Friday, May 29, 2009

Sedekah

"Saya dari sekolah anak yatim di Kedah, saya menjual minyak angin untuk mengisi tabung sekolah dan abang juga boleh menderma ikhlas.."

"Nah dik, abang derma. Tapi tak beli minyak angin tu"

"Terima kasih bang, semoga Allah murahkan rezeki abang"

Selalu peminta sedekah/derma datang untuk meminta sumbangan daripada kita dalam pelbagai cara. Ada yang menjual ubat seperti di atas, ada yang mendukung anak, ada yang budak, ada pula emak budak, malah orang kurang upaya juga.

Kadang-kadang bila ikut mood kita, terus saja bagi duit. Jika mood agak kurang, kita akan bagi juga tapi dengan banyak tanya. Jika mood kurang baik lagi, kita bagi dengan muka masam dengan hati yang tidak ikhlas. Jika tidak kena masanya, kita tidak bagi langsung, malah memarahi pula peminta sedekah/derma ini.

Pelbagai persoalan kita timbulkan:

- Mereka ini sihat, kenapa tidak bekerja?
- Mereka ini tidak sekolah ke?
- Mana ibu bapa mereka?
- Kerajaan tidak tolong ke?
- Sindiket agaknya ni
- Dah dapat banyak duit, minta lagi?
- Dah bagi tadi, orang lain pula minta

Namun, adakah kita memikirkan perkara yang tersirat di samping perkara yang tersurat tadi? Cuba selak-selak Al-Quran dan juga hadis, betapa memberi sedekah/derma ini mempunyai nilai tinggi di sisi Allah dan Rasul-Nya. Antaranya:

"Adapun orang yang memberikan (hartanya di jalan Allah) dan bertaqwa dan membenarkan adanya pahala yang terbaik (syurga) maka Kami kelak akan menyiapkan baginya jalan yang mudah"
(Al-Lail : 5-8)

"Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh bulir, pada tiap-tiap bulir seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah maha luas (kurnia-Nya) lagi maha mengetahui
(Al-Baqarah : 261)

"Dari Abu Hurairah RA, bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda : Bila seseorang hamba Allah telah mati, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariyah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh"
(HR Bukhari)

Mengapa wujud peminta sedekah/derma?

- Memudahkan kita untuk dapat pahala, kerana "pahala" itu sendiri datang kepada kita, bukan kita yang mencarinya
- Kerana memberi peluang kepada kita untuk beramal dengan mendermakan sedikit harta kita pada yang kurang bernasib baik
- Kerana memberi keberkatan pada harta kita, kerana orang miskin ada hak ke atas harta kita
- Menguji tahap kesabaran kita untuk berkorban harta
- Menguji tahap keimanan kita terhadap janji-janji Allah terhadap pemberi-pemberi sedekah
- Orang kata mungkin mereka adalah penyamaran malaikat untuk menguji kita (Wallahu'alam)
- Sebagai kaedah pemurah rezeki, ia pasti dibalas tetapi dengan kaedah berlainan


Biar sedikit, tapi ikhlas dan berterusan
Jangan banyak, tapi menunjuk dan beralasan
Sedikit atau banyak, tidak pula mengharap pembalasan

Fikirkan dan semoga bermanfaat.

Sumber : http://www.shahrulredzuan.com/

1 comment: