


Orang ramai berpeluang menyaksikan gerhana bulan separa antara pukul 7.22 malam hingga 10.20 malam Sabtu ini.
![]() |
![]() |
Sinopsis Majalah Solusi Edisi 2
Majalah Solusi Edisi #2 dimulakan dengan artikel oleh Ustaz Zahazan Mohamed yang bertajuk ‘Nabi, Izinkan Aku Berzina’ mengupas isu zina dan larangan-Nya. Juga disertakan saranan kepada pasangan-pasangan Islam dengan langkah-langkah untuk menghindari zina. Beliau juga menulis dalam ruangan Kiasan dengan artikel bertajuk ‘Menceduk Air Telaga Yang Dalam Dengan Kedua Tapak Tangan’ dan juga artikel ‘Keyakinan Kepada Hari Kiamat’.
Seterusnya Ustaz Adlan Abd Aziz menghuraikan pengertian istiqamah yang menjadi kunci kejayaan hidup.Pahrol Mohamed Juoi pula mengupas isu ‘Jangan Takut’. Terdapat pelbagai ketakutan yang menghantui diri kita yang perlu dikikis dan dikekalkan. Beliau juga menulis artikel yang bertajuk ‘Bebas Daripada Allah?’. Isu ini mengupas bagaimana kita perlu mengikut syariat Allah dalam apa juga yang kita lakukan. Beliau juga menulis artikel bertajuk ‘Bila Cinta Hanya Suam-suam Kuku’ yang ditujukan terutamanya kepada pasangan veteran. Juga beliau menulis artikel bertajuk ‘Personaliti Tauhid’ yang berteraskan Islam, Iman dan Ihsan.
Apa akan jadi ‘Bila Yang Cerdik Tetapi Tidak Baik?’. Muhammad Jihad mengupas isu ini yang mana si cerdik perlu memperbetulkan diri menjadi daripada tidak baik kepada baik.Rohidzir Rais mengupas topic ‘Cubaan Mengislamkan Teori Revolusi Temui Jalan Buntu’. Sekali lagi teori Darwin dipertikaikan kesahihannya walau pun teori ini cuba menyelewengkan Firman Allah terutamanya pada Surah Nuh ayat ke 14. Beliau juga menulis artikel yang bertajuk ‘ZIkir Menajamkan Fikir’ yang mengajak pembaca untuk mengamalkan zikir-zikir dalam kehidupan seharian. Selain itu, beliau berkongsi artikel tentang ‘Iktibar Dari Tabiat Anjing’.
‘Rahsia Belajar Berkumpulan’ tulisan Hj Muhammad Zakaria menggariskan 12 ciri-ciri belajar dalam kumpulan sesuai diaplikasikan oleh setiap pelajar. Juga diterangkan faedah belajar secara berkumpulan. Beliau juga menulis tentang kemiskinan melampau di Kemboja.Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri pula menulis artikel bertajuk ‘Jenayah Dalam Islam’. Mengupas jenis-jenis jenayah, cara mencegah dan hukumannya mengikut Islam.
Hukum hakam berkaitan Tanah Haram Mekah dikupas oleh Ustaz Ahmad Husni. Apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan di Tanah Haram Mekah mesti diketahui oleh setiap umat Islam terutamanya bagi mereka yang ingin mengunjungi Tanah Haram Mekah sama ada mengerjakan haji atau umrah.Ustaz Zaharuddin Abd Rahman pula mengupas isu kewangan dengan topic ‘Tangguh Bayar Hutang Satu Penzaliman’. Beliau menyenaraikan institusi perbankan yang mempunyai lesen menjalankan operasi produk 100% menurut Syariah dan produk yang menepati Syariah. Beliau juga turut menjawab soal jawab muamalat dengan jawapan yang bernas.
Kaedah melatih anak-anak dengan latihan berterusan merupakan kaedah yang disarankan oleh Rasulullah. Dato’ Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah menghuraikan topic ini dengan 5 kunci utama.Hasrizal Abdul Jamil pula mengupas cara mendekati Islam supaya dapat mengelakkan Islam segera yang akhirnya merugikan seseorang yang ingin mendekati Islam.
‘Pakaikan Takwa Kepada Anak’ tulisan Rashidah Mustaffa mengajak ibu bapa melatih anak-anak supaya biasa berpakaian menutup aurat sejak dari kecil lagi. Beliau juga menulis artikel ‘Malu … Iktibar Pokok Semalu’.Fatimah Syarha Noordin pula membawa anak muda yang masih bujang supaya usah risau jika belum berpunya. Beliau mengajak kita supaya merancang mengikut kepentingan diri terlebih dahulu, keluarga dan barulah merancang untuk berumah tangga.
Panduan urus pusaka dikupas dengan padat oleh Ustaz Ghazali Ibrahim dengan artikel bertajuk ‘Bila Penama Membolot Harta’. Artikel ini memberi pendedahan kepada pembaca agar mengetahui ilmu berkaitan pengurusan harta pusaka.Mohd Azrul Azlen Abd Hamid yang berpengalaman dalam bidang motivasi dan penerbitan pula mengupas ‘Strategi Rasulullah Menyampaikan Visi’ yang tidak lain tujuannya adalah menghambakan dan mengabdikan diri kepada Allah.
Apakah hubungan sakit fizikal dengan kesihatan hati? Jaafar Salleh mengupas dengan lebih lanjut dalam artikel beliau. Juga didedahkan ubat dan penawar bagi 5 penyakit hati yang utama.Ustaz Fadzil al-Yamani pula menjawab persoalan pembaca dalam ruangan ‘Soal Jawab Solat’ dan ‘Fardu Ain - Fiqah Amali’.
‘Romantik Itu Sunnah Rasulullah’ yang ditulis oleh Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood menceritakan petua dan sikap romantis yang perlu dikekalkan dan dilahirkan oleh setiap pasangan suami isteri.Dato’ Dr Mahmood Zuhdi pula mengupas persoalan hukum ‘Makan Ulat Dalam Buah’, Dr Abdul Basit Hj Abd Rahman ‘Keindahan Islam’, Ustaz Badli Shah Alauddin ‘Soal Jawab Munakahat’, Ahmad Fadzli Yusuf ‘Relaks … Jangan Terlalu Serius’, Ustaz Mohd Wahid Abd Hanif ‘Kemurkaan Allah Kepada Kaum ‘Aad’, Hj Ahmad Salim Omar ‘Kualiti Hati vs Kualiti Kerja’
Turut termuat dalam Majalah Solusi Edisi Ke 2 ini adalah ruangan Puisi, Pesan Nenek, Angguk Geleng yang merupakan cerita lucu dakwah dan juga ruangan Pelik Tapi Benar.Majalah Solusi Edisi Ke 2 ini setebal 109 muka surat.
Sekiranya anda berminat untuk memilikinya, sila order di SINI.
“Siapa pecahkan pinggan ini?” si ibu menjerit.
Anak-anaknya yang berderet itu membatukan diri.
Mustahil ada yang mahu mengaku.
“Siapa buat? Kak Long? Angah? Siapa yang buat?” si ibu yang sedia letih itu melempiaskan amarahnya.
Kak Long, Angah, Achik, semua mereka mendiamkan diri. Jantung masing-masing berdegup kencang.
Ibu yang keletihan mencari pesalah, akhirnya mengambil jalan mudah. Ketiga-tiga anaknya dihukum. Mereka dicubit seorang demi seorang.
“Yang bersalah tidak mengaku. Yang tahu siapa yang bersalah bersubahat tidak mahu memberitahu. Semua salah!” ibu cuba melogikkan tindakannya menghukum mereka bertiga.
JERITAN BIASA
Jeritan itu adalah jeritan yang biasa kita dengar di rumah.
Mungkin rumah orang, mungkin rumah kita.
Apabila berlaku sahaja sesuatu yang tidak kena, soalan yang spontan keluar, “siapa yang bersalah?”
Soalan seperti ini melayangkan mesej yang jelas bahawa ia akan berakhir dengan hukuman. Sama ada kesemua mereka mengambil tindakan mendiamkan diri, atau mereka mungkin segera saling menunding jari. Kita sebagai ibu bapa yang terkeliru, enggan malu kerana gagal menyelesaikan puzzle itu, lalu mengambil jalan mudah menghukum mereka semua.
Kebijaksanaan kita sebagai orang dewasa, menerbitkan pelbagai alasan untuk menjustifikasikan keadaan.
Namun tahap pemikiran anak-anak hanya berakhir dengan kesimpulan-kesimpulan yang membinasakan.
Mereka saling bermusuhan, saling salah menyalahkan, malah belajar menipu kerana terdesak mengendalikan rasa takut yang berlaku.
PRIMUM NON NOCERE
Situasi ini mengingatkan saya kepada satu ungkapan yang sering disebut oleh ahli psikologi malah para doktor di Wad Kecemasan. Kata mereka, “Primum non nocere!” Maksudnya ialah “paling penting, jangan memudaratkan!”
Apa-apa sahaja yang berlaku, pastikan tindakan yang mahu diambil jangan memudaratkan. Ada kalanya, dalam kes-kes di hospital adalah lebih baik untuk tidak memberikan rawatan, berbanding bertindak sesuatu yang mencetuskan mudarat ke atas pesakit. Ia adalah etika perubatan yang penting.
Sama juga halnya dalam proses mendidik anak-anak.
Apa-apa tindakan yang mahu diambil, pastikan jangan ia berakhir dengan kemudaratan. Tatkala kita gagal memutuskan tindakan paling tepat, amat malang jika tindakan kita tidak melontarkan mesej yang betul, sebaliknya menyemai rasa benci dan mahu membalas dendam.
Saya sendiri pernah bertemu dengan anak remaja yang berkhayal mahu terbabit dalam upacara pengebumian bapanya, untuk kepuasan diri!
PSIKOLOGI PENUMBUK
“Aah, ustaz. Saya tak makanlah cadangan-cadangan ustaz. Bagi saya, ini dia namanya psikologi!” kata seorang lelaki sambil menggenggam penumbuk di tangannya.
“Anta technician elektrik, kan?” saya bertanya.
“Ya. Saya jaga bahagian komputer-komputer di makmal kampus ini!” katanya.
“Kalau komputer rosak, anta guna ke penumbuk itu sebagai psikologi untuk memperbaikinya?” saya melontar soal.
“Mana boleh. Komputer mesti diperbaiki mengikut manual” jawabnya tegas. Menghormati profesyennya sendiri.
“Habis kalau anak bermasalah, apakah tiada manualnya lalu diperbaiki hanya dengan penumbuk itu?” saya menyudahkan soalan.
Sepi.
Beliau diam.
Saya pun diam.
Saya bukan marahkan lelaki itu.
Saya marahkan diri saya sendiri. Seorang bapa yang semakin bertambah anak, semakin anak membesar, semakin hilang kepercayaan kepada manual membetulkan tingkah laku anak-anak. Mahu mencari penyelesaian segera. Penyelesaian yang sering berakhir dengan kemudaratan. Anak tidak belajar sesuatu, sebaliknya menambah dendamnya terhadap kita yang semakin gagal menangani dia.
Bukan kerana buruk niat dan tujuan.
Tetapi kerana tiada kemahiran.
Kemahiran yang tidak datang sendiri. Kemahiran yang mesti dipelajari. Dari semasa ke semasa.
CIKGU JATUH
Puan Sabariah adalah guru senior di sebuah sekolah.
Orangnya berhemah. Tidak pernah menjatuhkan harga diri.
Tetapi hari itu dia tergelincir dan jatuh terlentang di depan kelas.
Sakitnya bukan kepalang.
Tetapi sakit hatinya berganda-ganda lagi apabila murid-murid mentertawakan dia.
Puan Sabariah bangun perlahan-lahan dan kemudian berdiri tegak membetulkan diri.
“Itu pelajaran pertama saya kepada awak hari ini. Sesiapa sahaja dalam hidup ini boleh jatuh dalam kehinaan, tetapi dia mampu bangkit dan berdiri teguh semula!” katanya dengan penuh hemah dan ketegasan.
Kelas sepi.
Ulasan itu sangat berhikmah.
Puan Sabariah menunjukkan betapa ketawa anak muridnya tidak mampu dibersihkan dengan tengkingan atau kemarahan. Sebaliknya dengan sedikit kesabaran, dia membetulkan keadaan dengan kebijaksanaan. Dengan hikmah.
Hikmah yang kita perlukan sebagai ibu dan bapa dalam mendidik anak-anak.
HIKMAH KENABIAN
Semasa bapa saudara kepada Abu Rafi ibn Amr al-Ghifari seorang anak kecil, beliau gemar membaling batu ke pokok-pokok tamar kaum Ansar.
Budak itu dibawa mengadap Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Beliau takut. Bimbang dihukum oleh Baginda.
“Wahai budak, mengapa kamu membaling batu ke pokok-pokok tamar itu?” Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam bertanya.
“Saya membaling batu ke pokok-pokok tamar itu kerana mengharapkan buah tamar gugur dan saya boleh memakannya” jawab budak itu.
Jujur.
Bukan jahat, tetapi bingung pada usianya.
“Jangan baling batu ke pokok-pokok tamar. Tetapi makan sahajalah apa-apa yang sudah (ranum dan) gugur di bawahnya” nasihat Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Lalu Baginda mengusap kepala budak itu sambil berdoa, “Ya Allah, kenyangkanlah budak ini”
Baginda sentiasa demikian.
Konsisten.
Mempamerkan bahawa komunikasi efektif adalah cara terbaik pada membetulkan keadaan.
Jauh dari hukuman yang jarang-jarang sekali menawarkan penyelesaian.
SALING MEMBERANAKKAN
Salah laku dan hukuman bukan antonim yang saling membatal dan menyelesaikan. Malah kedua-duanya memberanak dan menyuburkan lagi antara satu sama lain. Salah laku memberanakkan lebih banyak hukuman semberono. Hukuman semberono membanyakkan lagi salah laku. Hukuman yang tidak tepat tidak menyelesaikan masalah, sebaliknya ia mengajar anak-anak untuk lebih bijak dan licik melepaskan diri.
Siapa kata mendidik anak mudah?
Pastinya, saya tidak pernah berani berkata begitu.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
“Ya Allah,Sesungguhnya kami meletakkan-Mu di batang-batang leher musuh-musuh kami Dan kami berlindung dengan-Mu daripada kejahatan-kejahatan mereka.
Ya Allah, Leburkanlah kumpulan-kumpulan mereka, pecah belahkan dan kacau bilaukan persatuan mereka.
Goncangkan pendirian mereka Dan hantarkanlah anjing-anjing kamu kepada mereka Wahai tuhan yang gagah perkasa Wahai tuhan yang penuh raksasa Wahai tuhan yang bersifat murka.
Ya allah Ya allah Ya allah Ya allah,
Wahai Tuhan yang menurunkan kitab,
Wahai Tuhan yang mengarakkan awan,
Wahai tuhan yang menewaskan bala tentera al-ahzab,
Kalahkan mereka,
Kalahkan mereka,
Kalahkan mereka Dan menangkan kami ke atas mereka.”
Imam at-Tirmidzi berkata: “Ahmad (bin Hanbal) dan Ishaq bin Rahawaih telah berkata: “Tidak ada qunut dalam solat Fajar (Shubuh) kecuali bila terjadi Nazilah (musibah) yang menimpa kaum Muslimin. Maka, apabila telah terjadi sesuatu, hendaklah Imam (yakni Imam kaum Muslimin atau Ulil Amri) mendo’akan kemenangan bagi tentera-tentera kaum Muslimin.” [2]
Berdasarkan hadis Ibnu Abbas , bahwasanya Rasulullah S.A.W. melakukan qunut satu bulan berturut-turut pada solat Zhuhur, Ashar, Maghrib, ‘Isya dan Subuh di akhir setiap solat, yakni apabila baginda telah membaca “Sami’allaahu liman hamidah dari raka’at terakhir, baginda S.A.W. mendo’akan kecelakaan atas mereka, satu kabilah dari Bani Sulaim, Ri’il, Dzakwan dan Ushayyah sedangkan orang-orang yang di belakang beliau mengaminkannya. [3]
Imam an-Nawawi memberikan bab di dalam Syarah Muslim dari Kitabul Masaajid, bab 54: Istihbaabul Qunut fii Jami’ish Shalawat idzaa Nazalat bil Muslimin Nazilah (bab Disunnahkan Qunut pada Semua Solat (yang Lima Waktu) apabila ada musibah yang menimpa kaum Muslimin) [4]
[2]. Tuhfatul Ahwadzi Syarah at-Tirmidzi II/434.
[3]. Abu Dawud no.1443, al-Hakim I/225 dan al-Baihaqi II/200 & 212, lihat Irwaa-ul ghaliil II/163.
[4]. Lihat juga masalah ini dalam Zaadul Ma’aad I/272-273, Nailul Authar II/374-375 -muhaqqaq.