KALENDAR KULIAH PENGAJIAN SURAU AN-NUR

Saturday, March 14, 2009

Majalah SOLUSI Isu No. 5

Dari Editor : Bijaksana vs Bijak"sini"

Imam Al-Ghazali r.hm. pernah berkata bahawa:

"Perkara yang paling jauh ialah 'masa lalu"

Apakah maksud tersirat di sebalik kenyataan itu?

Ya, satu saat yang berlalu dalam hidup kita, tidak akan dapat dikejar semula walaupun dengan pesawat terbang yang paling laju. Ia akan terus berlalu untuk menjadi saksi apakah kita menggunakannya untuk pahala, dosa atau sia-sia.

Kita tidak akan dapat memutarkan jarum waktu ke belakang. Masa umpama air sungai yang mengalir. Apabila kita memijak air kali pertama maka kita tidak akan dapat memijak air yang sama pada pijakan kedua. Ya, masa ialah nyawa kita. Mengurus masa samalah dengan mengurus nyawa kita.

Masa mengalir terlalu laju. Sedar-sedar usia tua menjengah kita & kematian datang seolah-olah secara tiba-tiba. Hidup hanya bagaikan mimpi. Benarlah seperti mana yang dikatakan oleh Sayidina Ali:

"Manusia ketika hidup di dunia semuanya tidur (lalai), bila mati baru mereka terjaga (tersedar)"
Kata-kata itu sungguh mendalam maknanya. Ya, hanya apabila seseorang itu mati kelak barulah hakikat kehidupan ini tersingkap dengan sejelas-jelasnya. Ketika itu barulah si mati dapat 'melihat' hidup dengan setepat-tepatnya. Setelah diri berada di dalam di alam Barzakh (alam kubur), barulah manusia insaf apakah yang sebenarnya yang perlu dicari & dimiliki dalam hidupnya ketika di dunia dahulu.

Aneh, hanya apabila mati, manusia menyedari tentang hakikat hidup. Kata pepatah:

"Setelah terantuk (mati), barulah dia terngadah (sedar)"

Rupa-rupanya apa yang diburu semasa hidup di dunia hanyalah dosa. Manakala apa yang dihindarinya pula ialah pahala. Ah, betapa tersasarnya tujuan hidup selama di dunia.

Di alam kubur, ketika debu-debu tanah menjadi 'bumi & langit' untuk manusia, barulah kita terjaga daipada 'mimpi'nya selama ini. sayangnya, pada ketika itu, segala-galanya sudah terlambat. Apa gunanya sedar di alam kubur kerana saat itukita tidak boleh berbuat apa-apa lagi untuk memperbaiki keadaan.

Sepatutnya kesedaran semacam itu perlu kita miliki sewaktu hidup di dunia ini. Jelaslah, sekiranya hidup di dunia dilalui dengan penuh kesedaran, barulah ada kebaikan & manfaatnya. Sebaliknya, sekiranya kesedaran itu hanya dimiliki di alam kubur, maka segala-galanya sudah terlambat.

Selalunya, ketika hidup mata seseorang terbuka & apabila mati matanya tertutup. Ironinya, Sayidina Ali menyatakan sebaliknya:

"Semasa hidup, yakni ketika mata terbuka manusia dikatakan bermimpi (mata tertutup). Manakala apabila mati dikatakan terjaga (mata terbuka)"
Jelaslah apa yang dimakdsudkan oleh Sayidina Ali dengan 'terjaga' tidaklah merujuk kepada mata di kepala, sebaliknya merujuk kepada mata di dalam hati.

Mata di dalam hati inilah yang dinyatakan Allah melalui firman-Nya (di dalam surah Al-Haj ayat 46):
"Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada"
Seseorang hanya akan menguruskan nyawa & masanya dengan baik apabila mata hatinya terbuka. Pandangan mata hati ialah pandangan yang paling tepat & benar kerana ia mampu melihat di sebalik kehidupan dunia yang singkat ini ada kehidupan akhirat yang kekal abadi. Mereka inilah orang yang BIJAK'SANA' bukan BIJAK'SINI'.

Mereka ini punya 'sense of the end' yang kuat. Dengan mata hati yang celik mereka mampu memburu masa...Sedangkan kebanyakan manusia hanya diburu oleh masa!

Oleh : Ketua Editor, SOLUSI Isu No.5

No comments: