KALENDAR KULIAH PENGAJIAN SURAU AN-NUR

Monday, February 16, 2009

Khutbah Jumaat oleh Ustaz Hasrizal Abd Jamil (SaifulIslam)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Saya berpesan kepada diri saya dan kita semua agar bertaqwa kepada Allah, mengekalkan diri dalam keadaan sedar tentang erti hidup berTuhankan Allah, menjaga perintah dan menjauhi larangan-Nya agar kita tidak mati, kecuali di dalam keadaan Muslim, itulah kejayaan hakiki di penghujung dunia dan permulaan Akhirat.
Amma Ba’du;
Di suatu ketika, seorang sahabat Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam yang dahulunya seorang Nasrani, iaitu ‘Adi bin Hatim radhiyallaahu ‘anhu, bertanya kepada Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam: siapakah yang dimaksudkan dengan al-maghdhoob ‘alayhim (golongan yang dimurkai Allah) seperti yang tersebut di dalam surah al-Fatihah? Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam menjawab, “mereka itu adalah Yahudi”. Adi bertanya lagi: siapakah pula yang dimaksudkan sebagai al-dhaalloon (golongan yang sesat) itu? Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam menjawab, “mereka itu adalah Nasrani”. Hadith ini diriwayatkan oleh al-Tirmidhi dan Ahmad serta dinilaikan sebagai sahih.
Kaum Muslimin sekalian,
Biar pun pada aqidah kepercayaan kaum Yahudi itu ada sesatnya, namun mereka lebih menonjol sebagai golongan yang banyak menimbulkan kerosakan yang mengundang murka Allah. Begitu juga dengan kaum Nasrani, walaupun terdapat juga perlakuan mereka yang merosakkan dan mencetuskan murka Allah, namun mereka lebih menonjol sebagai kaum yang mendatangkan kepercayaan yang sesat dan mengelirukan. Justeru Yahudi disimbolkan sebagai KAUM YANG DIMURKAI-NYA, manakala kaum Nasrani pula dilabelkan sebagai KAUM YANG SESAT.
Setiap hari, seorang Muslim bersolat dan membaca Surah al-Fatihah berulang-ulang kali. Pengulangan ini merupakan sebab mengapa surah al-Fatihah dinamakan juga sebagai al-Sab’u al-Mathaani yang bermaksud 7 ayat yang diulang-ulang. Pengulangan berlaku dalam kehidupan kita apabila ia merupakan sesuatu yang amat penting, teras dan dasar yang manusia tidak boleh hidup tanpanya. Kerana itu kita diajar, dipaksa malah mungkin dirotan agar mengulang-ulang hafalan kita terhadap sifir di dalam Matematik, kerana sifir itu adalah teras dan dasar ilmu pengetahuan yang kita sulit hidup tanpanya.
Di dalam surah al-Fatihah yang diulang-ulang sebanyak 17 kali sehari itu, kita berulang kali merayu kepada Allah Subhanahu wa Ta’aala agar mengekalkan diri di dalam petunjuk-Nya, hidup sebagai sebahagian daripada alladheena an’amta ‘alayhim (golongan yang Engkau kurniakan nikmat ke atas diri mereka). Golongan ini diterangkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala di dalam surah al-Nisaa’ ayat 69 sebagai:

“Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di Syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, Iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat)” [al-Nisaa’ 4: 69]
Berusaha untuk menjadi kaum yang beroleh rahmat dan karunia nikmat dari Allah, tidak sempurna jika sekadar mengejar Islam, tanpa menolak dan menghindarkan diri daripada lawan Islam iaitu Jahilillah. Sebagaimana kita berulang kali memohon hidayah-Nya, kita juga berulangkali mengisytiharkan penolakan kita kepada cara hidup kaum yang dimurkai Allah dan cara hidup kaum yang sesat dan bingung kepercayaannya. Itulah intipati erti jati diri seorang Muslim. Tersendiri pada kepercayaan dan cara hidupnya. Istimewa dan unik mengatasi kaum yang bersalut murka dan dusta.
Sidang Jumaat rahimakumullaah,
Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah bersabda:
“Islam itu tinggi dan tiada sesuatu yang lebih tinggi daripadanya” (Hadith riwayat al-Baihaqi dan dinilaikan sebagai sahih oleh al-Albani)
Ketinggian Islam itu bukanlah terletak pada nasab keturunan, bersikap hidung tinggi merasakan diri sebagai kaum pilihan Tuhan, tanpa sebarang nilai dan pengorbanan. Tingginya Islam adalah pada keluhuran prinsipnya dalam mengatur hubungan manusia dengan Tuhannya, serta hubungan manusia sesama manusia. Islam menjelaskan dengan terang dan nyata akan erti hablun Minallaah, Islam menghuraikan Aqidah dengan luhur dan jelas sandaran. Islam juga memuliakan manusia dengan meninggikan keistimewaan manusia iaitu pada akal fikirannya. Justeru tidak tahyul dan pemaksaan kepercayaan kepada kita dalam melengkapkan diri sebagai seorang Muslim. Semuanya jelas dan luhur, serta mampu dipercayai oleh seorang manusia dan upaya dirinya.
Itulah Islam. Bukan sahaja memurnikan jalan berTuhan dalam kehidupan, Islam juga mengatur hubungan manusia sesama manusia dengan sebaiknya. Islam menganjurkan perbuatan baik dan perkongsian manfaat sesama manusia, memuliakan keadilan, mengharam serta memerangi kezaliman dan penindasan.
Itulah Islam. Kemuliaan yang bukan sebagai sebuah hadiah pemberiaan, tapi ganjaran atas mujahadah dan pengorbanan kita mencari kemuliaan itu.
Justeru Allah Subhanahu wa Taa’la tidak mahu kaum yang mengimani-Nya hidup dengan kerendahan. Muslim dilarang daripada memakan babi kerana salah satu hikmahnya adalah kerana tabiat buruk binatang itu yang pengotor dan memakan najisnya sendiri. Islam juga mengharamkan Muslim memakan keldai, kerana haiwan itu yang sering disinonimkan dengan kebodohan, justeru tidak layak bagi seorang Muslim untuk menjamahnya sebagai sumber tulang temulang dan daging pada tubuh badan manusia yang berTuhankan Allah.
Larangan berkenaan bukan sahaja pada soal babi dan keldai, malah kita ditegah daripada hidup secara Yahudi atau Nasrani, kerana pada kezaliman, penyelewengan dan kesesatan Aqidah itu, terhimpunnya kerendahan nilai bagi sebuah kehidupan.
Perintah Islam supaya seorang Muslim memelihara janggut, tidak melabuh-labuhkan pakaian hingga meleret di tanah, malah dalam ibadah puasa juga, dianjurkan supaya menambah puasa Asyura’ dengan satu hari sebelum atau selepasnya, serta kita ditegah daripada bersikap melampau-lampau dalam memuliakan baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam, segalanya itu dengan tujuan yang SATU. Iaituilah pada memastikan diri seorang Muslim untuk sentiasa membezakan diri mereka dari kaum Yahudi dan Nasrani. Kita kaum Muslimin, kita adalah kaum yang tersendiri.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Inilah tugas pertama yang diberikan oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala ke atas bahu seorang ibu dan seorang bapa;
“Tidaklah lahir seorang bayi melainkan lahirnya dia di atas fitrah. Maka ibu bapalah yang meYahudikannya, meNasranikannya serta meMajusikannya” [Hadith riwayat Muslim / 4803]
Ibu bapa bertanggungjawab untuk mendidik dan menyuburkan fitrah anak-anak. Fitrah yang subur akan menggenggam Islam sebagai cara hidup yang sempurna. Pengabaian fitrah ini adalah simpang-simpang kehidupan yang menyasarkan seorang manusia daripada membesar daripada penuh potensi untuk menjadi seorang Muslim, kepada tersasar menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.
Oleh yang demikian, di saat kita menentang kerosakan dan kehancuran perbuatan Yahudi di bumi Palestin, menolak permainan politik diplomasi dan licik Nasrani di Rumah Putih, kembalilah ke rumah masing-masing dan perhatikan, sudahkah anak-anak kita dibesarkan sebagai seorang Muslim? Sudahkan diperkenalkan anak kita kepada Tuhannya? Sudahkan diajarkan kepada anak kita tentang tujuan hidup mereka? Apakah Islam telah menjadi nilai yang dipegang dalam tindak tanduk seharian mereka?
Jika kita membenci kerosakan perbuatan Yahudi, dan lemas dengan permainan politik kaum Nasrani, tetapi tidak pernah membenci cara hidup Yahudi serta Nasrani, sesungguhnya suara bantahan kita terhadap apa yang berlaku di Gaza, adalah senda gurau yang tidak punya sebarang makna di sisi Allah.
Sidang Jumaat rahimakumullaah,
Menjelang 14 Februari, kaum Nasrani dan masyarakat Barat sibuk meraikan Hari Valentine. Hari Kekasih yang disandarkan secara sejarahnya kepada Valentine of Rome, peristiwa mengenang Saint Valentine yang dikebumikan di Via Flaminia sekitar tahun 269M. Hari Valentine yang mengalami pelbagai penafsiran di sepanjang sejarah Eropah Moden akhirnya menjadi hari memuja kekasih, tidak terhad hanya kepada nilai, cara hidup dan kaum Nasrani di Barat, malah akhirnya menyerap sebagai budaya kaum Asia.
Malang sekali, ritual yang tidak punya sebarang kaitan dengan kita sebagai kaum Muslimin, sedikit demi sedikit terserap sebagai budaya dan amalan anak-anak muda kita.
Perlu ditegaskan, seorang suami berkewajipan menghargai sang isteri, begitu juga seorang isteri terhadap suaminya. Ia adalah sebesar-besar ajaran Islam. Namun penghargaan yang ingin diberi, telah ada caranya menurut ajaran Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Tidak seharusnya kita mengambil ritual kaum lain, apatah lagi dosa di atas dosa, tatkala penghargaan itu adalah pada sebuah perhubungan di luar akad perkahwinan!
Ingatlah amaran Allah Subhanahu wa Ta’aala:
“Para kekasih dan teman akrab, pada hari itu, akan saling menjadi musuh di antara satu sama lain, kecuali mereka yang bertaqwa” [al-Dzukhruf 43: 67]
Para kekasih yang berkasih dalam belenggu dosa, kasihnya hanya hiasan nafsu di dunia. Di akhirat kelak, tatkala para kekasih ini berdepan dengan keputusan Allah ke atas mereka, setiap seorang akan bermusuhan dengan orang yang pernah dikasihinya, kerana masing-masing mahu menyelamatkan diri. Hanya yang bertaqwa sahaja beroleh jemputan berikut:

(Mereka - yng bertaqwa - itu, diberi penghormatan serta diseru oleh Allah Taala dengan firmanNya): “Wahai hamba-hamba-Ku! Pada hari ini kamu tidak akan merasai sebarang kebimbangan dan kamu pula tidak akan berdukacita”.(Mereka itu ialah) orang-orang yang beriman akan ayat-ayat keterangan kami, serta mereka menjadi orang-orang Islam yang taat patuh,70. (Mereka diberi sebaik-baik balasan dengan dikatakan kepada mereka): “Masuklah kamu ke dalam syurga bersama-sama isteri-isteri kamu (yang beriman), dengan menikmati sepenuh-penuh kegembiraan dan kesenangan” [al-Dzukhruf 43 : 68-4-70]

Jika mahu membalas cinta, balaslah dengan cara yang menyampaikan dua kekasih itu ke syurga. Bukan cinta berbalas dosa.
Bukanlah soal bunga ros atau sekeping kad itu yang menjadi persoalan, tetapi kemusnahan jati diri sebagai seorang Muslim, dan sikap terhegeh-hegeh meniru segala yang datang daripada Barat itulah yang menjadi persoalannya.
Sabda Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam:
“Kamu akan mengikuti sunnah umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehinggakan jika mereka memasuki lubang biawak (dhab) nescaya kamu akan mengikuti mereka. Sahabat bertanya: Adakah mereka itu kaum Yahudi dan Nasrani, wahai Rasulullah? Sabda Baginda SAW: Ya, siapa lagi kalau bukan mereka?” [Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Setiap masa, suami tanyalah kepada isteri dan isteri tanyalah kepada suami, di manakah anak-anak kita. Jangan tidak lekatnya mereka di rumah itu, rupa-rupanya mereka sedang berbondong-bondong masuk ke lubang biawak Yahudi dan biawak Nasrani.
“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agama aku” [al-Kaafiroon 109: 1-6]
Oleh : Ustaz Hasrizal Abd Jamil @ http://www.saifulislam.com/ - Khutbah di Surau Al-Munir, Sri Kembangan

No comments: