KALENDAR KULIAH PENGAJIAN SURAU AN-NUR

Saturday, October 3, 2009

Hikmah Pengembara & Tuan Guru

Sumber : http://www.shahrulredzuan.com/

Dua orang pengembara iaitu berjalan hampir 2 hari meredah hutan, tujuannya adalah untuk menuntut ilmu dengan Tuan Guru yang amat terkenal tentang ilmu hikmahnya.

Mereka hampir tiba dirumah Tuan Guru, tetapi ada sebuah sungai yang tidak terlalu dalam dan tidak juga terlalu cetek, hanya diparas betis sahaja. Rumah Tuan Guru itu hanya diseberang sungai itu.

Pengembara yang pertama pun berkata pada pengembara kedua, "Mari kita redah sungai ini, kemudian kita sudah boleh bertemu dengan Tuan Guru".

Pengembara kedua berfikir seketika, "Aku hairan kenapa Tuan Guru itu tidak membina titi untuk kesana. Apa kata kau sahaja yang redah, aku naik dibelakang kamu. Aku tidak mahu membasahkan kakiku ini" Balas Pengembara kedua.

Pengembara pertama tidak mahu fikir panjang lagi kerana dia mahu bertemu Tuan Guru dengan segera setelah 2 hari penat berjalan. Maka pengembara pertama pun membenarkan pengembara kedua menaiki belakangnya untuk meredah sungai itu. Basahlah kaki pengembara pertama, manakala pengembara kedua itu masih kering.

Setelah itu, mereka terus sampai di rumah Tuan Guru dan memberi salam. Rupa-rupanya Tuan Guru sudah memerhatikan gelagat mereka dari mula lagi.

"Naiklah kerumah Tuan Guru, tetapi hanya yang berkaki basah tadi sahaja dibenarkan" Kata Tuan Guru.

Maka Terkejutlah pengembara kedua tadi kerana Tuan Guru tidak membenarkannya naik keatas rumahnya. Dia pun terus pergi kesungai untuk membasuh kakinya, kemudian barulah Tuan Guru membenarkan dia naik keatas.

Tuan Guru memulakan bicara, "Sebenarnya anak-anak, Tuan Guru sengaja tidak membina titi untuk menyeberangi sungai itu, kerana untuk memberi pengajaran kepada tetamu Tuan Guru"

"Apa pengajarannya Tuan Guru?" balas Pengembara tadi hampir serentak kerana kehairanan dan ingin tahu.

"Kamu berjalan menuju kesini umpama kehidupan kamu didunia. Manakala sungai itu ibarat cabaran dan dugaan yang hadir dalam hidup kamu. Cabaran dan dugaan itu termasuklah tanggungjawab kita sebagai manusia dan makhluk Allah. Kamu perlu sembahyang, solat, membayar zakat dan sebagainya"

"Bila kamu meredah sungai itu tadi, maka kotoran yang ada dikaki kamu sudah bersih dari kotoran sepanjang perjalanan tadi. Sama juga dalam kehidupan, cabaran dan dugaan itu sebenarnya membersihkan diri kita dari dosa yang kita lakukan disepanjang kehidupan kita"

"Adakah kamu mahu berjumpa dengan Allah nanti dengan keadaan yang penuh dosa?" Tanya Tuan Guru kepada pengembara tadi.

"Tentulah tidak bukan? maka kita seharusnya membersihkan diri kita melalui cabaran dan dugaan itu. Segala dugaan dalan hidup seperti hilang upaya, sakit, hilang pendapatan dan sebagainya haruslah dianggap sebagai peyuci diri kita yang kotor. Samalah juga cabaran seperti sembahyang, berpuasa dan sebagainya, kita harus melakukannya untuk menyucikan diri kita yang kotor dengan dosa-dosa, agar dapat bertemu dengan Allah dalam keadaan yang suci bersih dari dosa" Ujar Tuan Guru dengan panjang lebar.

Pengembara itu tersenyum kerana mereka telah mendapat pelajaran pertama dari Tuan Guru tanpa diduga.


No comments: