KALENDAR KULIAH PENGAJIAN SURAU AN-NUR

Wednesday, February 25, 2009

ANIS Keluaran Mac 2009 / Rabiulawal-Rabiulakhir 1430


CATATAN EDITOR
Sayidatina Khadijah r.a. mempunyai kedudukan yang istimewa di hati Nabi SAW sehingga baginda ada bersabda:
"Sebaik-baik wanita ialah Maryam binti 'Imran & Khadijah binti Khuwailid" (Riwayat Bukhari & Muslim"
Nama Sayidatina Khadijah r.a. sering baginda sebut-sebut walaupun telah meninggal dunia. Hal ini dicemburui oleh Sayidatina Aishah r.a. sebagaimana pengakuannya:
"Saya tidak pernah cemburu terhadap salah seorang daripada para isteri Nabi SAW sebagaimana cemburuku terhadap Khadijah. Saya tidak pernah melihatnya tetapi Nabi SAW sering menyebut-nyebut namanya. Kadang-kadang baginda menyembelih kambing, lalu memotongnya menjadi beberapa bahagian lalu mengirimkannya kepada kawan-kawan Khadijah. Terkadang aku berkata kepada baginda, "Seolah-olah di dunia ini tidak ada wanita lain selain Khadijah". Rasulullah SAW menjawab, "Sesungguhnya Khadijah itu seorang wanita yang utama, bijaksana & darinya aku dikurniakan anak". (Riwayat Bukhari & Muslim)
Dalam versi lain Rasulullah SAW berkata:
"Khadijah beriman ketika orang-orang kafir kepadaku, dia membenarkanku ketika orang-orang mendustakanku & dia membantuku dengan hartanya ketika orang-orang lain memulaukanku" (Riwayat Ahmad)
Memang sukar untuk memperincikan sumbangan Sayidatina Khadijah r.a. kepada Rasulullah SAW. Sedari awal perkahwinannya dengan Rasulullah SAW sehingga wafatnya, kisah hidup beliau penuh dengan pengorbanan. Ketika Nabi SAW menyatakan keresahan didatangi Jibrail, sifat keibuan yang tinggi & isteri yang penyayang membuatkan Sayidatina Khadijah r.a. dapat menenangkan Nabi SAW.
Ketika Nabi SAW berdakwah dia pula menjadi pembantu perjuangan. Sayidatina Khadijah r.a. bukan hanya sanggup memberikan sokongan moral tetapi juga mengeluarkan harta untuk jihad & perbelanjaan umum. Malah kekuatan Islam pada peringkat awal digerakkan oleh dana yang disumbangkan oleh beliau.
Rasulullah SAW dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada dakwah keranan dokongan sumber kewangan daripada Sayidatina Khadijah r.a.
Untuk mendapat cinta Nabi SAW, maka contohilah cinta & pengorbanan Sayidatina Khadijah r.a. kepada baginda. Cinta Nabi SAW kepada Ummul Mukminin berakhlak agung ini, bukan pada kecantikan rupa paras. Tetapi cinta sejati berasaskan pada kesetiaan Sayidatina Khadijah r.a., pengorbanannya, kesabarannya, perlindungan & pembelaannya serta zuriat yang pernah dikandungnya.
Marilah kita cemburu sebagaimana kecemburuan Sayidatina Aishah r.a. kepada Siti Khadijah. Cemburu Aishah bukan cemburu buta mengikut nafsu melulu. Tetapi cemburu untuk mencontohinya & mengikut jejak langkah. Kecemburuan itulah akhirnya memacu Aishah berazam kuat untuk mengikut jejak langkah Khadijah hingga berjaya merebut cinta agung Rasulullah SAW.
Tidak rugi berbuat demikian, kerana wanita solehah akan mendapat 2 cinta sekaligus - iaitu balasan cinta dari suami & cinta Nabi SAW
ROSLAN KASSIM

No comments: