KALENDAR KULIAH PENGAJIAN SURAU AN-NUR

Sunday, March 15, 2009

Majalah i Mac 2009

Membangun Generasi Tauhid

Ketika ajal menjelang tiba, Nabi Yaakub memanggil anak-cucunya. Ia berasa khuatir meninggalkan generasi ingkar tauhid, kerana hanya akan menjadi bebanan masyarakat. Ia ingin memeriksa sejauh mana kemantapan mereka terhadap agama tauhid yang telah ditegakkan nenek-moyangnya. "Hai anak-cucuku, siapakah yang akan kalian sembah sepeninggalanku nanti?" tanyanya.

Dengan tegas anak-cucu (Nabi) Yaakub menjawab:
"Kami akan menyembah Tuhan sesembahanmu & sesembahan moyangmu; Nabi Ibrahim, Ismail & Ishak, iaitu Tuhan yang Satu. Dan kami hanya tunduk patuh kepada-Nya" (Surah Al-Baqarah ayat 133)
Dialog di atas menggambarkan keserasian di antara generasi tua & generasi penerus dalam menegakkan ajaran tauhid, yang tentu sahaj perlu menjadi teladan bagi setiap Muslim. (Nabi) Yaakub sangat khuatir meninggalkan generasi lemah iman & gersang agamanya. Namun ia sangat bahagia ketika mendengar anak-cucunya memberikan pernyataan bahawa mereka tetap berpegang teguh pada ajaran tauhid.

Yang ditanyakan Nabi Yaakub, "Siapakah yang akan kalian sembah sepeninggalanku nanti", bukan "Apakah yang akan kalian makan sepeninggalanku nanti."

Sungguh suatu penanaman nilai tauhid yang sangat luar biasa lagi mendalam. Realiti yang ada sekarang, jauh berbeza. ramai ibu bapa lebih mendambakan harta. Merasa sangat khuatir anak-cucunya kekurangan makan & minum sepeninggalannya nanti, hingga ibu bapa sanggup menghabiskan umur untuk mengumpulkan kekayaan. Hinggakan ada yang tidak menghiraukan halal-haram, yang penting anak-cucu dapat hidup bahagia dengan harta warisan yang dimiliki.

Akhirnya agama sekadar ungkapan, sedangkan hatinya kosong. Padahal Nabi Ibrahim & Nabi Yaakub perbah berwasiat:
"Hai anak-cucuku, Allah telah memilih buatmu agama, maka janganlah kalian mati sebelum benar-benar menjalankan ajaran agama Islam" (Surah Al-Baqarah ayat 132)
Kita diberi pelajaran yang sangat berharga agar mengikuti jejak Nabi Ibrahim & Nabi Yaakub dalam membina generasi penerus. Kalau kita mengikut fahaman materialistik, bererti telah cenderung pada kepercayaan Qarun yang ditenggelamkan ke bumi oleh Allah. Kekayaan yang melimpah akan menjadi fitnah bagi anak-cucu. Boleh jadi mereka akan memperebutkan harta warisan, lupa kepada jerih payah & perjuangan orang tua. Melihat realiti yang ada, ketika manusia sibuk memikirkan keperluan fizikal, kita seharusnya tidak mengabaikan tanggungjawab membekalkan nilai-nilai tauhid kepada anak-anak sejak kecil lagi. Kita kenalkan mereka kalimah toiyibah. Kita perdengarkan kepadanya bacaan kalam Ilahi & ucapan-ucapan yang baik. Kita perlihatkan perilaku yang terpuji, & bahkan di dalam rumah pun kita hiasi dengan hiasan dinding yang mengandungi kalimah Ilahi.

Kita ajak anak-anak ke majlis ilmu, ke masjid mahupun ke surau. Kita biasakan mereka bersedekah, mengasihi fakir miskin & anak yatim. Menyayangi teman & mengamalkan nilai-nilau Asma'ul Husna. Dari sinilah akan lahir generasi tauhid yang kita dambakan.

Oleh : Editor - Ahmad Yani Abd Manaf

No comments: