KALENDAR KULIAH PENGAJIAN SURAU AN-NUR

Monday, December 22, 2008

Petugas Ber'T-Shirt'

OLEH : Oleh : Tarmizi Mohd Jam
Walaupun cerita lama, terungkap di dalamnya kesedaran & ukhwah sesama manusia. Bahkan lebih dari itu, terasa kemesraan & tingginya nilai pertolongan sewaktu terdesak. Semuanya ini terjadi, ketika Negara terkejut dengan isu ‘Deepa Raya’.
Rakan saya, yang kini Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Mohd Nazir Zakaria menceritakan pengalamannya itu. Suatu ketika keretanya pernah mengalami kerosakan gearbox di Lebuh Raya Utara Selatan, dekat susur keluar Tapah.
Ustaz Nazir berasal dari Kuala Kedah tetapi sudah lama menetap di Putrajaya. Kerosakan kereta itu terjadi sewaktu beliau hendak ke Kuala Lumpur.
Setelah tercari-cari siapakah yang boleh membantu, beliau menghubungi Setiausaha PAS Putrajaya, Wan Hasrul Affendi. Kebetulan kereta Proton itu dipinjam darinya & Ustaz Nazir adalah Yang Dipertua PAS Putrajaya. Wan memberikan nombor telefon yang boleh dihubungi di kalangan aktivis PAS Perak.
Ustaz Nazir menghubungi nombor tersebut. Amran Harun, pemilik nombor telefon itu memberi jaminan akan menghantar seseorang ke sana. Ketika itu Amran adalah Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS (JPN) negeri berpengkalan di Ipoh. Tidak lama kemudian, seorang petugas PAS sampai & membawa Ustaz Nazir serta kereta tersebut ke sebuah bengkel.
Sikap tanggungjawab Amran cukup terpuji. Setelah seminggu berlalu, Amran sendiri menghantar kereta yang sudah siap dibaiki ke rumah Ustaz Nazir di Putrajaya, dari Kampar. Amran juga adalah Setiausaha PAS Kawasan Kampar, waktu itu.
Ketika umat Islam mahu menyambut hari raya Aidilfitri, yang dikongsikan oleh kerajaan Barisan Nasional dengan hari raya Deepavali & disebut ’Deepa Raya’, sekali lagi Ustaz Nazir ditimpa kecelakaan. Tayar kereta Citra miliknya terbelah akibat terlanggar gigi jalan yang agak tajam di stesen Petronas Hentian Rehat Tapah.
Ustaz Nazir bersama dengan isteri & anak-anak dalam perjalanan ke Kuala Kedah. Untuk berhari raya di kampung.
Waktu itu, tiada satu pun kedai beroperasi kerana esoknya umat Islam akan menyambut hari raya Aidilfitri. Dan hari tersebut pula, orang sibuk menyambut har raya Deepavali. Ustaz Nazir bertambah panik, tiada tayar simpanan dalam kereta.
Tiba-tiba beliau teringat Amran Harun yang pernah menolongnya kira-kira setahun sebelum itu. Beliau terus menghubungi Amran. Nampaknya Amran masih mengenali Ustaz Nazir & berjanji akan menghantar ’petugas’ ke Hentian Rehat Tapah itu dalam masa 30 minit.
Ketika itu, umat Islam masih berpuasa & esok akan menyambut hari raya. Bayangkanlah, terbelahnya tayar kereta itu dalam suasana terik matahari. Tayar simpanan tiada. Selang beberapa minit, telefon berbunyi. Seorang ’petugas’ terus bertanya Ustaz Nazir, saiz tayar & jenis tayar bagi memudahkannya mendapatkan tayar berkenaan.
Kira-kira 30 minit kemudian, ’petugas’ berkenaan sampai & membawa tayar terpakai. Seorang yang sederhana kurus, bercermin mata & kelihatan peramah. Barangkali ’petugas’ itu tinggal tidak jauh dari Tapah.
Malangnya, tayar yang dibawa (terlekat bersama rim) tidak sesuai dengan kedudukan skru pengikat rim. Akhirnya, ’petugas’ itu mengajak Ustaz Nazir mencari kalau-kalau ada kedai atau bengkel yang beroperasi hari itu di sekitar pekan Tapah.
Dengan menaiki kereta ’petugas’ itu, mereka menuju pekan Tapah. Semua kedai kelihatan tertutup kaku. Tiada satupun bengkel yang membuka pintunya. Tiada juga kedai tayar yang menggamit pelanggan hari itu. Semua bercuti, sebab hari itu hari raya Deepavali & esoknya hari raya Aidilfitri.
’Petugas’ itu melurukan keretanya ke arah pekan Bidor. Jauh juga perjalanan dari Tapah ke sana. Patah semula ke arah Kuala Lumpur mengikut jalan lama. Mereka bernasib baik, terdapat satu bengkel yang masih beroperasi. Dan ada pula, tayar dicari-cari.
Dari jalan lama itu, mereka keluar ke susur Bidor & masuk semula ke Lebuh Raya Utara Selatan menuju Hentian Rehat Tapah, tempat kereta Ustaz Nazir ditinggalkan bersama anak & isterinya. Sebaik tiba, ’petugas’ itu terus membuka baju kemejanya. Yang tinggal hanya T-shirt pagoda nipis berwarna putih.
Ustaz Nazir cuba untuk membantu tetapi ditegah oleh ’petugas’ itu. Kerana katanya, ini sudah menjadi tanggungjawab beliau untuk menolong siapa sahaja khususnya ahli-ahli PAS sepanjang lebuh raya mahupun jalan lama yang merentasi negeri Perak.
Amran pernah memberitahu perkara itu. ’Petugas’ itu juga mengesahkan bahawa mereka ada team yang boleh dipanggil, jika berlaku musibah menimpa ahli-ahli PAS sepanjang perjalanan. Baik membabitkan kereta, motosikal mahhupun kenderaan lain.
Peluh jantan mencurah-curah keluar. ‘Petugas’ itu terus gigih memasang semula rim kereta. T-shirt pagodanya sudah lenjun basah. Terik matahari bukan kepalang. Hari itu, umat Islam berpuasa. Tentu sekali letih, dahaga & tidak bermaya. Namun ’petugas’ itu tekun menjalankan amanah parti, menolong sesama manusia.
Setelah selesai, dan ’petugas’ itu mengesat peluhnya, dia mengenakan semula kemejanya. Ustaz Nazir menghulurkan sedikit wang sebagai saguhati. ’Petugas’ itu menolak, kerana katanya dia menolong dengan ikhlas. Bukan untuk mendapatkan wang.
Sebagai tanda ukhwah, rasa tanggungjawab & tidak sampai hati, Ustaz Nazir menjadi serba-salah dengan penolakan ’petugas’ itu. Ustaz Nazir terus menghulurkan duit saguhati itu, kalau ’petugas’ itu tidak mahu menerimanya, beliau minta dimasukkan ke dalam tabung jemaah (PAS).
Sambi berpeluk-pelukan, Ustaz Nazir mengucapkan berbanyak terima kasih kepada ’petugas’ yang cukup baik hati itu. Beliau menghulurkan kad nama kepada ’petugas’ itu, kalau-kalau selepas ini boleh berjumpa di mana-mana, makan-makan sebagai tanda ukhwah.
”Ustaz Nazir Zakaria. Oh...Ustaz, Bendahari PAS Wilayah. Jadi Yang Dipertua Kawasan Putrajaya juga,” kata ’petugas’ itu sambil membaca bait-bait yang ditulis pada kad nama Ustaz Nazir. ’Petugas’ itu juga turut mengeluarkan kad namanya & menghulurkan kepada Ustaz Nazir.
”Ini kad ana...manalah tau, kalau-kalau berlaku apa-apa, hubungi terus ana,” ujar ’petugas’ itu sambil menghulurkan sekeping kad nama kepada Ustaz Nazir.
Tertera pada kad itu, nama Ir Mohamad Nizar Jamaluddin; Bendahari Badan Perhubungan Negeri PAS Perak & (Yang Dipertua PAS Kawasan Kampar, Perak).
Rupa-rupanya ’petugas’ itu adalah kini, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan & Amran Harun pula menjadi Pegawai Khas beliau.

(Sumber : akhbar Harakah bil.1400)

No comments: