KALENDAR KULIAH PENGAJIAN SURAU AN-NUR

Friday, July 31, 2009

Islam Terlaksana Maruah Terjaga

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 144 surah al-Baqarah :
قَدْ نَرَى تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِي السَّمَاء فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةً تَرْضَاهَا فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّواْ وُجُوِهَكُمْ شَطْرَهُ وَإِنَّ الَّذِينَ أُوْتُواْ الْكِتَابَ لَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِن رَّبِّهِمْ وَمَا اللهُ بِغَافِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ
"Sesungguhnya Kami lihat engkau sentiasa mengadah ke langit, maka Kami palingkan engkau (menghadap) ke kiblat yang engkau ingini. Sebab itu, palingkanlah mukamu ke pihak Masjidil Haram. Dan di mana saja kamu berada, hadapkanlah mukamu ke pihaknya. Dan sesungguhnya orang yang diberi kitab mengetahui bahawasanya itu adalah kebenaran daripada Tuhan mereka. Dan Allah tidak lalai terhadap apa pun yang kamu kerjakan."


Kini kita berada pada awal bulan Sya’aban yang pernah melakar beberapa peristiwa besar dalam sejarah Islam antaranya peristiwa perubahan Qiblat daripada mengadap ke arah Masjid al-Aqsa di Palestin ketika mula-mula sampai di Madinah kepada mengadap Ka’abah di Masjidil Haram, Mekah selepas 16 atau 17 bulan Rasulullah s.a.w memohon daripada Allah. Pertukaran qiblat ini telah menghentikan ejekan kaum yahudi terhadap nabi Muhammad s.a.w dan para muslimin kerana yahudi menganggap baginda tidak benar serta tidak tetap pendirian kerana terpaksa menghadap ke arah qiblat yang sama dengan yahudi iaitu Baitul Maqdis. Peristiwa ini memberi pengajaran besar kepada umat Islam agar kita mesti memerdekakan diri kita daripada mengikut jejak langkah musuh Islam terutama Yahudi dan Kristian dalam setiap aspek kehidupan samada dalam sistem ekonomi, sosial, politik, perundangan dan sebagainya. Selagi sistem yang digunakan oleh umat Islam masih berqiblat kepada sistem kuffar maka selagi itulah kita terus mundur dan terjajah dalam negara sendiri.

Kita dapat saksikan bagaimana umat Islam sendiri kini hilang identiti akibat meninggalkan solat, terlibat dengan pergaulan bebas yang menjurus kepada zina, minum arak, menagih dadah dan paling teruk keruntuhan aqidah. 2 minggu lepas kita mendengar berita tentang kematian Bertha atau nama Islamnya dulu Natrah yang pernah meninggalkan nostalgia berdarah pada tahun 1950 apabila dia dirampas daripada keluarga angkat dan suami tercinta seterusnya dimurtadkan oleh keluarga asal di Belanda. Kini bukan lagi anak angkat berbangsa Inggeris yang dimurtadkan tetapi anak orang Islam sendiri sebagaimana peristiwa pemurtadan secara terancang Aisyah Bukhari, Kartina Kamarudin dan ramai lagi, tidak terkecuali Lina Joy. Malahan minggu lepas kecoh di Universiti Putra Malaysia (UPM) apabila 9 penganut Kristian termasuk dua pelajar UPM sendiri ditangkap atas dakwaan cuba menukar agama pelajar universiti tersebut. Walau pun mereka telah dibebaskan dengan dakwaan tidak melakukan perkara tersebut namun kita mesti berhati-hati supaya golongan yang cuba melanggar undang-undang negara yang melarang seseorang bukan Islam menyebarkan agama kepada seorang Muslim dapat disekat.

Beringat sebelum kena, cegah sebelum parah, sekat sebelum merebak. Akibat umat Islam hilang identiti dan mandul perasaan terhadap agama menyebabkan kes murtad menjadi suatu perkara biasa yang tidak perlu dibimbangkan

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 74 surah an-Nisa’ :

فَلْيُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ الَّذِينَ يَشْرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا بِالآخِرَةِ وَمَن يُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ فَيُقْتَلْ أَو يَغْلِبْ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا
"Oleh itu (orang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada kesenangan dunia hendaklah mereka berperang pada jalan Allah. Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu dia gugur syahid atau beroleh kemenangan maka Kami akan menganugerahkannya ganjaran pahala yang besar"

Bulan Sya’aban juga pernah berlakunya Peperangan Bani Mustaliq iaitu pada tahun 6 Hijrah . Peperangan ini meletus selepas Rasulullah s.a.w bertindak pantas menghantar tentera apabila mendengar bahawa Bani Mustaliq pimpinan al-Harith bin Abi Dirar sedang bersiap untuk menyerang umat Islam. Tindakan Nabi itu telah menyebabkan perancangan jahat Bani Mustaliq dapat dipatahkan dengan mudah sehingga ramai yang menjadi tawanan. Inilah kehebatan dan ketegasan kerajaan Islam di bawah pimpinan Rasulullah s.a.w yang tidak mampu dipermain dan diperlekehkan oleh musuh Islam sesuka hati kerana meletakkan Islam di tempat mulia.

Tidak sebagaimana umat Islam hari ini yang dijangkiti penyakit terlalu cinta dengan dunia dan takut kepada mati terus berdepan dengan keganasan musuh Islam silih berganti tanpa pembelaan sewajarnya. Belum reda pembunuhan kejam di Masjid Selatan Thailand kini kita dapat menyaksikan bagaimana adanya umat Islam Uighur, China ditembak di depan masjid secara rambang. 6 Julai sahaja menyaksikan hampir 200 umat Islam ditembak mati oleh polis China secara rambang, 800 cedera dan lebih seribu yang dipenjara.

Perlu diketahui bagaimana umat Islam berbangsa Uighur telah dijajah semenjak 1949 sehingga dipaksa menganut fahaman komunis dengan meninggalkan Islam. Sesiapa yang didapati sembahyang akan dikupas kulit kepala, tapak kaki dan dicabut kaki dan kepala menggunakan trak, diseksa dalam penjara tanpa diberi mandi dan melihat cahaya matahari selama 1 – 2 tahun, dimasukkan bom dalam kemaluan perempuan. Kekejaman ini seolah mahu dimulakan kembali terhadap umat Islam sehingga umat Islam dilarang menunaikan haji bermula 2007, umat Islam bawah 18 tahun dilarang ke masjid dan ada masjid ditutup daripada solat Jumaat dan Fardhu atas alasan bimbang membangkitkan semangat untuk merusuh.

Begitu juga pembunuhan kejam pada 1 Julai lalu terhadap seorang ibu muda bernama Marwah Syarbini yang berasal dari Mesir di mana beliau yang sedang mengandung 3 bulan ditikam sebanyak 18 kali oleh seorang pemuda Jerman berbangsa Rusia dalam Mahkamah Jerman ketika membicarakan kes pemuda tersebut yang mengganggu dan menghina beliau semata-mata kerana bertudung. Apa yang lebih kejam apabila suaminya yang ingin membantu isterinya daripada ditikam, telah ditembak oleh pasukan keselamatan Jerman sehingga cedera parah dengan alasan tersilap tembak.

Umat Islam diperlakukan lebih hina daripada binatang oleh musuh Islam. Namun sedihnya dunia cuba menyembunyikan pembunuhan kejam ini dan Marwah Syarbini disemadikan di Mesir dengan kehadiran umat Islam yang agak ramai walau pun tidak sehebat dunia meratap kehilangan Raja Pop Michael Jackson. Begitu juga dengan penderitaan umat Islam di Palestin yang terus dibunuh dan dirampas tanah mereka oleh Zionis Yahudi tanpa dibantu oleh kerajaan umat Islam yang lain.

Kita berasa kecewa dengan tindakan Menteri Pertahanan negara kita yang sanggup duduk semeja dengan pembunuh Ehud Barak Menteri Pertahanan Israel bagaikan mengiktiraf negara haram tersebut dan menghalalkan pembunuhan saudara seagama di Palestin bumi Isra’ Mikraj dan Qiblat pertama umat Islam.

Sidang Jumaat Yang diberkati Allah ,

Firman Allah dalam ayat 11 surah an-Nur :
إِنَّ الَّذِينَ جَاءُوا بِالإِفْكِ عُصْبَةٌ مِنْكُمْ ۚ لاَ تَحْسَبُوهُ شَرًّا لَكُمْ ۖ بَلْ هُوَ خَيْرٌ لَكُمْ ۚ لِكُلِّ امْرِئٍ مِنْهُمْ مَا اكْتَسَبَ مِنَ الإِثْمِ ۚ وَالَّذِي تَوَلَّىٰ كِبْرَهُ مِنْهُمْ لَهُ عَذَابٌ عَظِيمٌ
"Sesungguhnya orang yang membawa berita bohong itu adalah dari kalangan kamu juga. Janganlah kamu anggap bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik untukmu. Setiap orang dari mereka mendapat balasan daripada dosa yang dikerjakannya. Dan sesiapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam menyiarkan berita bohong itu maka baginya azab yang amat besar"

Ketika pulang dari Peperangan Bani Mustaliq ini tersebarnya khabar Ifk atau berita bohong yang dilempar terhadap diri Siti Aisyah yang dituduh melakukan perbuatan sumbang dengan Safwan bin al-Mu’tal. Fitnah ini dimainkan oleh golongan munafik pimpinan Abdullah bin Ubai bagi menjatuhkan maruah Rasulullah s.a.w sendiri sebagai nabi dan suami, maruah Abu Bakar dan isterinya Ummu Ruman sebagai ibubapa kepada Siti Aisyah, maruah Siti Aisyah sendiri sebagai isteri nabi, maruah Safwan bin al-Mu’tal sebagai seorang muslim yang setia kepada Islam dan maruah seluruh umat Islam yang lain.

Fitnah ini begitu kuat sehingga Rasulullah s.a.w sendiri tidak mampu berbuat apa-apa terutama wahyu tidak turun selama sebulan selepas peristiwa tersebut. Akhirnya turunnya ayat 11 surah an-Nur yang menjelaskan bagaimana bersihnya Siti Aisyah daripada sebarang tuduhan liar yang ditujukan kepadanya. Selepas itu, Rasulullah s.a.w sendiri meminta agar diselidik mengenai orang yang mula-mula menaburkan fitnah yang dahsyat ini di mana akhirnya 3 orang dihukum dengan hukuman qazaf 80 kali sebatan iaitu Hasan bin Thabit, Musytaq dan seorang perempuan bangsawan Quraisy. Peristiwa ini memberi pengajaran yang begitu besar kepada umat Islam supaya berhati-hati dan cermat terutama dalam berdepan dengan fitnah dan tuduhan liar terhadap Islam dan umatnya. Pada hari ini menjadi suatu kebiasaan menuduh orang berzina atau liwat tanpa bukti demi menjatuhkan maruah seseorang untuk kepentingan diri.

Sempena berada pada hari Jumaat yang mulia maka kita buat kalinya mendesak agar undang-undang rimba ISA dihapuskan. Umat Islam bermaruah dan bencikan kezaliman diseru untuk datang ke Kuala Lumpur pada hari Sabtu depan 1 Ogos bagi menghadiri Himpunan 100 ribu mansuhkan ISA.

Umat Islam juga dianjurkan untuk banyakkan solat hajat dan berdoa kepada Allah agar dilembutkan hati pemimpin untuk menghapuskan ISA yang menyebabkan tahanan dan ahli keluarga mereka menderita. ISA bukan untuk menjaga kemananan negara sebaliknya untuk mempertahankan pemimpin daripada pangkat yang ada. ISA adalah suatu tindakan yang zalim dan kejam yang bukan sahaja bercanggah dengan semangat demokrasi malah bertentangan dengan Islam.

Takutlah pada amaran Allah melalui ayat 58 surah Al-Ahzab :
وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ بِغَيْرِ مَا اكْتَسَبُوا فَقَدِ احْتَمَلُوا بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُّبِينًا

"Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti (menyeksa) mukiminin atau mukminat dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan perbuatan atau kesalahan yang dilakukan, maka sesungguhnya mereka itu menanggung pembohongan dan dosa besar yang nyata”

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Baca lagi...

Tuesday, July 28, 2009

Buku Tundukkan Hati - Edisi Kemaskini Telah Terbit


TUNDUKKAN HATI. Buku yang cuba membelek keikhlasan kita, sebenarnya cuba menyemak kesan terhadap hati daripada segala aktiviti perhambaan. Alhamdulillah. Kesan daripada sambutan terhadapnya yang telah melepasi garis biasa mendesak kami untuk segera menerbitkannya dalam nafas yang lebih segar. Lazimnya, pokok yang dipupuk semula, digembur dan dibajai akan lebih redup naungannya. Ia akan menerbitkan buah yang lebih ranum untuk dikupas dan dinikmati. Demikian jualah dengan versi Tundukkan Hati yang kami kemaskinikan buat kali kedua. Insya-Allah, ia tegar tunduk. Namun, ia masih tetap merendah untuk meramahi penikmatnya.
Bagaimana untuk menjadi bijaksana? Jawapannya, kita mesti menjadi manusia yang zuhud untuk menjadi bijaksana. Orang yang zuhud akan sentiasa merasakan bahawa dunia ini cepat hilang, punah, hancur dan akan berkurangan. Allah SWT telah berfirman dalam surah al-A’la ayat 70 yang bermaksud:
“…Dan akhirat adalah lebih baik dan kekal.”

Malah, nasihat Nabi Isa AS kepada sahabat-sahabatnya:
“Masuklah ke dalam dunia, tetapi jangan engkau menyibukkan diri di dalamnya.”

Abu Hurairah RA meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda:
”Kekayaan tidak dinilai daripada banyaknya harta, tetapi kekayaan jiwa.”
Orang yang kaya jiwa lebih tenang hidupnya kerana taqarrub mereka kepada Allah SWT. Mereka menumpahkan perhatian untuk memburu bekalan akhirat. Seperti orang lain, mereka juga menjalani kehidupan yang normal, namun apa yang membezakan mereka adalah tingkat keimanan yang sangat utuh. Mereka memilih untuk mencintai akhirat berbanding dunia. Lantaran itu, Rasulullah SAW memandang mereka sebagai ‘orang kaya’ walaupun mereka ini tidak mempunyai jumlah harta yang melimpah ruah. Ingat atau zikir kepada Allah SWT penting mendidik peribadi Muslim. Mengingati Allah SWT memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia. Dengan zikir manusia akan mengenal Allah SWT, mengenal diri dan mengakui kelemahannya. Selain itu, mengingati Allah SWT juga akan melahirkan keyakinan bahawa ketaatan yang dilakukannya adalah kurniaan Allah SWT. Kesannya, sifat ujub, bangga diri dan sebagainya dapat dihindari. Ayuh! Pupuklah cinta kepada akhirat!

Judul: Tundukkan Hati
Karya: Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat
Halaman: 157
Harga: S/M: RM15.00, S/S:RM18.00

http://www.anbakri.com/

Baca lagi...

Monday, July 27, 2009

SEMINAR DUNIA ISLAM KONTEMPORARI – CABARAN DAN HALA TUJU MASA DEPAN

SEMINAR DUNIA ISLAM KONTEMPORARI – CABARAN DAN HALA TUJU MASA DEPAN

TARIKH : 15 - 16 OGOS 2009
TEMPAT : AUDITORIUM ABU ZARIM,
TNB INTERGRATED LEARNING SOLUTION (ILSAS),
KM 7, JLN KAJANG-PUCHONG, BANDAR BARU BANGI,
SELANGOR DARUL EHSAN (DALAM KAMPUS UNITEN)

ANJURAN : PERSATUAN ULAMA MALAYSIA (PUM) &
TNB INTERGRATED LEARNING SOLUTION (ILSAS)

TAJUK & PEMBENTANG

Dunia Islam Kontemporari : Cabaran dan Halatuju
Oleh : Dato’ Sheikh Abdul Halim Abd Kadir (PUM)

Masa Depan Dunia Islam Era Obama
Oleh : YBhg. Profesor Dato' Paduka Mohamad Bin Abu Bakar (UM)

Menyantuni Konflik Palestin dan Harapan Masa Depan
Oleh : Dr. Mohd Roslan Mohd Nor (APIUM)

Aliran Baru Politik di Malaysia
Oleh : Prof. Dr. Mohammad Redzuan Othman (UM)

Kedudukan Non Muslim di Negara Islam
Oleh : Prof. Madya Dr. Ahmad Zaki bin Ibrahim (APIUM)

Pelaksanaan Syariah Islam di Malaysia: Cabaran dan Harapan
Oleh : Prof. Dato’ Paduka Dr. Mahmood Zuhdi Ab Majid (UIAM)

Perlaksanaan Syariah Islam: Pengalaman Aceh
Oleh : Prof. Dr Tgk. H. Muslim Ibrahim (MPU) Aceh

Jihad Ekonomi & Pemilikan Equiti Melayu-Muslim di Malaysia
Oleh : Tan Sri Dato’ Muhammad Ali Hashim – (Johor Corporation

Konflik Muslim Minoriti di Thailand dan Filipina
Oleh : Tuan Hj. Mohd Azmi Abdul Hamid TERAS

Menangani Masalah Khilafiah di Malaysia
Oleh : Dato’ Sheikh Mohamad Nor Mansor Al-Hafiz (JAI Negeri Perak)

Menangani Masalah Khilafiah di Malaysia
Oleh : Prof. Madya Dr. Fauzi Deraman (APIUM)


Seminar ini akan dilangsungkan selama dua hari bermula pendaftaran dari jam 8.00 pagi (15 Ogos 2009) dan berakhir 2.00 petang (16 Ogos 2009).

Yuran Penyertaan :

Pertubuhan / Agensi Jabatan : RM200.00
Individu : RM100.00
Pelajar / Mahasiswa (Ijazah Pertama) : RM 50.00

Bayaran adalah untuk kit seminar, jamuan ringan dan makanan serta kos pengurusan.

Pendaftaran Penyertaan :

Untuk penyertaan seminar, sila buat pendaftaran sebelum atau pada 13 Ogos 2009 dengan menghubungi:

Talian : 013-384 0710 / 016-274 6550 (Sdra. Azmi)
03-7955 4300 (PUM)
Faks : 03-7955 4300 (PUM)
Email : pumpusat@yahoo.com
Blog : http://ulamadaily.blogspot.com

Alamat :
PERSATUAN ULAMA’ MALAYSIA
8-4, The Right Angle, Jalan 14/22, Sekysen 14,
46100 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan
Baca lagi...

Sunday, July 26, 2009

SEMINAR FENOMENA NAJIS MUGHALLAZAH DALAM DUNIA KONTEMPORARI

Tarikh : Sabtu, 08 ogos 2009

Masa: 8.00 pagi – 5.00 petang

Tempat: Dewan Auditorium SIRIM Berhad,

No. 1, Persiaran Dato' Menteri, seksyen 2, Shah Alam, Selangor

Anjuran : Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Selangor (PUMSEL),

Persatuan Kakitangan Islam SIRIM (PERKIS),

Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia (PMIUPM) dan

Fakulti Perubatan Veterinar Universiti Putra Malaysia

Tajuk dan Pembentang :

”Standard Halal MS 1500:2004 – Pengenalan” - Ustaz Mohd Yusof Arbain (SIRIM Berhad)

“Babi Menurut Perspektif Aqidah Islam Dan Agama-Agama Lain” - Ustaz Rumaizi bin Ahmad (PUM Selangor)

“Ikhtilaf (Perbezaan Pendapat) Ulama Dalam Masalah Babi" - Ustaz Mohd Nidzam Abdul Kadir (UIAM)

“Pendekatan Istihalah (Transformasi) Dalam Produk Yang Berunsurkan Babi” - Dr. Saadan Bin Man (APIUM)

“Penggunaan Babi Dalam Sains dan Teknologi” - Prof. Dato’ Dr Sheikh Omar Abdul Rahman (UPM)

“Keperluan Penternakan Babi Moden di Malaysia”- Prof Madya Dr. Loh Teck Chwen (UPM)

“Penternakan Babi dan Hak Bukan Islam Dalam Negara Islam : Satu Tinjauan Berdasarkan Siyasah Syar’iyyah dan Sejarah Islam” - Dr. Mohd Roslan Mohd Nor (APIUM)

“Bahan-bahan Babi dalam Kepenggunaan Menurut Pandangan Hukum Fikah” - Ustaz Haji Zainal Abidin Jaafar (HDC)

“Aplikasi Sains Dalam Mengesan Produk Babi Dalam Makanan Dan Perubatan”- Prof Madya Dr. Suhaimi Mustafa (UPM)

”Babi dalam Pendidikan Veterinar : Suatu Panduan Menurut Fikah”- SS. Dato’ Setia Hj. Mohd Tamyes Abdul Wahid (Mufti Selangor)

Yuran Penyertaan :

Pertubuhan / Agensi Jabatan : RM150.00

Individu : RM 50.00

Pelajar / Mahasiswa (Ijazah Pertama) : RM 10.00

Bayaran adalah untuk seorang peserta meliputi kertas seminar dan makanan.

Pendaftaran Penyertaan :

Sila buat pendaftaran sebelum atau pada 06 Ogos 2009 dengan menghubungi:

Talian : 013-384 0710 (Azmi), 013-3007 193 (Sarah), 013-2221 579 (Ahani)

03-7955 4300 (PUM)

Faks : 03-7955 4300 (PUM)

Email : pumpusat@yahoo.com

Blog : http://ulamadaily.blogspot.com

Alamat :

Persatuan Ulama’ Malaysia

8-4, The Right Angle, Jalan 14/22, Sekysen 14,

46100 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan
Baca lagi...

Saturday, July 25, 2009

Forum Perdana Ehwal Islam : Membentuk Mukmin Sejati


Tarikh : 31hb Julai 2009 (Jumaat)
Masa : 8.30 malam
Tempat : Masjid Al-Azim, Pandan Indah, Hulu Langat, Selangor

Ahli Panel : Dato' Dr Haron Din, Dato' Hashim Yahya & Dr Ridhuan Tee Abdullah
Moderator : YB Dato' Dr Hasan Mohd Ali
Baca lagi...

Sunday, July 19, 2009

Sila Daftar Alamat Email Anda Untuk Mendapatkan Posting Terbaru

Salam

Untuk makluman, saya telah memasukkan feature baru di mana tuan-tuan dan puan-puan boleh mendapatkan posting terbaru dari laman-annur.blogspot.com dengan cepat.

Apa yang perlu dilakukan, hanyalah dengan mendaftarkan alamat email tuan-tuan dan puan-puan di bahagian seperti di bawah.

Tuan-tuan dan puan-puan boleh melihatnya di bahagian kanan blog ini.

Semoga kemudahan ini dapat mempercepatkan makluman posting terbaru kepada
tuan-tuan dan puan-puan

Lamanannur@yahoo.com
Baca lagi...

Sedikit Renungan Dicelah Kesibukan Kita Setiap Hari

Dalam suatu pertemuan iblis, syaitan dan jin, dikatakan: "Kita tidak dapat melarang kaum muslim ke Masjid", "Kita tidak dapat melarang mereka membaca Al-Qur'an dan mencari kebenaran", "Bahkan kita tidak dapat melarang mereka mendekatkan diri dengan Tuhan mereka Allah dan Pembawa risalahNya Muhammad", "Pada saat mereka melakukan hubungan dengan Allah, maka kekuatan kita akan lumpuh."

"Oleh sebab itu, biarkanlah mereka pergi ke Masjid; biarkan mereka tetap melakukan kesukaan mereka, TETAPI CURI WAKTU MEREKA , sehingga Mereka tidak lagi punya waktu untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah".

"Inilah yang akan kita lakukan," kata iblis. "Alihkan perhatian mereka dari usaha meningkatkan kedekatannya kepada Allah dan awasi terus kegiatannya sepanjang hari!". "Bagaimana kami melakukannya?" tanya para hadirin yaitu iblis, syaitan, dan jin. Sibukkan mereka dengan hal-hal yang tidak penting dalam kehidupan mereka, dan ciptakan tipudaya untuk menyibukkan fikiran mereka,"

Jawab sang iblis "Rayu mereka agar suka BELANJA, BELANJA DAN BELANJA SERTA BERHUTANG, BERHUTANG DAN BERHUTANG".

"Pujuk para isteri untuk bekerja di luar rumah sepanjang hari dan para suami bekerja 6 sampai 7 hari dalam seminggu, 10 - 12 jam seminggu, sehingga mereka merasa bahawa hidup ini sangat kosong." "Jangan biarkan mereka menghabiskan waktu bersama anak-anak mereka."

"Jika keluarga mereka mulai tidak harmoni, maka mereka akan merasa bahwa rumah bukanlah tempat mereka melepaskan lelah bila pulang dari bekerja".. "Dorong terus cara berfikir seperti itu sehingga mereka tidak merasa adanya ketenangan di rumah."

"Hasut mereka untuk membunyikan radio atau kaset selama mereka berkenderaan". "Dorong mereka untuk menonton TV, VCD, CD dan PC di rumah. Sepanjang hari. Bunyikan muzik terus menerus di semua restoran maupun pusat membeli-belah di dunia ini."

"Hal ini akan mempengaruhi fikiran mereka dan merosak hubungan mereka dengan Allah dan RasulNya"

"Penuhi meja-meja rumah mereka dengan majalah-majalah dan tabloid". "Sajikan mereka dengan berbagai berita dan gosip selama 24 jam sehari".

"Serang mereka dengan berbagai iklan-iklan di jalanan". "Banjiri kotak surat mereka dengan informasi tak berguna, katalog-katalog, undian-undian, tawaran-tawaran dari berbagai macam iklan.

"Muatkan gambaran wanita yang cantik itu adalah yang berbadan langsing dan berkulit mulus di majalah dan TV, untuk menggoda para suami hingga mereka terfikir bahwa PENAMPILAN itu menjadi unsur terpenting, sehingga membuat para suami tidak tertarik lagi pada isteri-isteri mereka"

"Buatlah para isteri menjadi sangat letih pada malam hari, buatlah mereka sering sakit kepala".

"Jika para isteri tidak memberikan cinta yang diinginkan sang suami, maka akan mulai mencari hiburan di luar". "Hal inilah yang akan mempercepatkan retaknya sesebuah keluarga"

"Terbitkan buku-buku cerita untuk mengalihkan kesempatan mereka untuk mengajarkan anak-anak mereka akan makna dan kepentingan bersolat."

"Sibukkan mereka sehingga tidak lagi punya waktu untuk mengkaji bagaimana Allah menciptakan alam semesta. Arahkan mereka ke tempat-tempat hiburan, fitness, konsert2, panggung2 wayang dan pusat2 yang melekakan"

"Buatlah mereka menjadi SIBUK, SIBUK DAN SIBUK." "Perhatikan, jika mereka jumpa dengan orang soleh, bisikkan gosip-gosip dan percakapan tidak berfaedah, sehingga percakapan mereka tidak mendatangkan apa-apa pahala sebaliknya berbuat dosa semata-mata.

"Isi kehidupan mereka dengan keindahan-keindahan semua yang akan membuat mereka tidak punya waktu untuk mengkaji kebesaran Allah." "Dan Dengan segera mereka akan merasa bahwa rezeki, kebaikan/kesihatan keluarga adalah merupakan hasil usahanya yang kuat (bukan atas izin Allah)."

PASTI BERHASIL, PASTI BERHASIL." "RENCANA YANG BAGUS ." Iblis, syaitan dan jin kemudian pergi dengan penuh semangat melakukan tugas MEMBUAT MUSLIMS MENJADI LEBIH SIBUK, LEBIH KELAM KABUT, DAN SENTIASA HURA-HURA". "Dan hanya ada sedikit waktu saja untuk beribadat kepada Allah maha Pencipta."

"Tidak lagi punya waktu untuk bersilaturahmi dan saling mengingatkan akan Allah dan RasulNya". Sekarang pertanyaan saya adalah, "APAKAH RENCANA IBLIS INI AKAN BERHASIL???"

"ANDALAH YANG MENENTUKAN..!!!"

oleh : Anuarani di http://idhamlim.blogspot.com/2009/07/sedikit-renungan-dicelah-kesibukan-kita.html
Baca lagi...

Saturday, July 18, 2009

Majlis Sambutan Israk & Mi'raj 1430H & Diskusi Kitab Siyadah

MAJLIS SAMBUTAN ISRAK & MI'RAJ DAN DISKUSI KITAB SIYADAH
BERSAMA
AL HABIB UMAR BIN ABDUR RAHMAN AL JUFRI
&
AL FADHIL SHEIKH MUHAMMAD FUAD BIN KAMALUDIN AL MALIKI

Pada : 19hb Julai 2009 / 26hb Rejab 1430 (Ahad)
Masa : 6 petang
Tempat : Masjid Darul Ehsan, Taman Tun Abdul Razak, Ampang

Baca lagi...

Kuliah Bulanan : Menghayati Peristiwa Israk & Mi'raj


KULIAH BULANAN : MENGHAYATI PERISTIWA ISRAK & MI'RAJ

Oleh : UST MOHD FARID RAVI ABDULLAH
Pada : 19 Julai 2009 (Ahad)
Masa : 7 - 11 malam
Tempat : Surau Al-Hijrah, Putratropika
Bandar Seri Putra
Baca lagi...

Ceramah Isra' Mi'raj bersama Ustaz Nazir Zakaria



Maklumat lanjut sila klik http://suraualmujahidin.blogspot.com/
Baca lagi...

Thursday, July 16, 2009

Konsert Antara Dunia 2009

Bertemakan konsep `Menyemarak Kebangkitan, Meneraju Ummah', konsert ini merupakan konsert besar-besaran yang julung-julung kali diadakan melibatkan golongan mahasiswa (GAMIS) dan artis nasyid tanah air (Rabbani).

KAD `09 bertemakan kehidupan manusia yang melalui lima dunia (alam) iaitu roh, kelahiran, kehidupan, barzakh dan akhirat. Kelima-lima dunia tersebut diadun dalam satu persembahan yang cukup menarik menerusi lagu-lagu nasyid, tayangan multimedia, pentomen dan lain-lain lagi. Sudah pasti ia akan menghadirkan rasa bertuhan serta menyedarkan diri betapa dunia ini terlalu panjang untuk ditempuh dan kini kita berada di tengah-tengah persinggahan perjalanan antara dunia dan kita bakal meneruskan perjalanan tersebut pada bila-bila masa sahaja.


Tiket


RM 5 : kanak-kanak berusia 6 hingga 12 tahun
RM 10 : golongan remaja dan dewasa
RM50 : VIP.

Pakej istimewa!!

RM 100 : 2 tiket VIP dan 4 tiket kanak-kanak.

Tiket boleh didapati daripada sesi-sesi `roadshow' KAD `09, wakil-wakil GAMIS di setiap institusi pengajian tinggi (IPT) dan di setiap zon, belian tiket `online' dari iLuvislam.com, serta pejabat Rabbani Productions (M) Sdn. Bhd.

Anda juga boleh mendapatkan tiket di kaunter terbuka berdekatan pintu masuk Stadium Melawati Shah Alam pada 31 Julai dan pada hari konsert iaitu 1 Ogos bermula jam 10 pagi hingga 7 malam.

Pembelian Tiket Secara Online di iLuvislam.com

Dapatkan tiket segera! Jumlah tiket TERHAD! 'First come first serve'

Sebarang maklumat mengenai konsert boleh dilayari di SINI


Baca lagi...

Wednesday, July 15, 2009

Forum Perdana Sempena Isra' Mi'raj di Masjid al-Falah USJ 9

Tajuk Forum: Isra' Mi'raj Menjana Keperibadian Muslim

Tarikh:
26 Rajab 1430H / 19 Julai 2009M (Ahad)
Masa: Selepas sholat Maghrib
Tempat : Masjid Al-Falah, USJ 9

Ahli panel: YBhg. Dato' Hj Hashim Yahya (Mantan Mufti Wilayah Persekutuan) dan Dr Roslan Muhammad (Pensyarah Akademik Islam UM)

Moderator: Ustaz Dr Ridwan Tee Abdullah

Maklumat lanjut, sila klik http://www.alfalahusj9.blogspot.com/
Baca lagi...

Tuesday, July 14, 2009

Karnival Masjid 2009 : Ibadah & Ilmiah


InsyaAllah, iLuvislam.com akan bersama-sama Jawatankuasa Masjib Bandar Baru Sungai Buloh, Kerajaan Negeri Selangor, Lembaga Zakat Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jawatankuasa Pengurusan DUN (JPD) Paya Jaras, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Nufair Street Sdn. Bhd., Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd, Akhbar Warta Perdana dan juga akhbar Siasah; menganjurkan Karnival Masjid 2009 : Ibadah dan Ilmiah.

Karnival ini akan diadakan selama 3 hari bermula 17 sehingga 19 Julai 2009 di sekitar Masjid Bandar Baru Sungai Buloh. Karnival besar-besaran ini akan dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Y.A.B. Tan Sri Dato' Abd Khalid Ibrahim.

Program seumpama ini bertujuan untuk merealisasikan saranan Kerajaan Negeri Selangor yang ingin menjadikan setiap masjid berperanan sebagai "Wahana Transformasi Ummah" yang benar-benar proaktif dan efektif. Selain itu, ia bertujuan untuk tidak lain dan tidak bukan untuk membentuk masyarakat agar kasih kepada ilmu, mengeratkan hubungan silaturrahim, menghidupkan ekonomi dan perniagaan secara Islam dan pastinya untuk mencari keredaan Allah S.W.T. dalam memakmurkan masjid-masjidNya.

Berikut adalah tentatif program:


17hb JULAI 2009 JUMAAT (HARI PERTAMA)

11.30am Program Derma Darah

1.00pm Rehat & Solat Fardhu Jumaat

2.30pm Majlis Ikhtifal (Tilawah al-Quran, Hafazan al-Quran, Berzanji & Marhaban)

4.30pm Rehat & Solat Asar

5.00pm Majlis Ikhtifal bersambung semula sehingga selesai

8.00pm Forum Bicara Ad-Deen : “Membina Keluarga & Remaja Berakhlak Mulia”


18hb JULAI 2009 SABTU (HARI KEDUA)

6.30am Kuliah Subuh Perdana

8.00am Slot Bersama Lembaga Zakat Selangor
a. Motivasi Pendidikan – UPSR, PMR & SPM
b. Pertandingan Mewarna (Kanak-kanak)
c. Pertandingan Azan (5thn – 12thn)

9.30am Persembahan Nasyid Istimewa : Kumpulan Rabbani

10.00am Taklimat & Kursus Istimewa Bakal Haji oleh Ybhg. Dato’ Ust Hj Md. Daud Bin Che’ Ngah

1.00pm Rehat & Solat Zohor

2.00pm Pertandingan Nasyid Perdana

3.00pm Majlis Pelancaran & Perasmian Karnival Masjid 2009

4.45pm Rehat & Solat Asar

5.00pm Pertandingan Nasyid Perdana bersambung semula

8.00pm Forum Perdana – Antara Zakat dan Berkat


19hb JULAI 2009 Ahad (HARI KETIGA)

6.30am Istimewa Tazkirah Subuh

8.00am Pesta Kuiz Perdana

10.00am Kursus Smart Solat Bersilibus

11.30am Motivasi – “Institusi Keluarga Islam” oleh Dato’ Ust Md Daud Che’ Ngah

2.30pm Pertandingan Memasak - Muslimah

8.00pm Majlis penyampaian Hadiah & Majlis Penutupan Karnival Masjid

9.00pm Diskusi Perdana Istimewa : “Tenat, Nazak, Sakarat, Maut & Akhirat”

Kepada sahabat yang berkelapangan sepanjang 17-19 Julai ini, jom kita beramai-ramai ke Masjid Bandar Baru Sungai Buloh. InsyaAllah selain anda dapat manfaat dari pelbagai aktiviti dan persembahan yang dianjurkan, insyaAllah sahabat-sahabat boleh menemui krew-krew iLuvislam.com di sana.

Sumber : http://www.iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=1770

Baca lagi...

Rakaman Kuliah Pengajian oleh Ustaz Dato' Shamsuri Haji Ahmad

Salam

Berikut merupakan audio kuliah-kuliah pengajian kitab yang disampaikan oleh Dato' Ustaz Shamsuri Haji Ahmad:

> Tafsir Nurul Ehsan Jilid 2 ms 237
. Sila klik sini untuk muat turun audio & sila klik di sini untuk teks

Sila sebarkan, mudah-mudahan kita semua diberkati.
"Barangsiapa yang mengajak kepada petunjuk (hidayah), maka baginya ganjaran pahala sama seperti pahala orang yang mengikutinya dengan tidak dikurangi sedikitpun" (Riwayat Muslim)

Sumber : Azrul Alwi (azrul.alwi@gmail.com)
Baca lagi...

Jadual Kuliah Ustaz Muhammad Fuad Kamluddin al-Maliki - Bulan Julai 2009

Pengajian terbuka kepada sesiapa yang berminat. Sila hubungi Encik Maznor di talian 019-662 3826. Baca lagi...

Warkah Wasiat Maimunah Abd Aziz Al-Wuhaiby Al-Tamimy

Pada 26 Mei lepas, seorang pendakwah terkenal di Arab Saudi Syeikh Abdul Aziz bin Muhammad al-Wuhaiby Al-Tamimy telah kembali ke rahmatullah. Beliau sekeluarga terlibat dalam kemalangan jalan raya menuju ke Al-Syarqiyyah. Turut terkorban dalam nahas itu isterinya Nurah Muhammad, dan beberapa anak perempuannya, Maimunah (20 tahun), Lina (9 tahun), dan Jazi (3 tahun).

Syeikh Abdul Aziz Al-Wuhaiby merupakan anak murid bekas Mufti Arab Saudi, Syeikh Abdul Aziz bin Baz -rahimahullah. Hubungan mereka berdua amat rapat menjadikan beliau amat terkesan dengan ilmu, akhlak dan peribadi Syeikh Bin Baz. Malah, selepas kewafatan Syeikh Bin Baz, beliau antara yang memandikan jenazah Syeikh Bin Baz. Semoga Allah merahmati mereka berdua.

Sebaik berlaku kemalangan, dijumpai di dalam kenderaan yang mereka naiki sebuah buku nota kepunyaan salah seorang mangsa yang terkorban, Maimunah -rahimahallah-. Tercatit di dalamnya satu wasiat yang tidak sempat dihabiskan. Dipercayai Maimunah menulis wasiatnya beberapa detik sebelum berlaku kemalangan. Tidak sempat dihabiskan catitannya, warkah wasiatnya berterbangan, penanya tercampak, dan darah-darah mengalir. Inna Lillah Wa Inna Ilaihi Rajiun.

Inilah warkah wasiat yang tertulis dalam nota catitan Maimunah. Di kulit buku nota ini, masih kelihatan kesan darah akibat kemalangan. (Tulisan beliau ialah yang di dalam kotak garisan merah. Manakala tulisan yang di bawahnya ialah catatan komentar Syeikh Khalid al-Ghamidiy).


Terjemahan wasiat beliau:

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

SEGALA PUJIAN BAGI ALLAH TUHAN SEKALIAN ALAM.

AKU BERSAKSI BAHAWA TIDAK ADA TUHAN YANG LAYAK DISEMBAH KECUALI ALLAH, DAN MUHAMMAD SALLALLAHU ALAIHI WASALLAM ADALAH HAMBANYA DAN RASULNYA.
AKU BERSAKSI BAHAWA ISA ADALAH HAMBA ALLAH, RASULNYA, DAN HAMBA YANG DICIPTAKAN DENGAN KALIMAHNYA YANG DISAMPAIKAN KEPADA MARYAM, DAN DENGAN TIUPAN ROH DARINYA.

ADAPUN SELEPAS ITU,
INI ADALAH WASIAT HAMBA YANG MENGHARAPKAN KEAMPUNAN TUHANNYA, MAIMUNAH BINTI ABDUL AZIZ AL-WUHAIBY.

AKU BERPESAN KEPADA KALIAN SEMUA SUPAYA BERTAQWA KEPADA ALLAH DALAM SEMBUNYI DAN NYATA. TIDAK ADA SEORANG PUN BERTAQWA KEPADA ALLAH KECUALI DIA AKAN SELAMAT.

HENDAKLAH KALIAN BERBUAT KEBAIKAN, MENGHUBUNGKAN SILATURRAHIM, DAN MENGELUARKAN INFAQ. TINGGALKAN PERBUATAN MENGUMPAT DAN MENGACUNG.

SESUNGGUHNYA PENGHUNI-PENGHUNI KUBUR SEKARANG -DAN AKU ADALAH SALAH SEORANGNYA- BERCITA-CITA MAHU KEMBALI KE DUNIA UNTUK MENAMBAHKAN AMALAN SOLEH, DAN MEMOHON AMPUN DARI SEGALA KEJAHATAN.

MAKA BASAHILAH LIDAH-LIDAH KALIAN DENGAN ZIKIR KEPADA ALLAH AZZA WAJALLA.

IBU TERCINTA,
AKU SEKARANG AMAT BERHARAP KEPADA DOAMU DAN REDHAMU KEPADAKU. MAAFKANLAH AKU ATAS SETIAP SALAH SILAP DAN ADAB YANG BURUK YANG LAHIR DARIKU. AKU BERHARAP ENGKAU MAAFKANLAH AKU, DAN DOALAH UNTUKKU DENGAN HATI YANG KASIH DAN IKHLAS. MUDAH-MUDAHAN ALLAH MERAHMATIKU DENGAN SEBAB DOA DARIMU.

AYAH YANG DIHARGAI,
ENGKAULAH IDOLA DI DALAM RUMAH DAN DI LUAR. JADILAH ENGKAU SEBAGAIMANA YANG KUKENALI, BERSUNGGUH-SUNGGUH DALAM URUSAN AGAMA …

Demikian tulisan wasiat Maimunah yang tidak sempat dihabiskan. Sesungguhnya kematiannya cukup untuk memberi peringatan kepada kita yang masih hidup.

Semoga Allah merahmati Syeikh Abdul Aziz al-Wuhaiby, isterinya Nurah Muhammad, dan anak-anak mereka Maimunah, Lina dan Jazi.

Dipetik daripada : Abu Umair
Baca lagi...

Sunday, July 12, 2009

Seminar Pemikiran Dr Burhanuddin Muhammad Nur Al-Hilmi


Perasmian oleh : YAB Tuan Guru Dato' Nik Abd Aziz Nik Mat
Penutup oleh : YB Dato' Seri Anwar Ibrahim
Tarikh : 2hb Ogos 2009 / 11hb Sya'ban 1430 (Ahad)
Masa : 8.30 pagi - 5 petang
Tempat : Dewan Auditorium daeng Chelak, Muzium Negeri Shah Alam

Maklumat lanjut, sila layari http://ummahcentre.net/i1/
Baca lagi...

Thursday, July 9, 2009

Cemar hati hanya bersih dengan agama Allah SWT

Sesungguhnya Allah SWT perintah dengan wajib manusia supaya makan makanan yang toiyyib (halal). Dalam wahyu-Nya Tuhan letak dahulu larangan makan makanan yang tidak baik sebelum larangan bunuh manusia.


Seperti firman-Nya yang bermaksud: "Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama suka antara kamu. Dan janganlah membunuh dirimu (membunuh diri dan orang lain); sesungguhnya Allah Maha Penyayang kepadamu." (Surah An-Nisa ayat 29)

Terdapat dua hukum dalam satu ayat; pertama larangan memakan harta dengan jalan tiada hak (batil). Tegahan kedua larangan membunuh sama ada membunuh diri atau membunuh individu lain. Kedua-duanya larangan dalam perkara yang mungkar, tetapi Allah SWT letakkan larangan memakan harta dengan jalan yang tidak betul terlebih dahulu daripada larangan membunuh.

Susunan itu menunjukkan agama Islam mengutamakan masalah makan minum dengan cara diredai-Nya lebih dahulu daripada tegahan selainnya. Sepaling jahat manusia itu tidak akan melakukan pembunuhan, kecuali mesti ada sebab alasannya. Pembunuhan dapat dikawal seandainya manusia dapat mengawal makan minum harta benda daripada penipuan dan pengkhianatan, pencurian serta rompakan.

Masalah harta menjadi kepentingan bersama dalam situasi terkawal itu, dengan sendirinya menutup punca krisis dan jenayah dalam masyarakat. Di sinilah kedudukan ajaran Islam itu adalah agama menyeluruh Allah SWT, tidak boleh di ambil hanya sebahagiannya dan mengabaikan selebihnya yang dianggap merugikan.

Wajib menerima sepenuhnya apa yang disuruh, meninggalkan apa jua yang diharamkan-Nya. Allah SWT letak dahulu larangan makan harta yang tidak baik daripada larangan membunuh, dengan tujuan membesarkan untuk menimbulkan rasa penting dan gerun di kalangan manusia dengannya.

Ini supaya mengutamakan rezeki yang halal selain memenuhi keperluan, ia juga untuk mendapat keberkatan daripada-Nya. Hanya Islam sahaja yang mempunyai ajaran 'berkat', ia ajaran agama yang mesti dijaga dan diawasi sepenuhnya. Ini supaya rezeki yang dimakan dan pakaian halal yang di pakai akan mendapat keberkatan daripada Allah SWT. Harta di tangan manusia pada hakikatnya hak milik Allah SWT, justeru Dia mengingatkan manusia ditegah mengambilnya dengan cara yang batal. Harta kepunyaan orang lain boleh dimiliki hanya melalui cara yang diizinkn oleh syariat, iaitu dengan cara jual beli sesama reda atau sedekah.

Dikurniakan harta oleh Allah SWT kepada manusia sedangkan seluruh mereka menjadi anggota masyarakat, mereka mesti saling bekerjasama untuk mengambil manfaat daripada rezeki yang dikurniakan itu.

Sebagai anggota masyarakat mesti menjauhi tindakan ambil harta antara mereka dengan cara yang batal, pada hakikatnya mereka saling memerlukan antara satu sama lain. Setiap daripada anggota masyarakat tidak upaya hidup sendirian, kerana semua keperluan hidup tidak dapat diadakan sendiri. Makan dan pakaian serta tempat tinggal saling bergantung dengan pihak lain.

Dengan adanya para petani di kalangan masyarakat, orang ramai dapat keperluan makanan terhindar daripada kebuluran. Dengan adanya para nelayan orang ramai dapat makan lauk ikan sebagai sumber protein. Dengan wujudnya pengusaha pakaian orang ramai dapat menutup aurat, begitulah seterusnya dalam perkara penting lain yang diperlukan anggota masyarakat.

Apabila Allah SWT melarang melalui firman-Nya; jangan memakan harta sesama manusia dengan jalan batil, bererti mengajar orang beriman supaya hidup saling bekerjasama dan bersatu padu.

Inilah perpaduan sebenar yang diajar Allah SWT kepada manusia, ribuan tahun sebelum wujudnya kerajaan manusia dengan teori perpaduannya. Begitulah kedudukan manusia sebagai anggota masyarakat, antara satu sama lain saling memerlukan mesti tali menali paut memaut.

Allah SWT melarang keras pembunuhan, kerana pada hakikatnya individu dibunuh itu ibarat dirinya sendiri. Dalam erti kata membunuh saudaranya sesama anggota masyarakat, yang saling memerlukan dalam kehidupan hariannya.

Kembali kepada persoalan makanan mesti dalam situasi halal, adapun mendapatkan makanan halal itu fardu daripada asas agama. Setiap sajian yang dihidang untuk diri dan keluarga, tentukan kehalalannya terlebih dahulu. Demikianlah yang dituntut oleh Islam.

Perkara adab kedua yang mesti dijaga sebelum makan ialah basuh tangan, juga tangan keluarga yang akan menikmati sajian itu. Basuh tangan sebelum makan bukannya adat resam atau budaya sesuatu bangsa, tetapi ajaran agama Islam.

Sekiranya waktu basuh tangan dengan niat menjunjung ajaran agama, semestinya tangan jadi bersih serta dapat pahala daripada Allah SWT pula. Allah SWT perintahkan basuh tangan sebelum makan, lantaran ia tidak sunyi daripada kekotoran sewaktu melakukan kegiatan harian di mana jua.

Membersihkan tangan dicuci dengan air, sementara pencemaran hati dibersihkan dengan ajaran agama Allah SWT.

Oleh : Tuan Guru Dato' Nik Abd Aziz Nik Mat
Baca lagi...

Monday, July 6, 2009

Iklan Buku SUMBU JIWA Terbitan Pelima Media Sdn Bhd


Sila klik di SINI untuk maklumat lebih lanjut.

Sila hubungi atau sms : 016-2099454
telefon : 03-8210 0476 / 0509
faks : 03-8210 0479
email : media@pelima.com.my
Baca lagi...

Program Terkini Surau Al-Munir


sumber : http://www.suraual-munir.blogspot.com/
Baca lagi...

Majalah SOLUSI edisi 9

Majalah Solusi Edisi ke 9 dimulakan dengan ruangan Kata Dua oleh Muhammad Al-Fateh yang mengimbau sejarah zaman terdahulu tentang keberanian, kecerdikan dan ketaatan golongan muda pada zaman itu. Jika dibandingkan dengan golongan muda pada zaman ini yang mengejar A1 hanya dalam peperiksaan bukan pada gaya hidup.

Dalam ruangan Tafsir tulisan Ustaz Hj Zahazan Mohamed membawa pembaca menghayati Surah Al-Nasr yang memberi Peringatan Agar Terus Mengekalkan Kemenangan. Kemenangan di sini bukan sahaja dari segi zahir namun lebih dari itu dan jangan pula berbangga dengan kemenangan kerana kemenangan itu datangnya daripada Allah.

Ustaz Adlan Abd Aziz pula mengisi ruangan Hadis dengan berkongsi dengan pembaca perihal Solat - Anugerah Pengampunan Tuhan. Solat dapat menghapuskan dosa-dosa selama tidak melakukan dosa besar. Solat juga ibarat mandi lima kali sehari yang dapat menghilangkan kotoran yang ada pada badan.

Dalam ruangan Isu, Pahrol Mohamad Juoi menulis berkenaan Kesedaran - Celik Mata Hati. Menurut beliau manusia mempunyai empat pandangan iaitu pandangan mata, pandangan akal, pandangan nafsu dan pandangan mata hati. Jadi yang mana satu pandangan anda terhadap kehudipan dan kematian? Yang mana satu pandangan yang terbaik? Ikuti artikel ini dalam edisi ini.

Juga dalam ruangan Isu, Jaddal Atiff mengupas isu Melihat Hidup Daripada Kaca Mata Pencipta-Nya. Beliau turut menghuraikan takah hidup insan yang bermula dari alam roh, alam rahim, alam dunia, alam barzakh, alam masyar dan seterusnya alam syuga atau neraka.

Ustaz Ahmad Baei Jaafar pula menulis dalam ruangan Jalan Keluar dengan topik Pandangan Jauh Hindar Kemurkaan Allah.

Dalam ruangan Media, Pengarah Radio IKIM fm, Ir Ahmad Jais Alias menulis tentang program baru IKIM fm bersama Islamic Relief Malaysia (IRM) iaitu Secangkir Kasih. Maklumat aktiviti Secangkir Kasih dan maklumat lanjut turut dimuatkan.

Ruangan Mahmudah pula mengetengahkan topik Keinginan Atau Keperluan? yang ditulis oleh Umar M Noor.

Ruangan Hai Anak, Rashidah Mustaffa menulis tentang Anak-anak Malas Solat? Dikongsikan juga mengapa anak-anak malas solat dan cara untuk memupuk kerajinan bersolat kepada anak-anak.

Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman memenuhi ruangan Haramain dengan menulis tentang Hijr Ismail - Tempat Rehat Dan Solat Bagi Orang Terpilih.

Imam Global pula menulis dalam ruangan Beduk Di Ketuk dengan membawa cerita tentang Bernas Yang Tidak Bernas yang mahukan umat memelihara ukhwah dengan meninggalkan perselisihan pendapat dalam perkara yang bukan asas.

Ruangan Soal Jawab Solat dan Soal Jawab Fiqah dijawab oleh Ustaz Fadzli Al-Yamani.

Ustaz Zaharuddin Abd Rahman mengisi slot Muamalat dengan artikel bertajuk Bank Islam - Peniaga Bukan Pemberi Pinjaman. Beliau juga menjawab persoalan Muamalat dalam ruangan Soal Jawab Muamalat.

Master Trainer, Pusat Latihan Al-Ain, Hj Muhammad Zakaria menulis dalam ruangan Potensi dengan artikel bertajuk Kemahiran Berkomunikasi.

Dato' Dr Mohd Fadzilah Kamsah menyambung perbincangan tentang 30 Kesilapan Dalam Mendidik Anak-anak.

Antara tulisan lain yang terkandung dalam Majalah Solusi Edisi 9 adalah dalam ruangan Soal Cinta, Pahrol Mohamad Juoi, Bahagia Itu Bila Membahagiakan. Ruangan Cetusan, Dr Sidek Baba, Tanjung Malim Yang Tetap Di Ingatanku. Ruangan Maqasid Syarie, Nik Abd Rahim Nik Abd Ghani, Hadhanah - Siapa Lebih Berhak? Ruangan XPDC Dakwah, Zaharuddin Abd Rahman, Jejak Pertama Di Wales, UK. Ruangan Dari Seberang, Ummu Sakinah Hj Muhammad, Contohi Remaja Generasi Cemerlang. Ruangan Kembara, Hj Muhammad Zakaria, Sinar Islam Membawa Marapan Di Singapura. Ruangan Remaja, Fatimah Syarha Noordin, Realiti Solat Remaja Kita. Ruangan Fadhail A'mal, Ustaz Mohd Gunawan Che Ab Aziz, Pengislahan Diri Melalui Fadhail Al-A'mal. Ruangan Kiasan, Rohidzir Rais, Hipokrit - Tuli, Bisu Dan Buta - Menolak Cahaya Kebenaran, Meraba Dalam Kegelapan. Ruangan Hikmah, Ustaz Hasrizal Jamil, Laburkan Anakmu Sendiri.

Selain itu, dalam ruangan Usaha Jaya, Dr Irfan Khairi, Pengurusan Masa Dalam Perniagaan. Ruangan Jejak RM, Mahadzir Md Isa, Yang Dikejar Tak Dapat, Yang Dikendong Berciciran. Ruangan Munakahat, Ustaz Badli Shah Alauddin, Taklik - Isteri Digantung Tak Bertali. Ruangan Tauhid, Ustaz Mohd Nidzam Abd Kadir, Tiada Toleransi Dan Kompromi Dalam Aqidah. Ruangan Syiar, Dr Abd Basit Abd Rahman, Bukan Semua Masyaqqah (kepayahan) Ada Taisir (keringanan). Ruangan Tib Nabawi, Ustaz Mohd Wahid Abd Hanif, Keajaiban Susu. Ruangan Murabbi, Zuraimi Ismail, Imam Hanafi vs Pendakyah Yahudi. Ruangan Muslimah, Dato' Siti Nor Bahyah Mahamood, Cakar Harimau - Tip Kebahagiaan Rumah Tangga. Ruangan Ipods (Intisari Pedoman Dari Sirah), Mohd Azrul Azlen Abd Hamid, Rasulullah Bapa Mithali Bahagian 2 - Cara Efektif Mengembangkan Fikiran Anak-anak. Ruangan Misteri Alam Ghaib, Dato' Ismail Kamus, Adakah Jin Masuk Syurga?

Juga termuat ruangan Faraid, Ustaz Md Yazid Ahmad, Cintakan Harta - Pahala Atau Dosa? Ruangan Atlas Al-Quran, Mohd Wahid Abd Hanif, Munajat Musa - Kaumnya Menyembah Patung Lembu. Ruangan Analisis, Mohd Adib Samuri, Spesies Syaitan Yang Sama. Ruangan Fizikr (Fikir + Zikir), Rohidzir Rais, Meroboh Dunia Matriks Siri 1 - Perangkap Dunia Elektrik. Ruangan Mahir, Ahmad Fadzli Yusuf, Tingkatkan Tumpuan. Ruangan Jinayat, Dr Zulkifli Al-Bakri, Hikmah Qisas Untuk Hidup. Ruangan Akhir Zaman, Umar M Noor, Alam Kubur - Tempat Pertama Alam Akhirat. Ruangan Fitrah, Ibnu Saad, Mendidik Jiwa Remaja. Ruangan Pelik Tapi Benar, Ustaz Hj Zahazan Mohamed, Para Sahabat Memakan Bangkai Binatang.

Juga turut dimuatkan dalam Majalah Solusi Edisi 9 ini ruangan Puisi, Pesan Nenek dan Angguk Geleng.

Majalah Solusi Edisi 9 mengandungi 109 muka surat berwarna.
Baca lagi...

Sunday, July 5, 2009

Ceramah Perdana Sempena Karnival Kesenian & Keilmuan Islam 09


CERAMAH PERDANA SEMPENA KARNIVAL KESENIAN & KEILMUAN ISLAM 09

Oleh

SS DR JUANDA JAYA
Mufti Kerajaan Negeri Perlis

Pada
10hb Julai 2009 / 17 Rejab 1430
Jumaat

Masa
8.00 malam

Di
Ruang Legar, Kompleks PKNS
Bandar Baru Bangi
Baca lagi...

Buku Baru Dato' Dr Haron Din : Menjawab Persoalan Makhluk Halus


MUKADIMAH PENGARANG

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan semesta alam. Kepada-Nya kami meminta pertolongan dalam urusan-urusan dunia dan akhirat. Selawat dan salam ke atas Rasul kami yang sangat amanah, penghulu kami Nabi Muhammad SAW, keluarga dan para sahabat baginda sekalian.

Saya sering menerima soalan sama ada melalui surat atau yang bertanya terus di majlis-majlis kuliah. Di antara soalan yang berulang kali diajukan kepada saya ialah yang berkaitan dengan makhluk halus seperti jin, qarin, sihir, rasukan, bunian, saka, orang mati hidup semula, penggunaan tangkal, penyakit yang disebabkan oleh jin dan sebagainya.

Mereka meminta pendapat saya walaupun ramai alim ulama’ lain di Malaysia yang boleh memberikan jawapan yang sama dengan saya.

Memandangkan persoalan ini berhubung kait dengan soal aqidah, maka menjadi suatu kefarduan kepada saya untuk menjelaskannya. Persoalan masyarakat ini perlu dirungkaikan supaya mereka tidak terus terjebak dengan amalan syirik.

Masyarakat perlu didedahkan dengan maklumat daripada sumber yang sahih terutama sekali jika ia melibatkan soal aqidah.

Saya telah berusaha menjawab setiap persoalan dengan berlandaskan hujah-hujah yang sahih daripada al-Quran dan al-Hadith.

Kesemua jawapan ini sebenarnya merupakan respon saya kepada soalan yang diajukan melalui akhbar Harakah. Saya telah melahirkan hasrat saya kepada Ahli Jawatankuasa Darussyifa’ supaya koleksi soal jawab yang pernah tersiar dalam akhbar Harakah ini dibukukan.

Saya amat berharap usaha pembukuan soal jawab ini dapat memberikan manfaat yang besar kepada masyarakat bahkan saya berdoa moga buah tangan saya ini dapat mengurangkan seterusnya menghapuskan fahaman dan amalan khurafat yang masih berakar umbi di dalam masyarakat kita.

Hanya Allah SWT sahaja yang Maha Sempurna lagi Maha Benar, manakala yang salah dan silap adalah daripada insan yang bersifat lemah.

Semoga Allah SWT mengampuni kesalahan dan kekhilafan yang tidak disengajakan. Kepada Allah SWT kita memohon rahmat dan berkat. Semoga Allah SWT sentiasa mengabulkan usaha kita dan menjadikannya sebagai amalan soleh.

Ikhlas daripada saya,

Dato’ Dr. Haron Din
Pengasas dan Penasihat Darussyifa’
30 Mac 2009M / 3 Rabiul Akhir 1430H

ISI KANDUNGAN BUKU INI
====================

BAB-1: PERSOALAN UMUM BERKAITAN MAKHLUK HALUS
BAB-2: PERSOALAN BERKAITAN JIN, BUNIAN, QARIN DAN SAKA
BAB-3: PERSOALAN BERKAITAN TANGKAL
BAB-4: PERSOALAN BERKAITAN SIHIR
BAB-5: PERSOALAN BERKAITAN ILMU GHAIB
BAB-6: PERSOALAN UMUM
BAB-7: DOA-DOA DAN AYAT-AYAT AL-QURAN UNTUK MENGATASI GANGGUAN MAKHLUK HALUS

===================

Buku ini adalah terbitan Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia (Darussyifa’) dengan kerjasama Koperasi Darussyifa'. Harga jualan runcit buku ini ialah RM20 di Semenanjung Malayisa dan RM22 di Sabah & Sarawak.

Buku ini dijual dengan harga RM18 di Darussyifa’ Bandar Baru Bangi.

Buku ini boleh dibeli terus di pejabat Darussyifa’ Bandar Baru Bangi atau di cawangan-cawangan Darussyifa’ seluruh Malaysia.
Baca lagi...

Wednesday, July 1, 2009

Dua Pencarian

Bismillah

Ali RA berkata:
"Barangsiapa mencari ilmu, bererti ia sedang mencari syurga. Barangsiapa mencari kemaksiatan, bererti dia sedang mencari neraka"
Yang dimaksudkan ilmu di sini adalah ilmu yang bermanfaat, yang wajib diketahui & dipelajari oleh setiap orang yang baligh & berakal sihat.


Sumber
: Nashaihul Ibad : Nasihat-Nasihat Untuk Para Hamba oleh Imam Nawawi al-Bantani

Baca lagi...