KALENDAR KULIAH PENGAJIAN SURAU AN-NUR

Wednesday, March 18, 2009

Poket Kembara 2

Dakwah Dalam Pesawat
Barang yang dibawa tidaklah banyak tetapi yang memberatkanya ialah buah tangan untuk teman-teman di Jakarta dan Solo iaitu Majalah Anis dan buku-buku saya sendiri. Terima kasih kepada Cik Juwairiah Hasan aka Kak Ju kerana meminjamkan beg galas belakang (yang pernah dibawanya ke Sepanyol dan Turki dalam rangka kerjanya sebagai wartawan rancangan Dokumentari Syahadah RTM1) kepadaku. Barang-barang lain adalah kamera DSLR (Digital Single Lense Reflect) jenama NIKON milik abah (yang dipesan berkali-kali: jaga elok2), buku catatan, passport, duit sejuta rupiah lebih (wah! Jutawan) dan dua buku proses kreatif karya Hizairi Othman (konon nak baca untuk tesis tapi..ambil berkat sahajalah)
Pesawat Air Asia Kl-Jakarta no QZ701. Duduk sebelah gadis Indonesia kelahiran Semarang bernama Alfiatun Rahmah dan temannya. Sebaik terenap di kerusi 10C, sudah bercadang membaca Majalah Anis (majalah syarikat tempat aku bekerja). Aku perasan, gadis sebelahku tersenyum dan memerhatikan diriku lama. Aku tidak lokek membalas senyumannya dan kami terpana dengan senyuman masing-masing. “Mbak orang Malaysia?” tanyanya. Saya mengangguk. Hampir separuh penumpang pesawat adalah rakyat RI (Republik Indonesia) termasuk pilot dan anak2 buahnya (pramugari/gara). Mungkin gadis ini maklum setelah seorang petugas kapal menyerahkan borang untuk diisi oleh pelancong luar yang masuk ke Indonesia.
Perbualan makin diransang apabila si gadis bertindak sebagai ‘wartawan’ ke atasku. “Mbak mahu ke mana di Jakarta? Tujuan apa? Seorang diri sahajakah? Siapa yang jemput di bandara nanti? Di Malaysia tinggal di mana?” dan soalan akhirnya, “Cantik ya pakai tudung..saya punya keinginan tetapi..” setelah itu menyusul perkongsian cerita di antara kami hingga tidak sedar pesawat sudah tiba di destinasi.
Ceritanya..Namaku Alfiatun Rahmah. Bisa dipanggil Alfi. Umurku baru 19 tahun dan bekerja sebagai pembantu rumah bagi pasangan Kristen Hindu di Damansara tahun lalu. Sekarang, aku mau pulang ke rumah di Semarang. Mbak, aku punya persoalan, bagaimana Tuhan memandang manusia itu sama ada dia Islam atau bukan Islam? Kerana aku seorang Muslim, tetapi dipautkan kepada kesusahan, apakala tuan tempat aku bekerja, mereka hidup dalam limpahan kasih sayang dan kemewahan. Mereka juga orang-orang yang melakukan kebaikan pada orang lain, apakah Tuhan menilai kebaikan mereka sedang mereka musyrik?Kataku..Sambil beristigfar dalam hati (kerana aku malu dengan diriku yang tidak selayaknya mewakili Tuhan menjawab persoalan si gadis ini). Dik, kitakan selalu membaca BismillahirRahmahnirRahim yang maksudnya Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani (cinta). Itu adalah pengucapan keyakinan bahawa Allah SWT, Tuhan kita dan seluruh makhluk termasuklah Islam atau bukan Islam bersifat ar-Rahman dan ar-Rahim. Dua sifat yang sangat autoriti kepada Sang Pencipta. Mengapa? Kerana aku atau kamu, tidak akan wujud di dunia ini kalau Tuhan Tidak menginginkan peranan kita di dunia. Dia lalu memberikan kita bekal pancaindera untuk memudahkan urusan kita. Kamu misalnya dibekalkan dengan tangan, kaki, dan tenaga untuk bisa bekerja di Malaysia. Aku misalnya dibekalkan dengan kesihatan untuk bertamu ke negaramu (kemudian bertemu kamu di atas pesawat ini). Itu hanyalah serpihan misalan yang menunjukkan bahawa Tuhan amat pemurah. Itu juga diberikan kepada tuanmu yang Kristen itu, mereka juga Tuhan kurniakan kekayaan dan kasih sayang kerana mereka orang yang suka membantu orang lain, mereka bahagia kerana mereka tidak menzalimimu bahkan menurutmu, mereka tidak memakan binatang kerana perasaan belas. Cumanya, mereka bodoh kerana mempersekutukan Tuhan, mengatakan Tuhan mempunyai anak (Jesus). Sepatutnya, secara logik, Tuhan boleh membalas kesilapan mereka serta-merta tetapi kerana sifatNya adalah ar-Rahman (pemurah), Tuhan tetap melimpahkan kebaikan kepada tuanmu yang Kristen itu. Kamu harus ingat, bahawa kebaikan Tuhan adalah apa-apa yang dimiliki oleh para makhlukNya baik yang ada pada Firaun sekalipun.
Namun, sifat cinta dan kasihan belas Allah SWT atau disebut ar-Rahim adalah khusus untuk mereka yang meyakini ‘Aku bersaksikan bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu adalah pesuruh (nabi) Allah’. Mereka itulah orang Islam (sejahtera) dan beriman (berpegang teguh dengan rukun iman Allah SWT). Menurutmu, mengapa kau Muslim sedangkan kau terus-terusan susah? Cuba dirimu berfikir, apakah Tuhan Menciptakan kesusahan kepada orang yang tidak menjadi perhatianNya? Ini adalah salah sama-sekali. Kalau begitu, mengapa Allah SWT menjadikan rasul kita, Muhammad SAW orang yang mendapat musibah sejak dari kecil? Baginda SAW telah kehilangan ayah sejak dari dalam perut ibunya, kemudian ditinggalkan si ibu ketika usia tadika, menyusul pula kematian datuknya yang menjadi tempat berpaut. Baginda menumpang kasih pada bapa saudara yang sederhana dan mempunyai anak-anak ramai sehingga baginda terpaksa mandiri (memelihara kambing dan berdagang) menafkahi hidupnya tanpa bergantung pada orang lain. Kisah baginda SAW ini jika ditelusuri, dari zaman kanak-kanaknya berinjak remaja, setelah kahwin kemudian menjadi nabi dan pemimpin umat sehinggalah baginda SAW wafat, penuh dengan kegetiran dan kesusahan. Nah! Sedang, bagindalah kekasih Allah SWT, makhluk yang paling dicintai Allah SWT sebelum Dia Menciptakan manusia yang pertama Nabi Adam AS. Jika Allah SWT telah memberi kesusahan kepada kekasihNya, sewajarnya kita yang (belum lagi) menjadi kekasih Allah perlu berasa bangga. Kita dalam unit latihan yang sama dengan Nabi kita sendiri. Kau kalau susah, apa yang sering kau lakukan? Berdoa, berharap dan memohon padaNya bukan? Itulah turning point Allah SWT akan memusatkan perhatianNya kepada dirimu, Memelukmu dengan cinta dan rindu dan mendodoikan kau harapan bahawa syurgaNya amat banyak dan luas untuk orang-orang (mukmin) yang bersabar (dengan kesusahan dan kemiskinan) di akhirat. Kawan, kampung dan perumahan kita bukan hanya di dunia, yang asli (Indonesian menyebutnya asri) adalah di akhirat. Rasulullah SAW pernah menyebutkan bahawa, syurga itu dihuni ramai orang miskin dan baginda akan bersama orang-orang miskin. Maka, kau dan aku perlu berbangga dengan sabda nabi itu. Secara logiknya, kita sendiri selalu berasa kasihan-belas kepada orang susah dan miskin dibandingkan orang-orang kaya. Tuhan juga begitu, ar-RahimNya istimewa untuk orang-orang Islam sahaja termasuklah kita yang miskin. Satu sifatNya (ar-Rahman) untuk non Muslim. Sedang kita yang beriman mendapat Rahman dan RahimNya sekaligus. Ini jelas, dan kau jangan mencemburui tuanmu yang Kristen itu lagi. Wallahu a’lam.
Ceritanya
Kak, aku dulu pakai jilbab tapi tak bertahan kerana orang lain menghinaku. Katanya, apa sih pakai jilbab tapi jahil dan buat dosa. Aku merasakan diriku bukan orang-orang baik, makanya aku tidak layak memakai jilbab (tudung). Bolehkah aku begini (free hair) terus dengan niat aku tidak mencemarkan agamaku sendiri (maksudnya jika pakai tudung kemudian berbuat dosa akan lebih memburukkan imej agama)
Kataku
Tersenyum (dalam hati sekali lagi ada ketakutan, bertalu soal; inikah permulaaan hikmah dalam musafir kali in?) Dik, orang yang memakai tudung itu perlu jelas tujuan dan perlaksanaannya memakai tudung. Seperti juga kita memakai baju dan kain, kita tahu keperluan memakainya. Tudung adalah untuk menutup bahagian kepala dan leher kita yang tidak boleh dilihat oleh lelaki luar. Itu perintah Allah kepada orang beriman. Kalau kita percayakan ini, apakah alasan untuk kita tidak memakai tudung? Biarpun orang lain mengatakan yang tidak-tidak, kalau niat dan tujuan kita hanya melaksanakan perintah Allah, siapakah lebih penting, orang yang bermulut jahat itukah atau Allah Yang Memberi kita nyawa?
Dan kita tahu, Islam itu agama yang memudahkan penganutnya. Perlaksanaan syariah Islam selalu disesuaikan dengan keadaan tempat, masa dan zaman. Muslimah Asia khususnya tidaklah disuruh memakai jilbab seperti Muslimah Saudi (yang diwajibkan bercadar muka). Hari ini, fesyen jilbab begitu banyak, selain cantik dan menutup aurat, ia juga menampilkan imej versatile para Muslimah. Kau boleh saja mencuba tudung seperti ibu Arini (drama Mutiara Hati dan Isteri Untuk Suamiku) dulu. Tudung seperti itu bukankah mudah untuk kita melakukan kerja hatta di dapur sekalipun. Tudung seperti aku ini memerlukan banyak pin dan keronsang (ketawa sendiri) tetapi senanglah, aku yakin dengan penampilanku. Bila aku bertudung dan memakai pakaian labuh, yang aku rasakan aku tidak menjadi perhatian lelaki (yang bertujuan jahat) dan berbangga jika sekalian tahu, aku ini seorang Muslimah yang berpegang teguh pada syariat Islam. Kau dik, kau memang cantik kalau memakai tudung. Betul!
Ceritanya
Kakak, aku di Malaysia, tak punya kawan yang tahu banyak tentang agama. Banyak persoalan yang aku ingin kongsi, tapi aku tak tahu siapa-siapa yang boleh aku rujuk.
Kataku
Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, jika Allah menginginkan kebaikan untuk seseorang, dia akan dipertemukan dengan sahabat yang baik. Mungkin perkenalan kita di atas pesawat ini ada hikmahnya. Kakak seperti adik, sama-sama mencari ilmu untuk kekuatan diri. Barangkali selepas ini, jika adik nak belajar tentang agama, kakak boleh kenalkan pada kawan-kawan dan ustazah. Di Kuala Lumpur sebenarnya banyak tempat pengajian Islam (ketika ini fikiranku terbayang Kak Tiq aka Kak Khadijah iaitu kakak usrahku sejak 4 tahun lepas sehingga sekarang. Aku akan bawa adik sebelahku ini nanti ke usrah kami setiap minggu di Seksyen 17, PJ). Memang ilmu kena cari baik dari guru, dari buku dan alat media lain.
Ceritanya
Tapi kak, aku tak tahulah dapat ke Malaysia lagi atau tidak? Aku..(dia tunduk sayu. Air matanya merenek kemudian mengalir di pipi)Kataku
Kalau adik nak berkongsi cerita, kakaklah orang pertama yang mau mendengar masalah adik. Jika adik segan, kakak doakan adik tabah.
Ceritanya
Keluargaku tidak mengamalkan Islam sepenuhnya kakak biarpun datukku seorang yang alim. Aku anak sulung daripada tiga beradik. Ibuku dulu pernah bekerja di Saudi tapi sekarang menetap di Semarang. Semuanya berpunca daripada bapakku yang tidak bertanggungjawab. Bapak itu kaki perempuan dan judi. Duit ibu yang dikirimkan untuk bina rumah dihabiskan untuk maksiat. Berkali-kali ibu mohon cerai dari bapak, tapi bapak berdegil tak mau lepaskan ibu. Dia ugut, kalau ibu pergi, rumah yang kami tinggal akan jadi miliknya. Jadi, ibu sekarang hanya tau menangis dan menangis.
Kak tau, penyakit bapa telah berjangkit pada adik kedua saya (perempuan). Adik sekarang sudah berani menengking ibu dan membenarkan kata-kata bapa pada ibu. Dulu, ketika kami kecil, kami dijaga bapa kerana ibu bekerja di Saudi. Jadi adik lebih rapat dengan bapa. Aku pernah menegur adik, perbuatannya sekarang melampau batas. Dia tak mau sekolah, suka berpeleseran dan derhaka pada ibu. Entahlah kak, hidupku terus dalam tekanan. Aku mau pulang ini kerana memikirkan ibu. Apakah Tuhan memperhatikan orang semacam kami?
Kataku
(Sedih dengan ceritanya). Kasihan ya. Adik, boleh kakak tanya, apakah adik menjaga solat?
Dia menggeleng kepala.
Kataku
Sekarang masalah yang terjadi perlu adik selesaikan satu persatu. Adik tidak boleh mengalah kerana adik yang paling sulung dan menjadi kekuatan ibu. Jangan fikirkan dulu tentang ayah yang tak bertanggungjawab.Yang penting adalah ibu adik. Sekarang, adik mohon keampunan dari Allah dan berusaha untuk tidak meninggalkan kewajipan sebagai hambaNya. Fahamkan maksud kakak? Allah memang mengasihi kita orang-orang Islam, dan kita perlu membalas kasih sayangNya dengan menunaikan solat 5 waktu sehari semalam. Tujuannya supaya kita selalu berasa dekat dengan Allah. Kalau kita tak memberitahu Allah tentang masalah, Dia sudah lebih dahulu tahu sebelum kita wujud lagi. Namun, hanya kita perlu menjadi hamba yang patuh agar Allah terus menunjukkan jalan kebenaran dan memudahkan urusan hidup kita. Tidak ada border antara kita dengan Allah. Diri adik yang perlu mulakan. Selalu berusaha meraih simpati dan bersyukur kepada Allah.
Nanti adik pulang, sentuh dan peluklah ibu adik. Katakan padanya, seberat manapun masalah ibu, saya akan menangungnya bersama-sama ibu. Ibulah nyawa dan cinta saya. Saya tak akan hidup tanpa pengorbanan ibu membesarkan saya, lalu hari ini saya mahu menjadi terbaik buat ibu walau orang lain tidak menyokongnya. Ibulah bulan dan matahari bukan orang lain. Jika ibu menangis, adik menangislah bersama ibu adik dan beri nasihat padanya. Biar dia tahu yang anaknya juga merasai penderitaan yang ditanggung. Seorang ibu yang mati (jiwanya) bisa hidup semula demi seorang anak, percayalah!
Dan adikmu itu, jangan lagi kau marah dan menengkingnya biarpun perbuatannya itu salah. Cara yang pas, kau bawanya berjalan-jalan, belanja makan atau berinya hadiah, kemudia slow talk. Mulakan dengan bertanya perkembangan dirinya dan kesukaannya kemudian selitlah nasihat dengan lemah-lembut. Ketika Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS mahu mendatangi Firaun mengajaknya kepada tauhid, Allah berpesan kepada kedua mereka agar bercakap lemah-lembut dan bijaksana. Kau pasti mengenali adikmu sendiri untuk bertindak ke atasnya.
Ceritanya
Kakak (sambil menangis dan aku menggenggam tangannya). Tuhan mahu mendengar doa akukah setelah lama aku tak bersolat?
Kataku
Iya. Pasti dan memang itu sifat Tuhan Yang Maha Mendengar. Dalam satu ayat al-Quran Allah mengatakan; Barangsiapa yang melakukan kerosakan atau menzalimi dirinya kemudian dia bertaubat kepada Allah, nescaya dia akan mendapati bahawa Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang (surah an-Nisa:110)
Asalkan adik mahu mendekatiNya, tidak ada apa yang perlu digusarkan.
Pesawat semakin rendah. Seperti selalu yang aku lakukan ketika pesawat mendarat adalah menekup muka dan beristigfar. Penyakit ‘gayat’ yang aku alami adalah penyakit keturunan (dari sebelah abah). Sebaik sahaja tiba di Bandara Soekarno-Hatta, semua kami bergegas mahu keluar dari perut Air Asia termasuk aku dan Alfi. Dia menghulur jasa baik mengambil beg sandang belakangku (milik Kak Ju) di para atas. Kami bergandingan turun menghirup nafas Jakarta. Rupanya aku sudah sampai, subhanallah!
Pada Alfi kuberikan kad dan novel Ladang Hati Mustika (yang kebetulan ada dalam beg). Pada teman-temannya juga kuberikan kad dan majalah Anis. “Nanti kalau ke Malaysia lagi hubungi kakak ya,” kataku. Kami berpisah ketika mengambil bagasi. Dia dan teman-temannya akan meneruskan penerbangan lain ke Semarang, aku pula sudah diterjah panggilan dari Pakcik Saifullah. “Ummu, nanti ambil bagasi belok ke kanan ya. Jangan beli apa2 di sini, mahal.” Pesannya.
Ketika menapak keluar menemui insan-insan tersayang (pakcik, makcik dan Huda), aku masih dibuai peristiwa sepanjang ‘terbang’ tadi. Masya Allah, akukah yang mengeluarkan nasihat tadi? Akukah yang berkata-kata bak seorang ustazah? Ya Allah, itu bukanlah aku kecuali dengan KehendakMu memandu kata-kataku. Dan pastinya, selepas ini, akulah yang akan diberikan ‘ujian’ untukku mempraktiskan kembali apa yang telah kusebutkan pada Alfi. Semoga hendakNya, Kaulah juga memandu dan memperbetulkan perbuatanku (yang selalu tersadung dan bengkok).
Dalam berjuta-juta manusia, bukanlah hanya Alfi yang menanggung beban seberat itu. Kata Hasan al-Banna: Tanggungjawab dakwah itu berat kerana ia lebih besar (banyak) dari masa yang kita ada.

No comments: