الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhan-Nya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian.
Firman Allah dalam ayat 77 surah al-Qosas :
وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ ۖ وَلَا تَنْسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا ۖ وَأَحْسِنْ كَمَا أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَ ۖ وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الْأَرْضِ ۖ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ
“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan “.
Kini kita berada di penghujung bulan Mei di mana pada bulan ini diadakan beberapa hari peringatan yang penting dalam kalendar masyarakat setempat mahupun antarabangsa. Antaranya ialah Hari Pekerja yang disambut setiap 1 Mei bagi mengenang jasa para pekerja yang mengerah segala usaha dan tenaga dalam memajukan pelbagai sektor yang membawa kepada kemajuan negara. Bila kita bercakap berkenaan dengan kerja maka Islam menggalakkan umatnya bekerja dengan mengikut lunas yang telah disyariatkan antaranya mestilah kerja itu adalah halal bukannya terlibat dengan perniagaan haram seperti arak, judi, riba dan sebagainya. Islam tidak melarang umatnya daripada bekerja dan mencari harta kekayaan asalkan menjaga batas syara' seperti menutup aurat, menjaga pergaulan antara pekerja lelaki dan perempuan, amanah dalam melaksanakan tugasan dengan menjauhi pecah amanah, rasuah dan sebagainya. Kita tidak mahu umat Islam terkena racun yang disuntik oleh jarum yahudi yang menggalakkan pergaulan bebas antara pekerja yang menyebabkan berlakunya gangguan seks di tempat kerja. Islam juga mewajibkan manusia menjaga hak masing-masing samada hak majikan atau pekerja bawahan.
Manusia mempunyai perasaan bukannya mesin yang boleh dilakukan sesuka hati sebagaimana ajaran kapitalisme yang menganggap pekerja adalah hamba majikan yang diikat dengan perjanjian sehingga masih ramai pekerja walau pun siang malam bekerja tetapi gaji yang diterima masih di bawah tahap kemiskinan sedangkan keuntungan yang dikaut oleh majikan begitu tinggi. Islam turut mengingatkan umatnya bahawa dalam mencari rezeki jangan melalaikan kita daripada mengingati Allah dan menambah bekalan akhirat kita. Jangan asyik mengejar dunia sehingga akhirat kita entah ke mana. Ingatlah suatu pesan nabi
قال الرسول e : لَوْ كَانَ ِلابْنِ آدَمَ وَادِيَانِ مِنْ مَالٍ لاَ بْتَغَى ثَاِلثًا وَلاَ يَمْلأُ جَوْفَ ابْنِ آدَمَ إِلا َّالتُّرَابُ وَ يَتُوْبُ اللهِ عَلَى مَنْ تَابَ
"Seandainya anak Sdam mempunyai 2 lembah harta tentu dia masih menginginkan lembah harta yang ketiga. Sedangkan yang sebenar memenuhi perut anak Adam hanyalah tanah-tanah suburnya dan Allah tetap menerima taubat orang yang ingin bertaubat"– HR imam Bukhari dan Muslim
Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 14 surah Luqman :
وَوَصَّيْنَا الْإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَىٰ وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ
"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)"
Bulan Mei juga disambut Hari Ibu walau pun ia merupakan amalan masyarakat barat yang semakin hilang perasaan hormat dan kasih pada ibu sehingga ramai ibu yang lebih rapat dengan kucing atau anjing belaan daripada anak-anak sendiri. Tidak salah untuk kita turut merai Hari Ibu asalkan jangan pada hari yang lain kita terus mengabaikan kebajikan terhadap ibu kita. Betapa ramai umat Islam sendiri pada hari ini yang kurang memberi perhatian sewajarnya terhadap ibu sedangkan ibu inilah yang berpenat lelah mengandung kita dalam kandungan selama 9 bulan seterusnya menyabung nyawa ketika melahirkan kita. Sikap mengejar kebendaan antara penyakit utama yang menyebabkan ramai ibu yang dipinggirkan. Sibuk dengan kerja, tidak ada masa luang dan pelbagai lagi alasan diberikan apabila ditanya berkenaan dengan kebajikan ibu. Ada yang rasa sudah cukup sekadar menghulurkan wang bulanan atau menyerahkan ibu untuk dijaga di rumah orang-orang tua.
Apa yang malang apabila anak-anak ini tanpa rasa bersalah mengungkitkan segala pemberian mereka kepada ibu sedangkan mereka wajib sedar bahawa harga setitik air susu ibu tidak mampu dibayar dengan harta benda dunia. Ajaran yang diterima daripada kecil turut memberi kesan terhadap rasa tanggungjawab seorang anak terhadap ibunya. Jika pemikiran anak-anak tertanam bahawa wang adalah segalanya maka bagi mereka cukup sekadar wang sebagai tanda kasih pada ibu tanpa perlu lagi kepada perhatian dan kasih sayang. Betapa ramai ibu yang sanggup mati demi memastikan anaknya terus hidup sedangkan betapa ramai anak yang menginginkan ibunya lekas mati supaya tidak lagi menjadi bebanan hidupnya. Ingatlah Islam meletakkan ibu di tempat yang mulia. Keredhaan Allah terletak kepada keredhaan ibu, kemurkaan Allah terletak kepada kemurkaan ibu
عَنْ جَاهِمَة السُّلَمِيِّ جَاءَ إِلىَ رَسُوْلِ اللهِ e فَقَالَ : يَا رَسُوْلَ اللهِ أَرَدْتُ الغَزْوَ وَجِئْتُكَ أَسْتَشِيْرُكَ فَقَالَ : هَلْ لَكَ مِنْ أُمٍّ, قَالَ: نَعَمْ, فَقَالَ : الزَمْهَا فَإِنَّ الجَنَّةَ عِنْدَ رِجْلَيْهَا
"Daripada Jahimah al-Sulami bahawa dia datang menemui Rasulullah s.a.w lalu berkata : Wahai Rasulullah! Aku ingin berperang, dan aku datang untuk berbincang. Rasulullah bertanya : Adakah engkau mempunyai ibu?. Dia menjawab : Ya!. Rasulullah bersabda : Dampingilah dia sesungguhnya syurga terletak di kedua kaki ibu" – HR al-Hakim
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 79 – 80 surah al-Qosas :
فَخَرَجَ عَلَىٰ قَوْمِهِ فِي زِينَتِهِ ۖ قَالَ الَّذِينَ يُرِيدُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا يَا لَيْتَ لَنَا مِثْلَ مَا أُوتِيَ قَارُونُ إِنَّهُ لَذُو حَظٍّ عَظِيمٍ وَقَالَ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ وَيْلَكُمْ ثَوَابُ اللَّهِ خَيْرٌ لِمَنْ آمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا وَلَا يُلَقَّاهَا إِلَّا الصَّابِرُونَ
"Kemudian Qarun keluar kepada kaumnya dengan memakai perhiasannya. (Pada saat itu) berkatalah orang-orang yang semata-mata inginkan kesenangan kehidupan dunia: “Alangkah baiknya kalau kita ada kekayaan seperti yang didapati oleh Qarun! Sesungguhnya dia adalah seorang yang bernasib baik”. Dan berkata pula orang-orang yang diberi ilmu (di antara mereka): “Janganlah kamu berkata demikian, pahala daripada Allah lebih baik bagi orang yang beriman dan beramal soleh; dan tidak akan dapat menerima (pahala yang demikian) itu melainkan orang-orang yang sabar"
Setiap 16 Mei disambut Hari Guru bagi mengenang jasa guru yang melahirkan manusia berjasa termasuk pemimpin negara. Pada hari ini kita bercakap berkenaan penderhakaan terhadap guru yang begitu ketara sehingga diperkatakan sekarang berkaitan mahu mengembalikan hukuman rotan di sekolah serta hukuman berat kepada Mat Rempit yang kebenyakannya remaja. Antara puncanya ialah dasar pendidikan negara yang lebih cenderung kepada pendidikan sains dan teknologi sesuai dengan peredaran zaman tanpa memberi penekanan kepada pendidikan agama sebagai perisai konkrit untuk berdepan dengan cabaran semasa. Tanpa didikan agama, manusia seolah-olah tidak memiliki matlamat hidup yang jelas dan tidak berasa takut untuk melakukan sesuatu perkara biarpun bercanggah dengan agama.
Indeks gejala sosial semakin melonjak adalah disebabkan institusi keluarga yang pincang, cetek pendidikan agama, pembangunan tidak seimbang, pengaruh media massa dan rakan sebaya. Kita hidup dalam zaman fitnah di mana harta dipuja agama dihina, dunia dikejar akhirat ditinggal. Manusia lebih hormat kepada sesiapa yang mampu memberikannya kesenangan dunia daripada sayang kepada ulama’ yang menunjukkan jalan yang betul dalam mengurus dunia berasaskan agama serta bagaimana cara untuk meraih kebahagiaan yang kekal di akhirat nanti.
Firman Allah dalam ayat 9 surah al-Munafiqun:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلَا أَوْلَادُكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ ۚ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi."
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Sumber : http://ekhutbah.wordpress.com/
No comments:
Post a Comment