KALENDAR KULIAH PENGAJIAN SURAU AN-NUR

Sunday, March 15, 2009

Allah Ingat Kepada Insan Yang Mengingati-Nya

IBADAH jenis bacaan yang paling utama di sisi Allah SWT ialah (mem)baca Al-Quran, ibadat zikir & doa adalah ibadat kedua afdal selepas (mem)baca Al-Quran.

Zikir bererti ingat akan Allah SWT. Ingat kepada Allah SWT bukan sekadar sebut nama-Nya dengan lisan saja, tetapi ingat akan sifat-sifat-Nya seperti sifat (Maha) Gagah Perkasa serta mentaati perintah halal & menjauhi haramnya, itulah konsep ingat Allah SWT dalam erti kata sebenar.

Manusia adalah jenis makhluk yang melakukan sesuatu perkara hanya setelah mengetahui faedah & fadhilat yang akan diperolehi. Kerana belum mengetahuinya, menyebabkan mereka lambat memulakan amal, sama ada dalam hal makan minum & segala kerja & amalan. Allah SWT & rasul-Nya menjelaskan betapa besar faedah & fadhilat zikir, selain mendapat pahala yang banyak juga dekat dengan Allah SWT.

Perkara yang amat mustahak bagi manusia ialah untuk hidup kekal di akhirat kelak sebagaimana firman Allah SWT:
"Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku, nescaya Aku ingat (pula) kepadamu" (Surah Al-Baqarah ayat 152)
Khasiat zikir itu ialah dapat tarik perhatian Allah SWT. Bukan mudah untuk tarik perhatian Tuhan kepada kita. Seperti seseorang hendak tarik perhatian wanita atau jejaka cantik yang tinggi darjatnya. Meskipun dia sedar kedudukan dirinya tidak sekufu, tetapi dicubanya juga untuk memikat si dia.

Sifat manusia sering menghendaki sesuatu yang cantik & bermutu. Sesetengah manusia mengukur perkara cantik itu setakat kepada wanita yang jelita & lelaki yang tampan. Tetapi bagi mereka yang berilmu & berminda tinggi, yakin bahawa tiada yang lebih cantik kecuali Allah SWT. Kecantikan pada manusia sekadar tempias daripada kecantikan Allah SWT, oleh itu bagi manusia berminda cerdik bukan sekadar tergoda kepada kecantikan makhluk. Tetapi sepatutnya terpengaruh kepada kecantikan Allah SWT yang mencipta kecantikan itu. Sepatutnya mereka berikhtiar & usaha gigih untuk tarik perhatian Allah SWT yang Maha Cantik itu supaya berpaling kepadanya.

Caranya ialah sebagaimana yang ditegaskan melalui firman-Nya dalam surah Al-Baqarah ayat 152; iaitu berusaha mengingati-Nya, nescaya Allah SWT mengingati dirinya pula. Sama ada ingat dengan cara sebutan lidah atau dengan cara mana sekalipun, yang menggambarkan manusia ingat kepada-Nya. Dengan demikian Allah SWT juga ingat kepada manusia yang mengingati-Nya.

Allah SWT apabila ingat kepada manusia yang mengingati-Nya, banyak kurnia-Nya (yang) bernilai yang akan diberi kepada manusia. Antaranya keredhaan-Nya serta pahala & keampunan dosa.

Seorang alim zaman silam yang masyhur bernama Kabit al-Banani, berkata kepada muridnya, "aku boleh tahu ketika mana yang Tuhan ingat atau lupa kepadaku". Lalu antara muridnya bertanya, "bagaimana anda boleh mengetahui rahsia ketika Tuhan ingat atau melupakan anda?". Jawapan mudah Kabit, "apabila aku ingat (zikir) kepada-Nya maka ketika itu Dia ingat akan daku. Justeru jika seseorang berhajat supaya Tuhan beri perhatian terhadap dirinya, terlebih dahulu dia mesti ingat (zikir) kepada-Nya.

Yang demikian adalah jaminan Allah SWT seperti yang ditegaskan dalam al-Quran terhadap hamba-Nya. Firman Allah SWT seterusnya:
"Hai orang-orang yang beriman, berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya" (Surah al-Ahzab ayat 41)
Apabila manusia ingat kepada Allah SWT, maka mereka akan ingat semuanya, termasuk dosa pahala serta segala perkara yang bersangkut paut dengan-Nya, termasuklah para malaikat serta syurga yang penuh kebahagiaan & neraka yang diselubungi azab-Nya. Ingat kepada Tuhan dengan sebanyak-banyaknya, maka ketika manakah untuk mereka melakukan dosa & maksiat kepada-Nya.

Berzikrullah biarlah meninggalkan kesan positif untuk diri. Usah jadi seperti alam perakam yang mampu menyimpan suara sekadar untuk dibunyikan semula. Namun alat perakam tidak tahu & tidak faham apa yang dirakam atau diperdengar semula. Walaupun bunyinya zikrullah atau memuji Allah SWT, tetapi ia tidak mempunyai nilai sedikit pun di sisi Allah SWT.

Mengingat Allah SWT bukan semata-mata berwirid (beratib), yang penting ialah kesan daripada wirid & zikir itu mampu mengubah kedudukan jiwa seseorang. Misalnya, daripada pemalas kepada rajin, daripada penakut kepada berani menegakkan kebenaran, daripada perangai hodoh kepada berakhlak murni & mulia. Firman Allah SWT lagi yan bermaksud:

"(iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk juga dalam keadaan berbaring" (Surah ali Imran ayat 191)
Allah SWT memuji manusia yang beriman sejati, iaitu sentiasa ingat pada-Nya dalam erti kata ingat & melaksanakan segala peraturan serta hukum hakam Allah SWT, yang berkait dengan diri serta masyarakat sekelilingnya. Sama ada ketika berdiri atau berjalan, ketika duduk biasa atau duduk mengaji & duduk dalam kenderaan, yang dapat menyaksikan keindahan alam ciptaan-Nya. Atau duduk bagaiman cara pun asalkan sentiasa ingat pada-Nya. Juga ketika berbaring sama ada baring lantaran ditimpa sakit.

Juga tidur biasa yang boleh jadi ibadat iaitu berazam untuk bangun sebelum fajar, bagi menunaikan solat subuh pada awal waktunya seperti yang dianjurkan oleh syarak.

Sumber : mauidzah oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (Harakah bil. 1423)

No comments: