KALENDAR KULIAH PENGAJIAN SURAU AN-NUR

Sunday, February 15, 2009

Buku Telaga Budi Karangan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat

"Tiada pemimpin yang menggunakan Islam seistiqamah beliau dalam apa jua keadaaan. Sekali gus, tiada ulama yang memiliki wilayah pemerintahan untuk diuji kekesanan Islam bawaan Nabi-Nabi & rasul-Rasul selain dari(pada) Nik Abdul Aziz"

SEPAUT KATA DI TELAGA BUDI

Bismillah...

Telaga terlalu sinonim dengan alam desa. Ia sumber kehidupan. Ia lazimnya redup. Ia sumur tempat menghilang dahaga. Ia menyejukkan. Ia tempat utama takungan budi. Hanya ahlinya jualah yang sedia memahami hikmah kata-katanya.

Menyedari Tok Guru Nik Abd Aziz rata-rata dilihat istimewa, bahkan sering membawa gaya yang ganjil berkelainan, kami cuba mendekati kata-katanya itu. Ini kerana lontarannya acap mengundang pelbagai reaksi. Ada juga yang mencemuh & ramai pula yang terpukau. Dalam rangka & dimensi inilah buku TELAGA BUDI mengahdirkan diri.

Proses pembikinan buku ini dimulakan dengan cerewet. Kami secara terbuka ingin mengaku bahawa kami cermat, bahkan terlalu cermat kerana terlampau cerewet. Kami selektif. Hanya yang mencabar minda & menuntut justifikasi lanjut daripada kata-katanya sahaja yang kami angkat. Justeru, tampillah sehimpun kata-kata seorang Tok Guru untuk dikupas & diperisikan. Alhamdulillah. Kini, antara isi & tulang yang dengan teliti diasingkan di 2 tempat, buku ini cuba mewajarkan sebuah tunjuk arah & jalan ke hadapan. Soalnya, kenapa Nik Abdul Aziz meletakkan ayat-ayat sedemikian? Adakah Nik Abdul Aziz tersalah atau ada sesuatu unsur penyebab yang menyebabkan ia disebut begitu?

Dengan latar belakang Islam sepenuhnya yang boleh dijejaki daripada biografi hidupnya, tidak syak lagi apa yang keluar daripada beliau adalah kata-kata yang terbit dari hening telaga ilmu berteraskan keimanan & keyakinan. Tidak mungkin segayung air yang jernih diceduk dari telaga yang keruh. Masakan!

Dalam setengah-setengah keadaan kata-kata Tok Guru sudah menjadi ringkas. Ia padat seperlunya justeru ia mengusung makna hikmah yang berlapis, kesan jalan ilmu berliku yang ditempuhinya. Ia sudah bernilai metafisika. Bagaikan madah & kata-kata falsafah seperti yang pernah disebut Gothe, kata-kata yang bernilai sedemikian disebut begini:

"The weeding out of all the unnecessary details & left us the GIST the essentials - the proverbs. They are the wisdom of the ages in the fewest words"

Kata-kata Tok Guru Nik Abdul Aziz kadang-kadang sudah mencecah nilai-nilai klasik sezaman yang boleh diuji & tahan uji.

Kami tidak mahu mengatakan buku ini terbaik tetapi kami boleh berani katakan yang ia lebih baik daripada mana-mana buku himpunan kata-kata orang besar-besar dunia. Ia semata-mata kerana kata-kata beliau kukuh bersandar. Jika ia sehimpun kayu, duduknya terletak. Di sana ada Allah & bahu Rasul-Nya yang sedia menanggung.

Semoga budi yang kami taburkan dalam pusingan ini tidak sia-sia. Ya Allah, perkenankanlah. Wallahua'lam.

Dari meja Anbakri Publika, 23 Muharram 1430 bersamaan 20 Januari 2009

No comments: