KALENDAR KULIAH PENGAJIAN SURAU AN-NUR

Tuesday, July 14, 2009

Warkah Wasiat Maimunah Abd Aziz Al-Wuhaiby Al-Tamimy

Pada 26 Mei lepas, seorang pendakwah terkenal di Arab Saudi Syeikh Abdul Aziz bin Muhammad al-Wuhaiby Al-Tamimy telah kembali ke rahmatullah. Beliau sekeluarga terlibat dalam kemalangan jalan raya menuju ke Al-Syarqiyyah. Turut terkorban dalam nahas itu isterinya Nurah Muhammad, dan beberapa anak perempuannya, Maimunah (20 tahun), Lina (9 tahun), dan Jazi (3 tahun).

Syeikh Abdul Aziz Al-Wuhaiby merupakan anak murid bekas Mufti Arab Saudi, Syeikh Abdul Aziz bin Baz -rahimahullah. Hubungan mereka berdua amat rapat menjadikan beliau amat terkesan dengan ilmu, akhlak dan peribadi Syeikh Bin Baz. Malah, selepas kewafatan Syeikh Bin Baz, beliau antara yang memandikan jenazah Syeikh Bin Baz. Semoga Allah merahmati mereka berdua.

Sebaik berlaku kemalangan, dijumpai di dalam kenderaan yang mereka naiki sebuah buku nota kepunyaan salah seorang mangsa yang terkorban, Maimunah -rahimahallah-. Tercatit di dalamnya satu wasiat yang tidak sempat dihabiskan. Dipercayai Maimunah menulis wasiatnya beberapa detik sebelum berlaku kemalangan. Tidak sempat dihabiskan catitannya, warkah wasiatnya berterbangan, penanya tercampak, dan darah-darah mengalir. Inna Lillah Wa Inna Ilaihi Rajiun.

Inilah warkah wasiat yang tertulis dalam nota catitan Maimunah. Di kulit buku nota ini, masih kelihatan kesan darah akibat kemalangan. (Tulisan beliau ialah yang di dalam kotak garisan merah. Manakala tulisan yang di bawahnya ialah catatan komentar Syeikh Khalid al-Ghamidiy).


Terjemahan wasiat beliau:

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

SEGALA PUJIAN BAGI ALLAH TUHAN SEKALIAN ALAM.

AKU BERSAKSI BAHAWA TIDAK ADA TUHAN YANG LAYAK DISEMBAH KECUALI ALLAH, DAN MUHAMMAD SALLALLAHU ALAIHI WASALLAM ADALAH HAMBANYA DAN RASULNYA.
AKU BERSAKSI BAHAWA ISA ADALAH HAMBA ALLAH, RASULNYA, DAN HAMBA YANG DICIPTAKAN DENGAN KALIMAHNYA YANG DISAMPAIKAN KEPADA MARYAM, DAN DENGAN TIUPAN ROH DARINYA.

ADAPUN SELEPAS ITU,
INI ADALAH WASIAT HAMBA YANG MENGHARAPKAN KEAMPUNAN TUHANNYA, MAIMUNAH BINTI ABDUL AZIZ AL-WUHAIBY.

AKU BERPESAN KEPADA KALIAN SEMUA SUPAYA BERTAQWA KEPADA ALLAH DALAM SEMBUNYI DAN NYATA. TIDAK ADA SEORANG PUN BERTAQWA KEPADA ALLAH KECUALI DIA AKAN SELAMAT.

HENDAKLAH KALIAN BERBUAT KEBAIKAN, MENGHUBUNGKAN SILATURRAHIM, DAN MENGELUARKAN INFAQ. TINGGALKAN PERBUATAN MENGUMPAT DAN MENGACUNG.

SESUNGGUHNYA PENGHUNI-PENGHUNI KUBUR SEKARANG -DAN AKU ADALAH SALAH SEORANGNYA- BERCITA-CITA MAHU KEMBALI KE DUNIA UNTUK MENAMBAHKAN AMALAN SOLEH, DAN MEMOHON AMPUN DARI SEGALA KEJAHATAN.

MAKA BASAHILAH LIDAH-LIDAH KALIAN DENGAN ZIKIR KEPADA ALLAH AZZA WAJALLA.

IBU TERCINTA,
AKU SEKARANG AMAT BERHARAP KEPADA DOAMU DAN REDHAMU KEPADAKU. MAAFKANLAH AKU ATAS SETIAP SALAH SILAP DAN ADAB YANG BURUK YANG LAHIR DARIKU. AKU BERHARAP ENGKAU MAAFKANLAH AKU, DAN DOALAH UNTUKKU DENGAN HATI YANG KASIH DAN IKHLAS. MUDAH-MUDAHAN ALLAH MERAHMATIKU DENGAN SEBAB DOA DARIMU.

AYAH YANG DIHARGAI,
ENGKAULAH IDOLA DI DALAM RUMAH DAN DI LUAR. JADILAH ENGKAU SEBAGAIMANA YANG KUKENALI, BERSUNGGUH-SUNGGUH DALAM URUSAN AGAMA …

Demikian tulisan wasiat Maimunah yang tidak sempat dihabiskan. Sesungguhnya kematiannya cukup untuk memberi peringatan kepada kita yang masih hidup.

Semoga Allah merahmati Syeikh Abdul Aziz al-Wuhaiby, isterinya Nurah Muhammad, dan anak-anak mereka Maimunah, Lina dan Jazi.

Dipetik daripada : Abu Umair

No comments: