KALENDAR KULIAH PENGAJIAN SURAU AN-NUR

Thursday, December 24, 2009

Inti Pati Ceramah Sheikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi dan Rakaman Doa

Sumber foto : http://drshafie.blogspot.com

Syarahan Perdana Sheikh al-Qaradhawi disampaikan dalam bahasa Arab dan diterjemahkan oleh Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin, beliau menyatakan:

Kita memohon kepada Allah dengan kehadiran Tahun Hijrah yang baru 1431, menjadikannya Tahun yang baik bagi umat di Malaysia, juga khususnya bagi umat Islam di Baitul Maqdis yang sedang berjuang untuk membebaskan diri dari cengkaman Zionis. Hubungan saya dengan Malaysia, kata Sheikh al-Qaradhawi sejak lama dari tahun 1980an dalam mana saya telah menziarah ke sini pada masa Gerakan Islam ABIM begitu aktif dan saya telah menziarah beberapa bahagian Negara ini. Saya juga diberi penghormatan dengan Ijazah Kehormat UIAM berikutnya.


Berhubung dengan Hijrah ia adalah anugerah dan pertolongan dari Allah "Nasrun minallah" setelah jihad Rasulullah di Makkah selama tiga belas tahun. Semasa di Makkah ada antara pengikut Islam terkorban. Belaiu menyebut antaranya Sumayyah sebagai syahidah terawal. Termasuk yang diseksa 'Muammar'. Umat Islam dalam masa menghadapi sekatan ada yang terputus makanan dan terpaksa memakan rumput dan daun ! Beliau menceritakan tentang peranan Saidina Ali karramallahu wajhah, Saidina Abu Bakar r.a. dan Asma' bt. Abu Bakar r. anha di dalam berhijrah.


Sheikh Yusuf al-Qaradhawi mengingatkan pentingnya melakukan sesuatu secara berjemaah sebagaimana ibadat-ibadat seperti sembahyang, haji dan umrah secara berjamaah. Demikian menurutnya Islam ditegakkan secara jamaah termasuk membentuk masyarakat dan Negara Islam di Madinah adalah secara berjamaah. Contoh seperti mempersaudarakan kabilah Aus dan Khazraj sebagai golongan Ansar yang bekerjasama dengan golongan Muhajirin di Madinah. Perhubungan antara Muhajirin dan Ansar begitu rapat.

Beliau mengambil contoh hubungan sahabat Abdul Rahman bin Auf dari kalangan Muhajirin dan Sa`ad bin al-Rabi` dari kalangan Ansar. Saad sanggup menawarkan sebahagian daripada hartanya kepada Abdul Rahman untuk dijadikan modal perniagaan, bahkan menawarkan untuk menceraikan satu daripada isterinya untuk dikahwini oleh Abdul Rahman, tetapi beliau menolak dan berterima kasih. Beliau memulakan perniagaan dengan modal yang ada padanya. Kedua-duanya menjadi peniaga-peniaga yang berjaya.


Menurut Sheikh al-Qaradhawi bagi kepentingan ibadat dan kemasyarakatan Islam mementingkan pembinaan masjid dan bagi kepentingan ekonomi Rasulullah memerintah membina pasar awam. Sebelumnya hanya ada sebuah pasar di Madinah yang dimiliki secara perabdi oleh orang Yahudi. Dengan pendirian Pasar Awam dapat memecahkan monopoli orang Yahudi dan masyarakat awam dapat berniaga dan meningkatkan ekonomi Negara Madinah. Di dalam hal ini Islam mengatur etika perniagaan, hutang piutang dan memperingatkan agar tidak melakukan penipuan. Sesungguhnya Rasulullah mengingatkan siapa yang menipu mereka bukan dari golongan kami.

Islam juga menegakkan dari segi sosial yang mana semua masyarakat adalah sama, tidak ada kelebihan antara orang Arab dan ajam, kecuali dari segi taqwa dan Islam juga menegakkan perundangan. Beliau membicarakan tentang fitnah dengan mengambil contoh fitnah yang dilemparkan kepada Aishah r.a. yang amat menyakiti Rasulullah, tetapi dibersihkan oleh Allah. Tuduhan fitnah (zina) memerlukan empat saksi, sekiranya dusta yang membuat fitnah dihukum.

Sheikh Yusuf al-Qardhawi menyampaikan Syarahan Perdananya selama dua jam (termasuk terjemahan).


Sumber : http://drshafie.blogspot.com/2009/12/peluang-bersama-dengan-allamah-sheikh.html

No comments: