia pertama bernama Firaun yang berjawatan sebagai raja pemerintah yang menjadikan kuasa sebagai hak milik mutlak bukannya menjadikan kuasa itu sebagai suatu amanah daripada Allah sehingga dia sanggup melawan Allah tanpa rasa takut dan bersalah. Firaun telah ditulis dalam al-Quran sebagai pemimpin dan ahli politik paling jahat dalam sejarah berpunca daripada hati yang rosak bertindak memecah-belah masyarakatnya dengan mencipta puak-puak dan bangsa sekaligus menindas serta bertindak zalim. Dengan cara itu, dia fikir dapat memerintah lama dan tiada masyarakat yang bersatu-padu yang akan menentangnya di kemudian hari. Menurut catatan Ibnu Kathir, Firaun telah membunuh sejumlah 40,000 kanak-kanak lelaki daripada kalangan bani Israel demi memastikan survival politiknya kerana bimbang ada generasi muda iaitu bakal pemimpin yang akan menggulingkannya. Firaun telah lama mati lemas dengan penuh kehinaan tetapi pemimpin-pemimpin yang bersikap sepertinya terus ada setiap zaman dan tempat. Pemimpin jenis ini tidak pernah takut untuk mempersendakan Islam dan mengenepikan agama dalam politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Pemimpin jenis ini gemar mengapi-apikan isu perkauman bagi menjaga kepentingan diri sendiri serta menggunakan pelbagai cara termasuk kekerasan yang bukan sahaja bercanggah dengan Islam malah sistem demokrasi itu sendiri demi memastikan kuasa politiknya tidak tergugat. Akhirnya pemimpin jenis ini menjadikan dirinya sebagai penguasa yang tidak boleh disanggah sehingga yang kuat dan kaya sentiasa menang manakala yang lemah dan miskin menjadi mangsa kezaliman yang sentiasa kalah.
Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Firman Allah dalam ayat 79 – 80 surah al-Qosas :
فَخَرَجَ عَلَىٰ قَوْمِهِ فِي زِينَتِهِ ۖ قَالَ الَّذِينَ يُرِيدُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا يَا لَيْتَ لَنَا مِثْلَ مَا أُوتِيَ قَارُونُ إِنَّهُ لَذُو حَظٍّ عَظِيمٍ وَقَالَ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ وَيْلَكُمْ ثَوَابُ اللَّهِ خَيْرٌ لِمَنْ آمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا وَلَا يُلَقَّاهَا إِلَّا الصَّابِرُونَ
"Kemudian Qarun keluar kepada kaumnya dengan memakai perhiasannya. (Pada saat itu) berkatalah orang-orang yang semata-mata inginkan kesenangan kehidupan dunia: “Alangkah baiknya kalau kita ada kekayaan seperti yang didapati oleh Qarun! Sesungguhnya dia adalah seorang yang bernasib baik”. Dan berkata pula orang-orang yang diberi ilmu (di antara mereka): “Janganlah kamu berkata demikian, pahala daripada Allah lebih baik bagi orang yang beriman dan beramal soleh; dan tidak akan dapat menerima (pahala yang demikian) itu melainkan orang-orang yang sabar"
Firaun dibantu oleh Haman yang berperanan sebagai menteri atau pegawai yang berusaha siang dan malam dalam memastikan rakyat jelata sentiasa tunduk kepada pemimpin yang sesat dan zalim secara membabi buta. Haman juga telah mati tetapi menteri dan pegawai yang bersikap sebagaimana Haman terus muncul sehingga rakyat terus keliru hasil kepetahan bicara manusia jenis ini yang bijak menutup kesesatan dan kezaliman pemimpin. Firaun turut dibantu oleh Qarun yang merupakan hartawan yang sanggup membantu pemimpin dan menteri melalui harta kekayaannya dengan syarat dia mendapat balasan yang berganda hasil pelaburannya dalam menyesatkan rakyat dan menutup kesalahan pemimpin. Qarun juga telah lama mati ditelan bumi bersama harta kekayaannya tetapi hartawan yang bersikap sebagaimana Qarun terus wujud di mana-mana. Bahayanya hartawan jenis ini ialah dia mampu mengawal system pemerintahan, perundangan, ekonomi, sosial dalam sesebuah negara kerana berjaya membeli negara dengan harta kekayaannya. Jadi tidak pelik apabila wujudnya negara yang dikawal oleh tauke dadah, tauke judi, tauke arak, kongsi gelap dan sebagainya. Benar kata cerdik pandai : Bila wang bercakap maka perundangan akan senyap.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 1-5 surah al-Masad :
تَبَّتْ يَدَا أَبِي لَهَبٍ وَتَبَّ مَا أَغْنَىٰ عَنْهُ مَالُهُ وَمَا كَسَبَ سَيَصْلَىٰ نَارًا ذَاتَ لَهَبٍ وَامْرَأَتُهُ حَمَّالَةَ الْحَطَبِ فِي جِيدِهَا حَبْلٌ مِنْ مَسَدٍ
"Binasalah kedua-dua tangan Abu lahab, dan binasalah ia bersama! Hartanya dan segala yang diusahakannya, tidak dapat menolongnya. Ia akan menderita bakaran api neraka yang marak menjulang. Dan juga isterinya, seorang perempuan pemunggah kayu api. Di lehernya sejenis tali, dari tali-tali yang dipintal"
Perjuangan nabi Muhammad s.a.w sendiri terpaksa berdepan dengan manusia yang rosak hati termasuk bapa saudaranya sendiri Abu Lahab bersama isterinya. Walau pun merupakan antara ahli keluarga yang paling gembira ketika menyambut kelahiran nabi Muhammad s.a.w sehingga menyembelih banyak ekor unta dan memerdekakan hambanya Suwaibah namun apabila nabi mula menyatakan dakwah Islam maka Abu Lahab merupakan penentang utama kepada dakwah suci itu. Sehingga mati dia bersama isterinya sentiasa mencari jalan bagi menjauhkan umat manusia daripada menerima dakwah nabi. Kebanyakan hartanya digunakan bagi menentang perjuangan Islam. Oleh itu kita mesti menjauhkan diri daripada menjadi manusia yang rosak hati di mana hanya seronok menyebut tentang kemuliaan nabi Muhammad s.a.w tetapi menentang sunnah dan sistem Islam yang dibawanya. Islam tidak akan berjaya hanya sekadar menyebut tetapi wajib diikut.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
No comments:
Post a Comment