Alhamdulillah, di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 kali ini, saya beroleh rezeki untuk berkongsi dua lagi buku terbaru buat pembaca semua. Secangkit Teh Pengubat Letih, himpunan travelog kembara saya di bumi Khilafah, Turki. Manakala Murabbi Cinta pula, adalah siri ke-3 di dalam kategori Aku Terima Nikahnya, buku yang menjadikan cinta sebuah Tarbiah, dan bermurabbikan seorang Nabi (sallallaahu ‘alayhi wa sallam).
Insya Allah saya akan berwacana dan meluangkan sepenuh masa di tapak program pada hari Ahad 21 Mac 2010. Manakala tarikh-tarikh yang lain, akan saya maklumkan dari semasa ke semasa di blog ini, Facebook dan Twitter.
Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada seluruh warga kerja Galeri Ilmu Sdn. Bhd. atas kesungguhan dan KESABARAN mereka dalam segala urusan kerja di balik tabir penghasilan buku-buku ini. Ucapan terima kasih yang khusus saya tujukan kepada sahabat saya yang paling teruji dengan kemerosotan kemampuan saya menulis dalam setahun kebelakangan ini, iaitu saudara Nasri Nasir. Setiap hari beliau bersabar dan terus menerus memberikan sokongan kepada saya yang keletihan dalam mengejar tugasan di celah kekangan masa dan tenaga.
Demikian juga Puan Suriati Soffee yang bertungkus lumus mengedit buku-buku ini di waktu yang genting menjelang KLIBF2010 ini.
Jazakumullahu khair al-jazaa’…
Sebilah keris di tingkap tombak’
Ketapang rimbun tiong bermadah;
Sepatah sebaris serangkap sejambak,
Buku menghimpun ilmu dan hikmah.
No comments:
Post a Comment