KALENDAR KULIAH PENGAJIAN SURAU AN-NUR

Monday, February 16, 2009

Buku Telaga Budi Karangan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat - Ulasan 2

Telaga Budi, menakung limpahan jasa & budi. Dituang dalam bentuk petikan hikmah yang boleh menyuburkan akal budi. Di dalamnya tertuang sejumlah kebijaksanaan & ketinggian ilmu daripada ikon ulama tersohor di Asia Tenggara. Untaian hikmahnya dipetik, lalu dipunggah & disusun rapi oleh Setiausaha Politik yang kerap mendampinginya, Tuan Haji Annual Bakri Haron.
Kalau sudah namanya telaga, pasti tertakung kesegaran air yang menghilangkan dahaga sang musafir di alam fana. Nah, kitalah musafir itu. Sekalipun tidak boleh melawan keampuhan telaga Zam-Zam & Kauthar, paling tidak ia mampu menyegarkan minda & nubari yang kian layu dipanah mentari Mazmumah.
Telaga Budi tampil dengan sosk tersendiri menerajui fikrah seorang ulama yang memikul sarat beban dakwah. Saya teruja tatkala mencicip karya ini. Sungguh! ia dipersembahkan dalam bentuk hemah & lancar. Beberapa bab yang ingin saya petik, antaranya Bab 7; "Islam Sebagai Fasilitator".
"Syurga & neraka. Kedua-dua projek raksasa ini pun sudah ada. Apabila syurga ini sudah ada, hendak kaji apa lagi. Kewujudannya sudah disahkan sendiri oleh Nabi Muhammad SAW sewaktu peristiwa Israk Mikraj. Dalam kesempatan diberi hidup menumpang di bumi Allah inilah kita semua sedang diuji sama ada mahu melaksanakan Islam ataupun tidak. Individu diuji secara individu & pemimpin kerajaan serta pemerintah, juga diuji dalam bentuk amanah kekuasaan. 'Ujiannya ialah sejauh mana kamu berusaha melaksanakan Islam' & bukannya sejauh mana kamu mengkaji & berusaha menyesuaikannya dengan teori ekonomi Adam Smith ataupun teori sosialis Karl Marx & menghalang pelaksaan Islam"
Diskusi ini cukup menyinggung pendokong pelbagai aliran pemikiran, sama ada liberisme, sosialisme, sekularisme, kapitalisme, nasionalisme & seumpamanya.
Tuan Guru Nik Abd Aziz gigih menyuluh persepsi manusia yang sudah larut di dalam lumpur dasar imperialis. Sudah namanya berjuang. Pengakhirannya bukan di sini atau di sana, kerana pejuang itu tidak alan lenyap sehingga dihancurkan dunia ini menjelang kiamat.
Menyitir Bab 14 (yang) berjudul "Jangan Bawa Politik Ke Masjid", Tuan Guru menegaskan;
"Jika ada orang yang mengatakan bahawa politik tidak boleh dibawa ke masjid, ini bermakna orang ini menolak kesyumulan Islam"
Memetik ucapan Tuan Guru Dato' Nik Abd Aziz Nik Mat sewaktu memimpin usrah peringkat negeri pada 12 Safar 1425 bersamaan 2 April 2004 di Dewan Zulkifli, Kota Bharu, Kelantan;
"Kita perlu ingat pula bahawa syaitan itu boleh jadi terdiri daripada kalangan syaitan asli ataupun syaitan dalam bentuk pemikiran yang karut-marut dengan segala macam pengaruh daripada isme-isme buatan manusia. Di sini, sama ada kita mengikut kehendak Allah ataupun mengikut kehendak syaitan. Kehendak ketiga atau yang disebut juga sebagai ' atas pagar', tidak ada. Itu hanyalah rekaan nafsu semata".

Sumber : Ulasan Buku oleh Faizah Herda Mohd Azaman (Harakah bil.1415)

No comments: