KALENDAR KULIAH PENGAJIAN SURAU AN-NUR

Monday, March 23, 2009

Kemilau Peribadi Nik Abdul Aziz Nik Mat

MENGANGKAT citra seorang lelaki Melayu menjadi super hero membibitkan kegusaran seandainya ia bisa mengurangkan nilai komersial. Namun, sosok yang ditampilkan sebagai ikon di dalam karya terbaru susunan Abdul Shukur Haron & Annual Bakri Haron punyai kelainan. Peribadi Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah ditinjau cermat. Karier politik Tuan Guru menjadi tema utama selain beberapa tajuk tempelan yang relevan.

Kemilau Peribadi Nik Abdul Aziz Nik Mat memaparkan kepada khalayak, teladan seorang ulama yang memimpin wilayah timur. Manfaat yang bakal dikutip apabila setiap lembar lancar berkisah tentang idea, perlaksaan, motif, rasional, kontroversi, apresiasi & pendirian seorang tokoh tersohor lantaran memakai jubah ulama & mengenakan mahkota kerajaan. Dia lain daripada yang lain! Bukankah kelainan itu tandanya istimewa?
"Kepimpinan Tuan Guru telah menaikkan imej ulama. Beliau telah merdekakan peranan ulama yang selama ini terhenti di laman surau & masjid-masjid."
Malah, media Indonesia menyatakan bahawa jawatan & pangkat tidak mengubah apa-apa yang dimiliki Tuan Guru. Kenyataan menarik ini turut terakam di dalam naskah terbitan Anbakri Publika kali ini. Apabila ulama memerintah, secara tidak langsung idea & pemikirannya menjadi ikutan & panduan. Apa yang mengejutkan, Tuan Guru meninggalkan pemikiran & perspektif tokoh politik lain jauh ke belakang bahkan keluar dari lingkaran konvensi (tradisional). Maka, lahirlah pelbagai program & skim yang memelihara kebajikan rakyat.

Terlebih dahulu anda perlu hadami takrif moden. Kerana moden itu bermula melalui cetusan ilmu yang bakal meledakkan momentum idea & praktikal. Itulah gagasan Tuan Guru sejak menerajui Kelantan Darul Naim. Sedayanya rakyat dihidangkan berkawah ilmu sehingga hari Jumaat diisyhtiharkan sebagai Hari Talaqi di Medan Ilmu, Jalan Dato' Pati.

Nah, buku ini mendedahkan segal-galanya. Mengalir dari lubuk idea, ia menyinggah di tangkal hati yang membenihkan perasaan halus Tuan Guru sehingga terciptanya untaian pantun-pantun klasik.

Kekuatan buku ini apabila ia berjaya mengukir kemilau peribadi seorang negarawan ulama, Menteri Besar & sosok seorang lelaki Melayu yang tidak pernah melupakan akar Melayunya.


Sumber : Harakah bil 1424 oleh Faizatul Herda

No comments: