KALENDAR KULIAH PENGAJIAN SURAU AN-NUR

Saturday, November 21, 2009

Kem Hijrah Remaja Islam (HIJRI) 1431

Kem Hijrah Remaja Islam (HIJRI) dianjurkan oleh Saifulislam Training & Consultancy (001813528-P) , iaitu sebuah syarikat latihan dan perundingan pembangunan insan milik Hj Hasrizal Abdul Jamil, atau lebih dikenali sebagai Abu Saif. Bermula dari sebuah blog interaktif yang menampilkan bahan-bahan pemikiran yang segar, Abu Saif melangkah setapak ke hadapan dengan menubuhkan syarikatnya sendiri agar segala idea yang telah banyak dimanfaatkan oleh pembaca semenjak 1998, dapat diterjemahkan kepada modul latihan yang meletakkan remaja, mahasiswa/i dan warga kerja sebagai kelompok sasaran. Graduan Universiti Mu’tah di Jordan, Mantan Minister of Religion di Ireland Utara, pernah muncul di CNN, BBC dan media tempatan, Abu Saif pasti menawarkan keunikan untuk dakwah dan program latihan pembangunan insan.

Kami menerima banyak permintaan daripada ibu bapa, agar menganjurkan kursus-kursus untuk anak remaja, khususnya di musim cuti sekolah ini. Setelah banyak aspek dipertimbangkan, berserta usaha mendapatkan sebuah pasukan yang benar-benar mantap untuk memimpin agenda ini, kami mengucapkan rasa syukur kepada Allah kerana KEM HIJRI 1430 yang berlangsung pada Disember 2008 telah berjalan dengan cemerlang dan kini mengumumkan sesi kedua KEM HIJRI khusus untuk remaja di musim cuti sekolah 2009 kali ini.

KEM HIJRI

Kem Hijrah Remaja Islam 1431H ini, adalah sebuah program bersifat residential, yang kami tawarkan khusus untuk anak-anak remaja berusia di antara 13 ke 19 tahun. Program ini menggabungkan segala unsur pembelajaran membabitkan kuliah, latihan dalam kumpulan, permainan interaktif, aktiviti outdoor, serta slot-slot bicara hati ke hati, bukan sekadar untuk menyampaikan mesej kepada peserta, malah untuk kami menyelami isi hati, berusaha memahami dan seterusnya berkongsi pandangan secara yang lebih eksklusif kepada peserta KEM HIJRI ini.

Idea Tasawwur Islam yang segar, dinamik, kontemporari dan praktikal, akan disampaikan kepada remaja dengan bahasa remaja, bersama harapan agar proses untuk menjiwai dan mengamalkan hasil KEM HIJRI ini akan lebih mudah dan sesuai dengan panca roba kehidupan mereka yang serba mencabar hari ini.

Kami juga menawarkan ruang untuk peserta-peserta berdialog dengan fasilitator jemputan yang berlatarkan pelbagai bidang pengajian yang syariatik juga saintifik untuk sumbangsaran perancangan pelajaran dan kerjaya mereka nanti. Terima kasih kepada teman-teman saya yang begitu ikhlas dan bersemangat untuk berkongsi pengalaman mereka belajar di universiti terkemuka, dan kini berjaya sebagai profesional di bidang masing-masing.

KEM HIJRI INI akan mencakupi 6 Topik Dasar iaitu:

  1. Meneroka rupa bentuk Islam (IPO Input Proses dan Output pada Iman, Islam dan Ihsan)
  2. Muslim pada Aqidah, Ibadah dan Akhlaq, yang banyak menekankan aspek MENGAPA disusuli BAGAIMANA
  3. Meneroka aplikasi konsep Syariatullah dan Sunnatullah untuk kecemerlangan holistik peserta
  4. Pengurusan Emosi dan Cinta Remaja
  5. Memulihkan Nilai Kekeluargaan dan Interaksi Sosial
  6. Merancang Pembelajaran dan Kerjaya

Kem Hijrah Remaja Islam (HIJRI) merupakan sebuah kem percutian yang diadakan khusus untuk musim cuti sekolah dan pasca peperiksaan, bersempena dengan kedatangan Tahun Baru Hijrah 1431. Program ini dibentuk khusus untuk mengisi keperluan remaja semasa yang berdepan dengan pelbagai cabaran, sebahagiannya sulit untuk difahami oleh generasi ibu bapa. Kecelaruan membabitkan persoalan pandangan hidup (worldview), agama, nilai, emosi, cinta, akademik dan kerjaya masa depan. Kepercayaan bahawa remaja perlu difahami sebelum mengharapkan mereka memahami, menjadi asas kepada lahirnya KEM HIJRAH REMAJA ISLAM (HIJRI)

Sila klik di SINI untuk maklumat lengkap.


No comments: