KALENDAR KULIAH PENGAJIAN SURAU AN-NUR

Tuesday, April 21, 2009

Majalah SOLUSI isu no 6


DARI EDITOR - BAHAGIANYA RASULULLAH SAW
Apa lagi yang boleh menggugat kebahagiaan seseorang manusia yang lebih hebat daripada kematian? Kemiskinan, kesakitan, celaan, kekalahan & ujian hidup - ujian hidup lain adalah kecil berbanding kematian. Kematian ialah "pemutus" segala kebahagiaan. Sama ada, ditinggalkan oleh orang yang kita sayangi, atau kita sendiri meninggalkan mereka.

Jika kematian dikatakan boleh mencabut kebahagiaan, belajarlah daripada Rasulullah SAW. Baginda menghadapi kematian orang yang tersayang secara berturut-turut sepanjang hidupnya. Bermula daripada dalam kandungan, Baginda telah ditinggalkan oleh ayahnya Abdullah. 6 tahun kemudian, ibunya Aminah meninggal dunia. Tidak lama kemudian, semasa masih dahagakan kasih sayang, datuknya Abdul Muttalib pula pergi buat selama-lamanya. Tinggallah dia dalam pemeliharaan bapa saudarnya, Abu Talib.
Ketika masih perlukan perlindungan Abu Talib, Rasulullah SAW ditinggalkan lagi. Abu Talib meninggal dunia ketika Keislaman begitu didambakan. Tinggallah Rasulullah SAW dengan kekasih hatinya, Khadijah. Namun, tidak beberapa lama Khadijah pula mengikut jejak bapa saudaranya. Lalu tahun itu dinamakan "Tahun Kesedihan".
Baginda diberikan 6 orang anak lelaki yang meninggal semuanya sewaktu kecil. Anak-anak yang ke-3 & ke-4, mninggal dahulu di hadapan matanya. Alangkah rindunya untuk mendapat cahaya mata lagi, lalu Rasulullah SAW dikurniakan anak lelaki, Ibrahim. Kebetulan rupanya amat mirip dengan baginda. Tetapi Ibrahim juga meninggal dunia ketika sarat menyusu.
Lalu ditumpukan kasih sayangnya kepada cucundanya Hassan & Hussin. Sangat dimanjakan, sehingga pernah sujudnya sedemikian lama hanya untuk memberi waktu agar cucunya turun daripada belakangnya. Namun, daripada ilham Ilahi, Baginda tahu bahawa ada peristiwa besar bakal menimpa kedua-duanya. Baginda hanya memberitahu salah seorang daripadanya bakal mendamaikan perselisihan besar. Dipendamkannya trajedi pembunuhan yang bakal dihadapi oleh Hussin di Karbala.
Begitulah Rasulullah SAW menghadapi saat perginya orang yang tersayang. Lalu bagaimana pula keperibadiannya ketika Baginda sendiri pergi meninggalkan orang yang tersayang? Sejarah menceritakan bagaimana ketika Baginda SAW terbaring di hamparan usang, berselimutkan kain kasar manakala minyak pelita lampu rumahnya hampir kehabisan...ketika itulah Baginda SAW menyebut, "Rafiqil a'la, rafiqil a'la (Teman daerah tinggi (Allah), teman daerah tinggi)!".
Dalam "Kamus" kehidupan para muqarrabin (orang yang hampir dengan Allah), tercatatlah ungkapan bahawa mati itu adalah syarat menemui cinta.Ya, begitulah rindunya Baginda untuk bertemu Allah - cinta hakiki & sejatinya. Itulah "teman daerah tinggi" yang sangat dirinduinya. Perginya dengan tenang walaupun demam panas yang dihidapinya 2 kali ganda yang dialami manusia biasa.
Namun begitu, pada saat sakarat yang begitu hebat, masih sempat Baginda berpesan tentang solat. Untuk siapa? Siapa lagi kalau bukan untuk kita...umat yang akan ditinggalkannya.
Ketika segala trajedi & ujian menimpa, Rasulullah SAW tetap bahagia. Bahagia inilah yang digambarkan oleh pembantunya, Anas bin Malik dengan pengisahannya:
"Aku menjadi khadam Rasulullah SAW 10 tahun lamanya. Maka tidak pernah Baginda berkata atas apa yang aku kerjakan, "Mengapa engkau kerjakan?" Tidak pernah pula Baginda berkata atas apa yang aku tidak kerjakan, "Mengapa engkau tidak kerjakan?" Tidak pernah Baginda berkata pada barang yang tidak ada, "Mengapa ada pula barang ini?" Tidak pernah Baginda berkata pada barang tidak ada, "Alangkah baiknya kalau barang itu ada". Kalau terjadi perselisihan antara aku dengan keluarganya, baginda akan berkata kepada keluarganya, "Biarlah, kerana apa yang ditakdirkan Allah mesti terjadi!"
SOLUSI edisi ke-6 ini cuba mencungkil sekelumit rahsia kebahagiaan yang hakiki itu. Mudah-mudahan kita akan dapat menghayati kunci kata di sebalik medel insan yang paling bahagia ini. Kunci kata itu ialah:
"Ana abdullahhi walan yudhi'ani - aku hamba Allah, DIA tidak akan mengecewakanku!"
Sumber : Majalah SOLUSI isu 6

No comments: