KALENDAR KULIAH PENGAJIAN SURAU AN-NUR

Tuesday, June 23, 2009

Amalan-Amalan Di Bulan Rejab

Salam Semua,

Allah ta'ala yang maha berkuasa telah menciptakan alam dengan begitu sempurna untuk keperluan hidup makhluk-Nya. Dengan peredaran serta pusingan planet bumi, bulan dan bintang-bintang, maka wujudlah perkiraan masa atau zaman, 12 bulan dalam 1 tahun, 4 daripadanya dinamakan bulan haram yang dihormati dan mengandungi kemuliaan dan kelebihan yang tersendiri.

Firman Allah di dalam Surah At-Taubah ayat 36:
"Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya 4 bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya) dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertaqwa"
Daripada Abu Bakrah yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
"Sesungguhnya zaman itu berputar semenjak mula-mula Allah menciptakan langit dan bumi, 1 tahun mengandungi 12 bulan, daripadanya 4 bulan haram, 3 daripadanya bulan itu berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram dan 1 bulan berasingan iaitu Rejab di antara Jamadilakhir dan Syaaban"
Bulan Rejab adalah bulan ke-7 daripada bulan-bulan dalam hitungan tahun Qamariah. Rejab bererti kebesaran dan dinamakan Rejab kerana bulan ini sangat dimuliakan pada zaman Jahiliah. Dalam bulan ini juga mencatat sejarah penting bagi kehidupan umat Islam kerana dalam bulan ini mengandungi peristiwa Isra' dan Mikraj junjungan Nabi Besar kita Muhammad SAW satu peristiwa yang kita telah maklum keagungannya.

Umat Islam digalakkan untuk beribadat sebanyak mungkin pada bulan Rejab ini kerana pada bulan ini Allah banyak memberikan pahala kepada mereka yang mengerjakan ibadat di dalamnya.

Di antara amalan-amalan yang digalakkan ke atas orang-orang Islam untuk mengerjakan pada bulan Rejab ini ialah:

PERTAMA : Membaca Salawat kepada Rasulullah SAW
Umat Islam memang digalakkan untuk membanyakkan membaca salawat pada bila-bila masa terutama pada ketika pahalanya dilipat gandakan di dalamnya seperti pada bulan Rejab kerana membaca salawat sangat besar pahalanya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Barangsiapa yang membaca salawat untukku 1 kali, Allah bersalawat kepadanya 10 kali, dan barangsiapa bersalawat 10 kali kepadaku, Allah akan bersalawat kepadanya sebayak 100 kali. Dan barangsiapa yang bersalawat kepadaku 100 kali, maka Allah menulis di antara kedua-dua matanya kebebasan dari sifat nifaq dan kebebasan dari neraka. Pada hari kiamat orang itu akan ditempatkan bersama orang-orang yang mati syahid"
Bayangkanlah betapa beruntungnya orang yang mendapat ucapan salawat dari Allah disebabkan ia bersalawat kepada Rasulullah SAW.

KEDUA : Bertaubat.
Kita digalakkan untuk memperbanyakkan bertaubat pada bulan Rejab kerana bulan ini adalah bulan pengampunan.

KETIGA : Berpuasa.
Kita umat Islam digalakkan untuk banyak berpuasa pada bulan Rejab.

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Al-Baihaqi:
"Sesungguhnya di dalam syurga itu terdapat sebuah sungai yang disebutkan sungai Rejab, airnya lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu, barangsiapa yang berpuasa 1 hari pada bulan Rejab, Allah akan memberinya minum dari sungai itu"
KEEMPAT : Berdoa.
Apabila berada di bulan Rejab, kita berharap agar sampai pula pada bulan Syaabandan bulan Ramadhan. Bulan Ramadhan bulan yang dinanti-nanti oleh setiap orang Islam yang sentiasa merindui pahala besar.

Rasulullah SAW apabila masuk bulan Rejab, baginda berdoa dengan doa seperti berikut:
"Ya Allah! Berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban serta sampaikan kami ke bulan Ramadhan?
Selain daripada itu banyak lagi ibadat-ibadat lain yang mempunyai banyak kelebihan untuk kita amalkan di bulan ini seperti bersedekah dan melakukan amal jariah yang lain. Allah membukakan pintu rahmat seluas-luasnya bagi mengampunkan dosa-dosa hamba-hambanya yang bertaubat, setiap permohonan kita kepada Allah pasti akan mendapat balasan jua dan jika kita mempraktikkannya insyaAllah pasti kita akan memperolehi kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.


Firman Allah di dalam Surah At-Tahrim ayat 8:
"Wahai orang-orang yang beriman! bertaubatlah kamu kepada Allah dengan bertaubat nasuha mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai"


Sumber : Laman web rasmi Kerajaan Negara Brunei Darussalam - Jabatan Hal Ehwal Masjid (http://www.masjid.gov.bn/teks_khutbah/1423/6.htm)

No comments: