Cinta sesuci itu selayaknya dinobatkan kepada Allah SWT dan RasulNya. Dua cinta yang tidak mati dan akan terus hidup; di dunia mahupun akhirat. Dua cinta yang tidak layak disaingi oleh sebarang makhluk termasuklah ibubapa, isteri dan anak-anak.
Maka, ke mana-manapun jika mengendong dua cinta ini, kebahagian menjadi pakaiannya.
PENDAHULUAN
Pengarang oksidentalis ini melalui novel fenomena Ayat-Ayat Cinta (2003) telah mengocak danau kesusasteraan Indonesia-Malaysia sehingga menggasak rasa malu kepada yang tidak membaca novel tersebut. Justeru, adalah tidak rumit kepada pengarang untuk mengetahui sasaran pembaca bagi novel susulannya termasuk Ketika Cinta Bertasbih (1 & 2). Pengarang telah menggunakan peluru cinta untuk menembak para pencandu sastera. KCB setebal 883 muka (477+406) , ditulis dalam tempoh setahun (Feb-Nov 2007) mencerminkan kesungguhan penulis, Habibur Rahman el-Shirazy menyebarkan dakwahnya lewat penulisan. Falsafahnya masih cinta. Apakah cinta merupakan subjek yang relevan buat umat di abad post moden kini?
Ya. Cinta adalah perjuangan yang tepat dalam nuansa masyarakat Muslim sudah kehilangan jiwa dan agama. Harus diketahui, keadaan umat Islam selepas Perang Salib (Crusades) pada abad ke 11 hingga 13, dibayangi gejolak prasangka musuh; Yahudi dan Kristian. Setelah kegemilangan Islam menenggelamkan tamadun Rom, Parsi dan Eropah pada tempoh yang lama , kuasa barat menaruh dendam dan kebencian yang meluap-luap terhadap Islam. Musuh Islam mahu mengelakkan kemunculan semula kuasa baru Islam di abad 18, 19, 20 dan 21 dengan strategi dan tindakan yang agresif.Cara yang paling gratis ialah mencabut rasa cinta umat Islam terhadap agama mereka. Maksud yang lain ialah memisahkan ruang kehidupan daripada agama atau sekularisasi.
Kesannya, umat Islam pada abad ke 20, menjadi umat yang kehilangan arah. Di setiap penjuru dunia, masyarakat Islam diserang wabak nilai yang berkecamukan. Barat bersandarkan landas sekular telah menghilangkan agama secara progresif daripada sistem kehidupan yang kemudiannya diadaptasi oleh negara-negara Islam dengan alasan kemodenan bermula dari aspek penbandaran, bangunan, birokrasi, syarikat dan sekolah sehinggalah politik dan budaya. Manakala, umat Islam yang terus dengan nilai agama dilambangi fundamentalis, ekstrem, fanatik, antikemodenan, ingin pulang ke masa lampau, berbahaya, tidak rasional dan berbudaya songsang.
Tindakan yang paling wajar bagi Barat ialah memahamkan masyarakat Islam bahawa agama yang dipegangi boleh menghalang mereka mencapai tingkat kemajuan serta beradaptasi dengan sains dan teknologi zaman. Lalu membuat pemujukan melalui media massa; televisyen, radio, internet, filem, akhbar, novel, dan lain-lain. Identiti umat Islam diperkotak-katikkan barat dengan larva western toxid; untuk menjadi moden adalah dengan menjadi barat dari segi pakaian, bahasa, idea, pendidikan, tingkah-laku, seni bina dan perabot. Kesan penjajahan fizikal sebelumnya, barat telah berjaya menumpukkan rasa rendah diri di kalangan umat Islam, hilang pedoman agama, malah berasa kagum terhadap kuasa barat, kemajuan sains dan teknologi, serta hanya mampu menggigit bibir terhadap penguasaan, penerobosan dan eksploitasi barat terhadap dunia Islam.
Maka, bagaimanakah memulihkan kembali jatidiri Muslim di dalam tubuh umat Islam yang telah rosak, sakit dan pasif supaya bangkit melawan barat yang gila dibayangi pesimis crusades ini?
KCB MENAWARKAN CINTA
- Watak- watak tipa KCB adalah komponen Muslim yang hidup di abad pasca kolonial Barat. Mereka adalah generasi remaja yang menauladani masyarakat (pembaca) melalui tingkah-laku (behavior), pemikiran, sikap (attitude), dan kerohanian. Pengarang telah mengangkat dirinya menjadi Khairul Azzam, Furqon, Eliana, Anna Althafunnisa, Cut Mala, Hafiz, Fadhil, Husna, Ustaz Mujab, Tiara (sekadar menyebut watak berkonflik) yang berkonfrontasi dengan masalah cinta. Berikut adalah permasalahan cinta beberapa watak:
Azzam- berumur 28 tahun, sudah 9 tahun bergelar mahasiswa Cairo, sengaja tidak meluluskan dirinya dalam imtihan kerana mahu berjualan bakso di Mesir , seorang yang rendah diri, fitrah lelakinya mahu mengahwini seorang wanita solehah dan sangat terganggu dengan kehadiran wanita kaya, genit, seksi, cerdas dan cantik iaitu Eliana. Menjadi insaf apabila diberitahu tentang wanita yang lebih baik daripada Eliana bernama Anna. Malangnya, Anna telah dilamar orang. (konflik pencarian gadis Anna inilah pusat cerita KCB) - Furqon – dikenali sebagai intelektual muda, hampir menyudahkan tesis m.a di Cairo University, anak hartawan, berkarisma dalam pergaulan, mahu memiliki isteri solehah dengan merisik Anna, dipujai ramai wanita termasuk Eliana. Konfliknya ialah apabila dirogol oleh Miss Italiana, seorang mosad Israel yang menularkan HIV dalam waktu yang sama pinangannya diterima Anna. (Konflik perebutan antara Azzam dan Furqon untuk mendapatkan Anna secara senyap inilah menggengsikan plot KCB)
- Anna Althafunnisa- gadis jelita, solehah, pintar, anak pak kiyai, fasih berbahasa Arab, Inggeris dan Mandarin, sedang menyiapkan tesis ma di al-Azhar, penulis hebat di majalah Arab, (Konflik berlaku apabila ibubapa mahukan Anna berkahwin. Anna jatuh cinta kepada Abdullah (Azzam) tetapi menerima lamaran Furqon)Makruf, di kalangan para pelajar agama mempunyai satu kesedaran bahawa bercinta tanpa matlamat (perkahwinan) adalah berdosa. Berbeza dengan pendapat sekular, bahwa cinta itu perlu dilahirkan secara terang. KCB cuba memperincikan kaedah menzahirkan cinta.
“Saya tidak menggoda, serius. Saya sungguh-sungguh mau memberi Mas Khairul ciuman tadi, sayang Mas keburu pulang.” m/s 67
Kata Eliana Pramesthi Alam, gadis cantik yang dibesarkan dengan budaya sekular. Padanya, mengekspresikan ciuman bukan satu kesalahan bagi menunjukkan rasa berterima kasih kepada seseorang.
Namun, dibalas oleh Azzam, seorang pelajar agama yang dikawali adab.
“Saya juga memiliki prinsip. Prinsip hidup saya itu saya dasarkan pada Islam. sebab saya paling yakin dengan ajaran Islam. Di antara kesucian-kesucian yang dijaga oleh Islam adalah kesucian hubungan antara pria dan wanita. Islam sama sekali tidak membolehkan ada persentuhan intim antara pria dan wanita kecuali suami isteri.”
“Ketika saya mengatakan bahawa jika sampai saya melakukan ciuman itu dengan wanita yang tidak halal bagi saya, maka saya menodai kesucian saya sendiri dan menodai kesucian wanita itu.” m/s 113
Di sinilah kekuatan Azzam untuk menyampaikan dakwah bil lisan setelah menggunakan dakwah bil hikmah menolak ciuman Eliana, gadis kacukan yang cantik jelita (seolahnya seperti Carissa Putri). Kesan kelembutan hati Azzam menghadiahi Eliana, menyebabkan prinsipnya diterima gadis itu. Berjaya.
KOMUNIKASI 2
Dalam kesibukan belajar, seseorang remaja tidak bisa menafikan bahwa wujud cinta yang akan menyelinap ke hatinya. Persoalannya, bagaimanakah dia mengurangi kesakitan menanggung cinta yang tiba-tiba hadir, sedangkan tanggungjawab ilmu lebih memerlukan tumpuan? KCB mengajari kita dalam hal ini.
Hafiz, teman serumah Azzam mencintai wanita Aceh bernama Cut Mala. Dia Cuma mampu memasang impian;
"Seandainya ia telah menikah dengan Cut Mala, lalu di penghujung malam seperti itu ia membaca al-Quran bareng Cut Mala. Bergantian Terkadang yang membaca, Cut Mala yang mendengarkannya. Atau Cut Mala yang membaca, ia yang menyemaknya. Alangkah indahnya.” m/s 130
Atas kesedaran agama, dia tidak mahu berterus-terang kerana bimbang akan mengganggu tumpuan ilmu masing-masing. Cara untuk mengurangkan beban perasaannya adalah meluahkan rasa kepada orang yang dipercayai iaitu Azzam.
“Maaf Kang, saya tidak kuat lagi. Saya tidak bisa tidur kang. Saya tidak tahu harus bagaimana? Saya perlu orang yang saya ajak bicara. Saya mau minta pertimbangan Kang Azzam. Saya tidak kuat lagi Kang.” M/s 127
Tindakan Hafiz setelah disarankan Azzam bagi menguatkan jiwanya kembali ialah:
- Bertaubat dan beristigfar
- Membaca al-Quran
- Bermunajat
- Tawakal
“Ya Allah, ampuni dosa hambaMu ini…” m/s 130. Dalam doa dan istigfarnya, ia sangat berharap bahawa Allah SWT mengasihi orang-orang yang jatuh cinta sepertinya. m/s 130
Cara beginilah yang patut dicontohi oleh para pelajar Muslim kala tidak dapat menguasai cinta dalam diri mereka.
KOMUNIKASI 3Masalah cinta juga dialami oleh remaja wanita. Namun, naluri malu menghalangi sesetengah wanita untuk berterus-terang.
Seperti Hafiz, Tiara mempunyai perasaan kepada Fadhil, abang teman serumahnya, Cut Mala.
“Sebenarnya, dia ingin mengatakan pada Cut Mala, bahwa ia mencintai Fadhil, kakaknya. Tapi ia tak sampai hati menyampaikannya. Rasa malulah yang menghalanginya.”m/s 141
Sebagai gadis yang baik, Tiara memilih cara terhormat dengan tidak mengikut rasa hati, iaitu meletakkan harapan yang mendalam pada seseorang yang bukan lagi suaminya.
“Namun, ia merasa jodoh terkadang tidak bisa dipilih. Jodoh dalam keyakinannya adalah dipilihkan. Ya dipilihkan Allah. Manusia hanya berusaha dan berikhtiar.” m/s 141
“Baginya, cinta yang kekal adalah untuk orang yang secara sah menjadi suaminya.” m/s 142
Seorang gadis yang memahami agama pastinya tidak akan menurutkan rasa hati. Cinta kalaupun fitrah, ia juga merupakan cabang ujian untuk seseorang meningkatkan iman atau sebaliknya. Dalam KCB, cinta Tiara dan Hafiz yang saling terpendam tidak disatukan. Tujuan pengarang adalah memberi qudwah kepada pembaca bahawa persoalan jodoh adalah berlainan dengan persoalan cinta.
KOMUNIKASI 4
Sosok Furqon adalah sosok Azzam dalam KCB. Keduanya mempunyai persamaan pemikiran dan sikap. Perbezaannya adalah Furqon mendapat keselesaan menuntut ilmu kerana kesenangan keluarga, sebaliknya Azzam terpaksa bersusah-payah menanggung keluarga. Namun, kedua-duanya sangat mencintai ilmu dan para ulama.
Azzam dan Furqon, masing-masing mempunyai egois yang tinggi terhadap wanita yang mudah mesra, bebas walaupun cantik (berbeza sekali pandangan mereka terhadap wanita senegara yang menjaga adab pergaulan, memakai jilbab sopan dan thiqah). Beberapa contoh menunjukkan jiwa kedua pemuda itu sama.
- Azzam sangat bertegas dengan Elianna sejak pertemuan pertama . Ketegasan itu disandarkan pada prinsipnya yang kukuh dalam diri. Walaupun Elianna adalah gadis cantik dan merupakan anak seorang duta, hal itu tidak dapat menundukkan prinsipnya.
“Mau putrinya Dubes, mau putrinya Presiden, suruh telpon lagi habis Magrib. Titik!” m/ s 214 - Furqon tidak melayani panggilan gadis bernama Sara, walaupun gadis itu memaklumkan dia adalah anak tokoh ilmuan yang dihormati Furqon, Prof Dr. Sa’duddin Zifzaf. Sara digambarkan mempunyai pesona yang menarik, bijak dan peramah. Sara telah mengugut Furqon
“Justeru saya kuatir, jika anda tidak datang, anda akan menyesal. Undangan ini mungkin hanya sekali anda dapatkan dalam hidup anda.” m/s 216
Ugutan itu dianggap Furqon tidak penting berbanding keperluannya menyiapkan tesis. - Furqon dan Azzam sama-sama menyintai gadis yang sama iaitu Anna Althafunnisa.
- Furqon dan Azzam selalu lemah bila berhadapan dengan gadis cantik (ataukah semua lelaki begitu) tetapi dikuatkan dengan istigfar dan sabar.
“Ia tidak mengingkari dirinya adalah manusia biasa, bukan malaikat. Ia tak bisa menafikan dirinya adalah pemuda biasa yang bisa berbunga-bunga kerana merasa dekat dan dianggap penting oleh seorang gadis cantik dan terhormat seperti Eliana.”- Azzam, m/s 37
Di akhir KCB, pengarang telah memenangkan watak Azzam dengan memisahkan Furqon dan Anna. Barangkali, pengarang memikirkan Azzam dan Furqon adalah jiwa yang sama, justerulah beliau tidak ralat memberikan hak kebahagiaan kepada mana-mana watak. Waima, Azzam dan Furqon adalah qudwah remaja mewakili dua lapisan hidup:
- Azzam- menjadi teladan kepada remaja golongan marhaenb)
- Furqon- menjadi teladan kepada remaja golongan pertengahan
Orang tengah atau perantara adalah sosok yang dipercayai memberikan jalan penyelesaian masalah. Individu ini tentulah memiliki figur positif, tenang dan berdaya tarikan serta berilmu. Dalam KCB, Ustaz Mujab merupakan tokoh yang telah membantu pengarang ‘melunakkan’ konflik-konflik watak. Misalnya:
- Ustaz Mujab menjadi orang kepercayaan Azzam meluahkan risikannya terhadap gadis solehah bernama Anna Althafunnisa. Sebaliknya, gadis itu telah dilamari orang lain. Ustaz Mujab memujuk Azzam dengan nasihat yang baik; “Allahlah yang mengatur perjalanan hidup ini. Sungguh aku ingin membantumu Rul. Sayang, kau datang tidak tepat pada waktunya. Anna Althafunnisa sudah dilamar orang.”- m/s 118-119 “Bukan aku ingin menyinggungmu, tetapi aku ingin kau memperbaiki dirimu. Aku ingin kau lebih realitis..”m/s 120
Kata-kata Ustaz Mujab mendorong motivasi Azzam untuk berusaha memperbaiki keadaan dirinya terutama menghabiskan pengajian S1.
“Baiklah saat ini aku belum berhasil menunjukkan prestasi. Tapi tunggulah lima tahun ke depan. Akan aku buktikan bahwa, aku Khairul Azzam berhak melamar gadis solehah yang mana saja.”- kata Azzam selepas diberi pencerahan oleh Ustaz Mujab . m/s- 121 - Ustaz Mujab menjadi orang kepercayaan Azzam selepas dianiayai Miss Italiana, gadis mosad Israel. Ustaz Mujab mengaitkan peristiwa yang menimpa Azzam sebagai bentuk teguran Allah SWT. “Yang paling penting kau harus mengintrospeksi diri dan memuhasabah dirimu sendiri. Ini teguran dari Allah atas cara hidupmu yang menurutku sudah tidak wajar sebagai seorang penuntut ilmu.”- m/ s 292
Kekuatan Azzam sebagai tipa KCB adalah kematangan dan keluhurannya terhadap keluarga iaitu ibu dan tiga adik perempuan. Dalam dua episod KCB, amat ketara menonjolkan Azzam sangat mendahulukan keluarganya berbanding yang lain. Dia juga bangga dengan pencapaian adik-adiknya serta menonjolkan ibu sebagai pencetus inspirasi mereka. Sikap Azzam ini menjadi panduan kepada pembaca agar mentaati ibubapa bagi merasai keberkatan hidup.
KELEBIHAN UMUM KCB
- Tauhidik
- Falsafah cinta yang sarat
- Fakta dan hujahan ilmu yang padat
- Mencitrakan kebudayaan bangsa dan budaya Indonesia
- Rujukan kitab-kitab muktabar
- Mengukuhkan nilai persahabatan, keluarga, dan masyarakat setempat
- Gaya bahasa dan naratif yang mudah dan pantas
- Perlukisan latar dengan detail
KELEMAHAN
- Plot mengikut naratif sinetron
- Gaya bahasa populer
- Terlalu banyak dialog, dan kata-kata berbentuk khutbah
- Perlukisan watak yang berlebihan sehingga menghilangkan kekaguman pembaca terhadap watak
- Pengakhiran cerita yang klise.
KESIMPULAN
Jujurnya, KCB menepati kehendak zaman yang memerlukan pengisian pembangunan insan kepada masyarakat Islam. Kelebihan Habibur Rahman adalah pada kekuatan ilmu dan penguasaan bahasa Arab yang baik. Dua ciri ini melengkapi bakat kesusasteraannya supaya karyanya berada pada tingkat tertinggi iaitu ilmiah, autoriti, jujur, mendidik dan menghiburkan pembaca. Selain falsafah cinta, KCB (1 & 2) memberi qudwah kepada pembaca khususnya remaja untuk meniru aspek pembaikan diri agar di kehidupan mendatang, yang lebih gagah cabarannya, mereka dapat beradaptasi mengikut acuan khair ummat.
Yang penting, Habibur Rahman telah mengajar kita untuk menjadi manusia yang bermanfaat kepada ummah lewat bakat yang ada.
“Orang yang memiliki semangat ia akan mencintai semua yang dihadapinya.”
Kertas kerja ini dibentangkan dalam Bengkel Bedah Buku Ketika Cinta Bertasbih Bersama Habiburrahman el-Shirazy pada 15 November 2008, IPS UM oleh Ummi Hani Abu Hassan
No comments:
Post a Comment